Pentingnya Mempelajari Sejarah

1
286

Oleh:  Kamarul Arifin Haji Md Serudin

sememangnya memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia pada masa sekarang mahupun pada masa hadapan, walaupun sesetengah masyarakat awam berpendapat sejarah itu hanyalah rangkaian kisah lalu dan tidak perlu diungkit lagi. Malah menurut mereka, iaitu masyarakat awam yang tidak mempunyai kefahaman mengenai disiplin ilmu sejarah ini, belajar sejarah itu bukannya kewajipan dan tidak mempelajarinya bukanlah satu kesalahan.

Pandangan tersebut sememangnya tidak benar bagi golongan intelek sejarah, kerana menurut mereka, sejarah itu merupakan peristiwa masa lalu yang kita harus terima ia mempunyai kegunaan, malah nilaian tertentu, dalam kehidupan manusia. Sedikit-sebanyak kita dapat melihat bahawa sejarah itu suatu proses yang bersambungan; kita dapat merasakan bahawa sesuatu peristiwa yang kita hadapi pada hari ini merupakan sebahagian daripada peristiwa semalam dan kemungkinan besar pula akan menunjang menjadi sebahagian daripada peristiwa yang akan berlaku pada masa akan datang.

Pertamanya, kepentingan mempelajari sejarah itu adalah bagi menyedarkan, menerangkan, dan mengajar. Bapa sejarah, Herodotus, berpendapat bahawa terdapat pengulangan ataupun kitaran di antara semua tamadun manusia dan negara secara berganti-ganti, umpama roda. Ini bermaksud peristiwa yang berlaku berzaman-zaman dahulu akan berlaku lagi pada zaman seterusnya, iaitu pada generasi yang akan datang. Walaupun peristiwa itu berbeza, akan tetapi pada hakikatnya ia adalah sama, iaitu kedua-duanya merupakan masalah atau cabaran dalam bernegara. Maka peristiwa tersebut bolehlah dijadikan pengajaran kepada generasi seterusnya dalam memimpin negara ke arah yang lebih sempurna.

Hal ini bolehlah diberikan contoh dengan melihat kepada beberapa peristiwa bersejarah di negara kita yang meninggalkan impak yang besar kepada negara. Misalnya peristiwa perebutan takhta Kesultanan Brunei yang telah berlaku pada abad ke-19. Perebutan takhta ini berlaku di antara Sultan Muhidin dan Sultan Abdul Mubin. Perebutan takhta ini telah memihak kepada Sultan dengan bantuan Sultan Sulu pada masa itu. Sultan Muhidin menyerahkan sebahagian wilayah pantai timur Sabah, iaitu dari Teluk Marudu hingga ke Sungai Sibuku, kepada Sultan Sulu sebagai balasan kepada jasa Sultan Sulu yang membantu baginda dalam memenangi perebutan takhta baginda. Dengan itu, Sabah telah terbahagi kepada dua zon pentadbiran oleh dua kesultanan, iaitu Sultan Brunei di Zon Pantai Barat dan Sultan Sulu di Zon Pantai Timur.

Pada tahun 1877, Sultan Brunei, Sultan Abdul Mu’min, dan Pengiran Temenggung menyerahkan wilayah Sabah yang meliputi Teluk Gaya hingga ke Sungai Sibuku dan Sungai Kimanis dan Benoni kepada Baron Von Overbeck dan Alfred Dent untuk selama-lamanya. Sultan Brunei menerima bayaran sebanyak $15,000 setahun sebagai balasan kepada penyerahan ini. Pada tahun 1878, Sultan Sulu pula, iaitu Paduka Maulana Al-Sultan Mohamed Jamal Al-Alam, telah menyerahkan wilayah Sabah yang meliputi wilayah Pandasan ke Sungai Sibuku; wilayah Pantai Timur, iaitu wilayah Paitan, Sugut, Benggaya, Labuk, Sandakan, Kinabatangan, Mumiang; dan kawasan-kawasan lain, termasuk pulau-pulau ke Selatan Teluk Darvel kepada Overbeck dan Alfred Dent. Sultan Sulu menerima bayaran sebanyak $5,000 setahun sebagai balasan kepada penyerahan ini. Dengan itu jatuhlah Sabah ke tangan pemerintah Barat, iaitu Syarikat Berpiagam Borneo Utara (SBBU) pada tahun 1878 dan mulai dikenal sebagai North Borneo. SBBU telah memerintah Sabah secara rasminya pada tahun 1881 hingga 1941.

5/3/2014 PelitaBrunei PB 3 MEI 2014 Pelita9PENUH BERSEJARAH. Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama 1979 di antara Brunei dengan British.

