Brunei – Indonesia Kukuhkan Kerjasama

0
145

Oleh: Haji Sahari Akim

DASAR luar Negara Brunei Darussalam sentiasa menekankan dalam menjaga hubungan baik dan tidak mencampuri urusan dalaman negara jiran dan sahabat. Pada masa yang sama, kita juga menghormati kedaulatan wilayah masing-masing dan saling membantu negara-negara yang memerlukan. Ini menjadikan kita dihormati dan disegani oleh masyarakat antarabangsa.

Khususnya bersama negara-negara jiran dalam ASEAN (Association of South East Asian Nations), kita mempunyai hubungan akrab, bekerjasama dalam pelbagai bidang, di samping saling membantu antara satu sama lain. Ini akan banyak membantu ke arah komitmen mewujudkan matlamat utama Komuniti ASEAN menjelang 2015.

Sebagai contoh hubungan persahabatan dan kerjasama negara ini dengan Republik Indonesia adalah di tahap yang sangat erat, baik di peringkat pemimpin tertinggi, para pegawai awam, pihak swasta, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan, khususnya rakyat dan penduduk kedua-dua buah negara.

SBY_dan_Hassanal_Bolkiah_di_Bandar_Seri_Begawan_24-04-2013IMBAS KEMBALI. Dasar berbaik-baik kedua-dua buah negara berkesan dalam mengukuhkan hubungan dua hala. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dan mantan Presiden Republik Indonesia, Tuan Yang Terutama Dr. H. Susilo Bambang Yudhoyono.

Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia secara rasmi menjalin hubungan diplomatik pada 1 Januari 1984 sebaik sahaja Negara Brunei Darussalam mencapai taraf kemerdekaan penuh.

Sebagai jiran terdekat, Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia juga menjalin bekerjasama dalam memajukan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur (BIMP-EAGA) melibatkan wilayah Indonesia bahagian Sulawesi dan Kalimantan Timur di Pulau Borneo.

Selain sebagai anggota ASEAN kedua-dua buah negara juga mempunyai hubungan pelbagai hala dengan negara-negara sahabat dalam pelbagai forum baik di peringkat serantau dan antarabangsa.

Dalam hal ini kedua-dua buah negara juga berperanan dalam menyumbang ke arah mewujudkan keamanan dan kemakmuran sejagat baik dalam bidang politik, ekonomi, keagamaan, pendidikan, sosiobudaya dan lain-lain.

Pemimpin kedua-dua buah negara juga sering bertemu pada forum-forum serantau dan antarabangsa terutama yang diadakan di Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia. Baru-baru ini Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ’Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Bali bagi menghadiri Forum Demokrasi Bali (BDF) Ke-7 yang diadakan pada 9 hingga 11 Oktober 2014. Baginda juga berangkat menghadiri Forum Global Pakatan Ketamadunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Global Forum of the United Nations Alliance of Civilizations) di Bali pada bulan Ogos 2014.

Sementara itu Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri dan Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Anak Isteri Pengiran Anak Sarah binti Pengiran Haji Salleh Ab. Rahaman juga berangkat mengadakan lawatan ke Jakarta pada bulan Mei 2014.

jokowi.sbg.presiden.riTUAN Yang Terutama Joko Widodo berusia 53 tahun ketika Mengangkat Sumpah sebagai Presiden Republik Indonesia Ke-7. Majlis berlangsung di Gedung Nusantara 1, Kompleks Parlimen, Republik Indonesia pada hari Selasa, 20 Oktober lalu. Dengan pelantikan TYT ini akan lebih meningkatkan lagi hubungan kerjasama antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia.

Daripada banyak kerjasama yang telah dilaksanakan baik secara dua hala dan pelbagai hala, kedua-dua belah pihak secara berterusan juga berusaha untuk meningkat dan memperkukuhkan interaksi yang terjalin dengan meneroka bidangbidang baru melalui mekanismemekanism e strategik bagi kepentingan bersama.

JCBC: Kedua-dua buah negara telah menubuhkan Suruhanjaya Bersama Bagi Kerjasama Hubungan Dua Hala (Joint Commission For Bilateral Cooperaion – JCBC). JCBC Ke-3 diadakan pada 11 April 2013 di Bandar Seri Begawan (BSB), manakala Republik Indonesia akan menjadi tuan rumah JCBC Ke-4 nanti.

PERDAGANGAN: Dalam kerjasama perdagangan, Republik Indonesia merupakan rakan kongsi ketujuh terbesar dalam tahun 2013 dengan jumlah perdagangan BND 863,519 juta. Republik Indonesia juga berada di tangga keenam dan ketujuh daripada 10 pasaran utama import dan eksport Negara Brunei Darussalam pada tahun 2013.

PERTAHANAN: Dalam bidang pertahanan, kedua-dua buah negara mengadakan Latihan Bersama setiap tahun. Brunei – Indonesia juga terus menyertai Dalam Latihan Laut Komodo Pelbagai Hala (Mulilateral Naval Exercise Komodo) dan Latihan Helang Laut yang dianjurkan oleh Angkatan Laut Tentera Nasional Republik Indonesia (Laut TNI AL) dan Negara Brunei Darussalam.

