Impak Kecil PILPRES Indonesia

1
149

Oleh: Nizam Yatim

KETIKA artikel ini ditulis, belum dikeluarkan lagi keputusan rasmi Pemilihan Umum Presiden (Pilpres) 2014 bagi memilih Presiden ketujuh Indonesia yang bakal menggantikan Susilo Bambang Yudhoyono pada Oktober 2014 ini.

Susilo daripada Parti Demokrat (PD) yang telah menjadi Presiden sejak 2004 tidak boleh lagi bertanding kerana undang-undang negara berkenaan melarang seseorang itu memegang jawatan berkenaan melebihi dua penggal atau 10 tahun.

Setakat ini, pasangan calon Presiden dan Naib Presiden, iaitu Prabowo Subianto-Hatta Rajasa dan Joko Widodo (Jokowi)-Jusuf Kalla, masing-masing mengumumkan telah menang berdasarkan keputusan tidak rasmi berbeza oleh media serta badan-badan tinjauan.

Walaupun keputusan rasmi hanya akan diumumkan pada 22 Julai 2014 ini, sekurang-kurangnya lapan agensi tinjauan pilihan raya berkata, Jokowi mendahului Prabowo antara dua hingga tujuh peratus undian.

Jika pasangan Jokowi menang, ia sudah tentu menarik perhatian kita berikutan latar belakang parti-parti yang menjadi pengusul untuk mereka bertanding sebagai Presiden dan Naib Presiden.

Berdasarkan undang-undang pilihan raya Indonesia, hanya parti yang menguasai lebih 20 peratus kerusi atau menang 25 peratus undi popular pada Pemilihan Umum (Pemilu) Legislatif 2014 bagi peringkat Parlimen pada April 2014 lalu boleh mengusulkan calon Presiden dan pasangannya.

Walaupun Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang diterajui oleh bekas Presiden Indonesia kelima, Megawati Sukarnoputri, telah menang kerusi terbanyak iaitu 109 buah daripada 560 kerusi yang dipertandingkan, tetapi bilangan itu hanyalah meliputi 18.95 peratus kerusi.

Bagi membolehkan PDI-P mengusulkan Jokowi dan pasangannya, ia telah bergabung dengan tiga parti lain, dan salah satunya adalah sebuah parti yang pemimpinnya dikatakan mempunyai hubungan rapat dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sejauh mana pasangan Jokowi-Jusuf Kalla dapat dipengaruhi pemimpin yang mempunyai hubungan rapat dengan Anwar itu, hanya masa yang akan menentukan.

utusa.com.my.pic.1Bagi Timbalan Setiausaha Agung Majlis Profesor Negara (MPN), Prof. Dr. Kamaruddin Mohd. Said, telahan awal beliau mendapati siapa pun yang menang, tidak akan ada perubahan dasar yang ketara membabitkan hubungan antara kedua-dua negara.

Beliau berkata, keyakinan itu adalah berdasarkan visi, misi dan program yang telah dibentangkan oleh kedua-dua pasangan calon berkenaan yang tidak banyak perbezaan antara satu sama lain.

“Kedua-dua pasangan ini telah menyebutkan bahawa mereka ingin membangunkan ekonomi Indonesia dengan membuka peluang kepada pelaburan asing. Oleh itu, pelabur kita yang banyak di republik itu sudah tentu merasa lega kerana tidak akan ada dasar tutup pintu,” katanya kepada Utusan Malaysia sekembalinya daripada melawat republik itu baru-baru ini bagi meninjau kempen Pilpres berkenaan.

Bekas Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya MPN itu berkata, satu lagi isu yang turut menarik perhatian adalah berhubung penghantaran tenaga kerja Indonesia terutama pembantu rumah ke Malaysia.

“Jokowi setakat ini tidak pernah memberi sebarang komen tentang isu pembantu rumah di Malaysia. Beliau juga jarang bersuara mengenai isu-isu di luar Indonesia.

“Salah satu sebabnya kerana dia baharu masuk ke dalam politik peringkat nasional. Jawatan terakhir beliau ialah sebagai Gabenor Jakarta, jadi fokus beliau lebih kepada isu-isu yang melibatkan bandar raya berkenaan.