Begitulah, bagaimana peristiwa perebutan takhta di antara Sultan Muhidin dan Sultan Abdul Mubin, yang akhirnya menyebabkan negeri Sabah jatuh ke tangan orang asing dan negara Brunei menjadi kecil. Peristiwa tersebut bolehlah dijadikan sebagai pengajaran kepada generasi masa kini agar kesilapan yang sedemikian tidak akan berlaku lagi. Oleh itu, manusia perlulah belajar tentang sesuatu peristiwa dengan merujuk sejarah agar mendapat pengajaran.

Misalnya, jika seseorang itu melihat kepada zaman silamnya, di mana dia tekun berusaha dalam menimba ilmu pengetahuan sehingga akhirnya dia berjaya dan memperolehi kesenangan hidup dan memiliki kerjaya yang sempurna, maka sejarah di mana dia rajin dan tekun berusaha itu haruslah dijadikan sebagai pengajaran atau prinsip hidup untuk terus tekun berusaha dalam peringkat kerjayanya pula. Ini kerana hal tersebut sudah terbukti pada dirinya, di mana tekun berusaha akan membantunya mencapai sesuatu yang dicitakan.

Keduanya, sejarah itu juga amat penting dalam proses memilih kepimpinan di mana sejarah sesebuah organisasi dan sejarah kehidupan para pemimpinnya serta sejarah kemampuan mereka membangun, mendidik, dan berkhidmat kepada masyarakat dijadikan sandaran dalam membuat pemilihan pemimpin demi memastikan negara selamat dan terpelihara di bawah naungan mereka. Ini bermaksud, sejarah itu dijadikan sebagai landasan dalam memilih atau melantik ketua atau pemimpin yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang sejati. Ini kerana pemimpin adalah penggerak kepada masa depan negara.

Mempelajari sejarah itu juga dikatakan penting, iaitu bagi meningkatkan ilmu pengetahuan di kalangan masyarakat. Misalnya, dengan menjadikan ilmu sejarah sebagai salah satu mata pelajaran di sekolah-sekolah, maka masyarakat, terutamanya golongan muda, akan beroleh ilmu pengetahuan, sama ada ilmu pengetahuan mengenai sejarah negara sendiri atau pun negara lain. Dalam mempelajari sejarah mengenai negara sendiri ini, secara tidak langsung, ia juga akan menanamkan semangat patriotik kepada orang yang mempelajarinya. Hal ini boleh diberikan contoh, misalnya, dengan mempelajari atau mengetahui sejarah mengenai Perang Kastilla, iaitu perang di antara negara Brunei dan Sepanyol yang tercetus pada tahun 1578. Perang ini tercetus kerana orang-orang Sepanyol ingin menduduki Brunei pada ketika itu dan berhasrat untuk menyebarkan agama Kristian di negara kita.

Walau pun sedemikian, segala usaha orang-orang Sepanyol untuk menakluki negeri Brunei dapat dipatahkan oleh salah seorang pahlawan Brunei yang sudah setentunya jasa beliau tidak akan dilupakan, iaitu Pengiran Bendahara Sakam. Beliau dengan gagah dan beraninya menghalau orang-orang Sepanyol daripada negara Brunei ini. Oleh yang sedemikian, keberanian dan kegagahan Pengiran Bendahara Sakam dalam menghalau askar-askar Sepanyol dalam Perang Kastilla itu sudah setentunya akan membangkitkan semangat patriotik kepada orang yang mengetahui akan sejarah peperangan Kastilla tersebut agar akan mencintai negara ini dan mempertahankannya daripada diancam oleh musuh yang ingin menghancurkan kedaulatan negara ini.

5/3/2014 PelitaBrunei PB 3 MEI 2014 Pelita9PERANG Kastilla.

Seterusnya, dengan mempelajari sejarah, atau melihat kepada sejarah itu, ia akan dapat melahirkan idea dalam merangka wawasan masa depan dengan penuh keyakinan, sama ada wawasan sesebuah negara, kementerian, mahupun sesebuah jabatan. Misalnya, dalam merangka wawasan masa depan sesebuah kementerian, misalnya Kementerian Pendidikan, ahli-ahli kementerian itu haruslah melihat kepada sumber-sumber sejarah yang dimiliki oleh kementerian itu sendiri. Sumber-sumber yang dimaksudkan antaranya dokumen-dokumen, laporan-laporan, atau catatan-catatan mengenai kementerian pendidikan itu sendiri. Daripada sumber-sumber sejarah tersebut mereka harus menilai bagaimana prestasi mereka pada masa lalu, bagaimana hasilnya, apa yang kurang, apa yang perlu ditambah, atau apa yang perlu ditiadakan.