Republik Indonesia secara berterusan juga menyertai Pameran Pertahanan Antarabangsa Brunei (Brunei International Defence Exhibition – BRIDEX) dalam tahun 2007, 2009, 2011 dan 2013). Sementara itu Mesyuarat Tahunan Jawatankuasa Bersama Pertahanan (The Inaugural Joint Defence Cooperation Committee – JDCC) telah diadakan pada 21 Ogos 2014. Manakala Negara Brunei Darussalam juga berterusan menyertai Dialog Antarabangsa Pertahanan Jakarta (Jakarta International Defence Dialogue – JIDD).

PENDIDIKAN: Terdapat sekitar 72 pelajar Negara Brunei Darussalam yang melanjutkan pengajian di Republik Indonesia bagi tahun 2013/2014, manakala pada masa ini sejumlah 34 pelajar Indonesia melanjutkan pendidikan di negara ini yang mana tujuh daripadanya adalah di bawah Biasiswa Kerajaan Negara Brunei Darussalam.

Sementara itu lima Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KU PUSB) bersama Institusi Pendidikan Ugama Indonesia.

PERBURUHAN: Sekitar 73,000 tenaga kerja Indonesia bekerja di negara ini dalam tahun 2014 (berdasarkan maklumat daripada Kedutaan Republik Indonesia di BSB pada bulan Jun 2014). Sementara itu cadangan bagi mengadakan MoU mengenai ‘Latihan dan Penempatan Pekerja Domestik Indonesia Di Brunei Darussalam (Recruitment and Placement of Indonesian Domestic Workers in Brunei)’ sedang dalam perbincangan.

KONSULER: Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia menandatangani Perjanjian Mengenai “Consular Notification and Consular Assistance” pada 18 Julai 2011. Perjumpaan Kumpulan Kerja Bersama mengenai hal ehwal konsuler telah diadakan di BSB pada 21 Julai 2014.

PERKHIDMATAN UDARA: Sejak Julai 2014, Royal Brunei (RB) telah meneruskan semula penerbangan terus ke Bali empat kali dalam seminggu. RB juga mengadakan lima penerbangan terus dalam seminggu dari BSB ke Jakarta dan Surabaya.

KESIHATAN: Pada ketika ini seramai tujuh warga Indonesia sedang berkhidmat di Kementerian Kesihatan. Mereka terdiri daripada dua orang doktor, empat jururawat dan seorang Pembantu Rekod Perubatan (Medical Record Assistant). Pada masa yang sama lapan buah institusi kesihatan Indonesia juga mendapat pengiktirafan (accredited) dari Kementerian Kesihatan Negara Brunei Darussalam.

PERTANIAN: Satu lagi MoU mengenai kerjasama dalam bidang pertanian juga telah ditandatangani dalam tahun 2011, manakala MoU Jawatankuasa Bersama mengenai Pertanian juga kini sedang dalam perbincangan.

MARIN DAN PERIKANAN: Kedua-dua buah negara telah menandatangani “A Letter of Intent” mengenai Kerjasama Marin dan Perikanan pada 24 Februari 2011. Pada masa ini MoU mengenai Kerjasama Perikanan sedang direbiu oleh pihak Indonesia.

SUMBANGAN: Dalam menunjukkan rasa simpati kepada negara jiran, pada 25 Januari 2014, Negara Brunei Darussalam telah menyumbang sejumlah USD 100,000 bagi bantuan kemanusiaan kepada Kerajaan Republik Indonesia berikutan letupan gunung berapi Kelud di Jawa Timur pada 13 Februari 2014.

BERMANFAAT: Tentunya hubungan dan kerjasama erat antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Indonesia itu bukan sahaja bermanfaat kepada rakyat dan penduduk kedua-dua buah negara tetapi juga masyarakat serantau dan antarabangsa.

Apa yang telah dicapai itu tentunya didasari oleh wujudnya persefahaman, saling hormat-menghormati serta bantu-membantu antara satu sama lain.

Kita berharap hubungan baik ini akan terus ditingkat dan diteruskan oleh generasi muda pada masa ini dan akan datang. Ini bukan sahaja akan dapat menyumbang kepada kepentingan kedua-dua buah negara tetapi juga merealisasikan Komuniti ASEAN 2015.

===

Nota kaki: Rencana ini terdedah dalam akhbar online, Pelita Brunei, di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam, pada tarikh 21hb Oktober 2014. Rencana penuh dan asali dapat pula dilayari secara terus di: http://www.pelitabrunei.gov.bn/rencana/item/14441-brunei-indonesia-kukuhkan-kerjasama [diakses di Showroom Auto 2000 Toyota di Cibiru, Bandung, Indonesia: 25 Oktober 2014].

Haji Sahari Akim ialah wartawan daripada Pelita Brunei di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here