“Saya fikir, kalau betul ada kes penderaan, siapa pun yang menjadi Presiden akan merasa terpanggil untuk membela rakyatnya. Jadi pada saya bergantung kepada berapa banyak kes yang akan terjadi, kalau kes ini berkurangan atau sangat kecil maka hubungan mesra tidak akan terjejas,” ujarnya.

Bagaimanapun, katanya, Prabowo dilihat lebih lantang dalam isu pembantu rumah apabila melawat Kota Bharu, Kelantan sebanyak dua kali pada 2013 bagi memberi sokongan moral kepada amah republik itu, Wilfrida Soik, 24.

Wanita yang berasal dari Kampung Kolo Ulun, Daerah Belu, Nusa Tenggara Timur, Indonesia telah didakwa membunuh majikannya, Seok Pen, di sebuah rumah di Kampung Lubok Tapah, Pasir Mas pada 2010.

“Bayaran peguam yang membela pembantu rumah ini dibiayai oleh Prabowo dan dia pernah membuat kenyataan bahawa menjadi tugasnya untuk melindungi rakyat Indonesia yang bekerja di luar negara,” kata beliau.

Walaupun Prabowo dilihat lebih terkehadapan dalam membantu amah negara itu berbanding Jokowi, Kamaruddin berpendapat, hubungan kerajaan dengan kerajaan akan tetap baik jika leftenan jeneral bersara itu memerintah.

“Kita jangan lupa bahawa Prabowo ialah orang kuat Presiden Suharto yang memerintah dari 1967 hingga 1998. Beliau adalah menantu Suharto dan juga pemimpin penting dalam angkatan tentera ketika itu.

“Pada zaman Suharto, hubungan Malaysia yang diterajui Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan Indonesia baik dan kedua-dua pemimpin selalu berjumpa dan berhubung melalui telefon. Hubungan antara kerajaan dengan kerajaan tak ada banyak masalah.

“Kita akui ketika itu adalah juga isu membabitkan pekerja republik itu di negara ini tetapi tidak melibatkan percanggahan pendirian antara pemerintah Indonesia dan Malaysia sebaliknya lebih kepada kritikan terhadap proses mahkamah yang lambat, penipuan oleh ejen dan layanan buruk majikan.

“Saya dapati isu ini sedikit sebanyak telah ditangani dan sistem mahkamah kita juga melaksanakan tugas dengan lebih cepat dan mengenakan hukuman berat terhadap majikan yang mendera. Langkah kerajaan Malaysia membenarkan pekerja Indonesia mencari sendiri pekerjaan di sini tanpa melalui ejen juga boleh mengelak penipuan oleh orang tengah,” ujarnya.

Ditanya kebimbangan yang disuarakan oleh para penganalisis politik Indonesia bahawa wujudnya penipuan undi dan taktik kotor ketika Pilpres, Kamaruddin berkata, memang terdapat kemungkinan perkara itu boleh berlaku.

“Berdasarkan laporan Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) atau Parlimen negara itu berhubung Pemilu yang berlangsung April lalu, ia mengakui wujudnya gejala politik wang terutama ketika proses pengiraan undi.

“Politik wang aktif menganggu proses Pemilu ini disebabkan ia melibatkan calon dan parti politik yang banyak, tetapi saya berpendapat gejala ini tidaklah terlalu serius ketika Pilpres kerana ia hanya melibatkan dua pasangan calon yang lebih senang untuk dipantau,” katanya.

===

Nota kaki: Rencana ini terdedah dalam media arus utama online milik kerajaan, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 16hb Julai 2014. Rencana penuh dapat pula dilayari secara terus di: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20140716/re_05/Impak-kecil-Pilpres-Indonesia#ixzz37aDM6XgK

Nizam Yatim ialah wartawan Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, dengan alamat emel: nizam.yatim@utusan.com.my

SHARE

1 COMMENT

  1. Saya macam dah jumpa dengan Prof Kamaruddin Mohd Said ni, bila tak silap saya pada tahun 2009 la, di kampus UKM Bangi. Masa tu saya jumpa di Kedai Buku Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kampus UKM, bincang sekejap, khasnya, mengikut pendapat Prof, macam mana pelajar-pelajar Melayu boleh berdebat dan berani menyoal secara kritikal perkara-perkara kebangsaan.

    Salam muhibah Prof, harap ingat dengan saya, pelajar daripada Indonesia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here