Sebagai misalnya, pada tahun 2009, Kementerian Pendidikan telah memperkenalkan Sistem Pendidikan Negara Abad 21 atau SPN 21. Sistem Pendidikan Negara Abad 21 ini diperkenalkan semata-mata untuk merangka masa depan dengan lebih baik demi mencapai wawasan negara, iaitu melahirkan masyarakat yang berpendidikan dan berilmu pengetahuan. Kementerian Pendidikan tidaklah dengan sewenang-wenangnya menubuhkan Sistem Pendidikan Negara Abad 21 ini, malah mereka telah pun juga merujuk kepada sumber-sumber sejarah. Sistem Pendidikan Negara Abad 21 ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan kerana mereka merasakan sistem pendidikan ini sesuai untuk digunakan pada masa kini dalam persediaan menghadapi pembangunan di era globalisasi.

Selain daripada itu, kepentingan mempelajari sejarah juga bertujuan bagi mengetahui kepentingan sesuatu peristiwa itu. Misalnya dengan mempelajari sejarah negara kita, kita akan mengetahui kepentingan di sebalik peristiwa yang berlaku di negara kita ini. Contohnya, peristiwa “Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama 1979” di antara Brunei dengan British yang ditandatangani pada 7 Januari 1979. Di sebalik perjanjian ini terdapat kepentingan-kepentingannya. Antara kepentingan perjanjian ini, antaranya, ia menandakan berakhirnya zaman “Protectorate” Brunei apabila kerajaan British memberi kemerdekaan kepada Brunei pada awal 1984 tanpa sebarang syarat. Perjanjian ini juga dibuat bagi menyerahkan kembali tanggungjawab hal ehwal luar Brunei, yang juga melibatkan penyerahan semua tanggungjawab pertahanan dan keselamatan Brunei yang selama ini dipegang oleh British. Ini memberi makna, semua hal ehwal Brunei akan dikendalikan oleh Brunei. Oleh yang sedemikian, ternyata dengan mempelajari sejarah itu kita akan dapat mengetahui tujuan di sebalik perkara penting yang terjadi.

HASILKAN

Daripada beberapa kepentingan sejarah yang telah dinyatakan di atas, maka dapatlah kita buat kesimpulan bahawa tidak dapat dinafikan sememangnya sejarah itu penting untuk kita pelajari. Oleh yang demikian, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengenepikan sejarah dengan begitu sahaja. Kita harus mengkaji dan menyiasat kenapa ia terjadi, bagaimana ia berlaku, bilakah kejadiannya, siapa yang terlibat, adakah ia memberi kesan yang negatif, ataupun sebaliknya.

Ahli sejarah haruslah meneliti hal ini dengan lebih mendalam untuk dapat menghasilkan sebuah karya sejarah yang berkualiti dan mengandungi isi yang benar-benar tepat tentang fakta-fakta sejarah. Hal yang sedemikian rupa akan mencalarkan nama baik sejarah jikalau perkara tersebut tidak benar-benar dikaji dan hanya diambil ringan oleh ahli sejarah. Oleh sebab itulah, sejarah itu dikatakan dan dianggap begitu penting untuk menghasilkan penulisan yang berkualiti tinggi.

===

Nota kaki: Rencana ini terdedah dalam media arus perdana milik kerajaan, PELITA BRUNEI, di Bandar Seri Begawan, Negara Brunei Darussalam, pada hari Sabtu, 3 Mei 2014. Rencana asal dan penuh dapat pula dilayari secara terus di: http://www.pelitabrunei.gov.bn/rencana/item/10572-pentingnya-mempelajari-sejarah [diakses di kaki-bukit Gunung Manglayang, Komp Vijaya Kusuma, Cipadung, Bandung, Indonesia: 6 Mei 2014].

SHARE

1 COMMENT

  1. Selamat, kepada penulis dari Brunei ini. Sebagai info dan pengetahuan masyarakat Indonesia bahwa ternyata lagu “Halo-halo Bandung” itu penciptanya adalah Sultan Brunei Darussalam. Mengapa? Karena Sultan Brunei kalau berbicara kepada rakyatnya selalu berkata, “Pada Pandangan Beta …”. Sedangkan, salah satu lirik dalam lagu “Halo-halo Bandung” tersebut juga menyatakan, “Sudah Lama Beta, Tidak Berjumpa dengan Kau”. Jadi, kesimpulannya, benarlah bahwa lagu ini ciptaan Sultan Brunei Darussalam. Wak wak wak. Maaf yah bercanda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here