Dua Imej, Dua Garis

1
93

Oleh: Hisham Rais

APABILA 1,300 perwakilan PAS (Parti Al-Islam se Malaysia) menghadiri muktamar tahunan parti itu yang ke-59 mulai 22 November 2013 ini, mereka mempunyai misi penting untuk dilunaskan iaitu pertama, mengembalikan kekuatan ulama dalam hierarki kepimpinan utama PAS. Kedua, mendesak supaya PAS tidak menjadi lebai malang melalui kerjasama dalam Pakatan Rakyat (Zulkiflee Bakar, Mingguan Malaysia, 10 November 2013)

Pada satu ketika yang tak berapa lama dahulu, di zaman kegemilangan kerajaan Ketuanan Melayu, media milik UMNO (United Malays National Organisation) langsung tidak ambil pot, sama ada DAP (Democracy Action Patry) berkongres atau PAS bermuktamar. Dengan keangkuhan kuasa yang dimiliki, kerajaan Ketuanan Melayu ini bermimpi bahawa hingga dunia kiamat mereka akan terus berkuasa.

Kini kerajaan Ketuanan Melayu ini telah terjaga daripada dengung khayalnya. Sesudah PRU (Pilihan Raya Umum) ke-12 dan ke-13, lanskap politik Malaysia telah berubah. Hegemoni kuasa yang dimiliki oleh UMNO (United Malays National Organisation) telah retak, terhakis dan menunggu masa untuk terburai. Hukum-hukum dan syarat sosial telah berubah dan tidak lagi menyebelahi parti Ketuanan Melayu. Rakyat Malaysia semakin ramai melarikan diri dari UMNO (United Malays National Organisation), macam tikus takutkan ular Tedung, atau macam Mat Rempit bencikan “road-block”.

PRU-13 sahih membuktikan bahawa kerajaan Ketuanan Melayu yang wujud pada hari ini adalah kerajaan haram. Bukan hanya tidak mendapat undi popular, malah undi yang diperolehi pun dengan cara menipu. Undi tipu datang daripada penipuan, pengundi awal, daripada pengundi hantu dengan kad pengenalan palsu dari Sabah dan Sarawak, atau daripada dakwat kekal yang tidak kekal. Ini hanyalah sebahagian daripada penipuan yang telah sahih dibuktikan. Terbukti sah bahawa kerajaan Ketuanan Melayu ini hanya mendapat 47% daripada undi popular, wal hal Pakatan Rakyat telah mendapat 52% undi popular.

najib.babak.belur.pemilu.malaysiaFakta 47% dan 52% ini wajib terus diingati dan diheboh-hebohkan, kerana ini hakikat lanskap politik Malaysia sekarang. Apa sahaja dasar, apa sahaja rancangan, apa sahaja undang-undang yang dijalankan oleh parti Ketuanan Melayu, semuanya tidak mendapat sokongan majoriti rakyat negara ini.

Dasar yang dijalankan oleh kerajaan Ketuanan Melayu ini ialah dasar haram. Undang-undang yang diluluskan di Parlimen ialah undang-undang haram. Ini hakikat. Malah setiap ahli, setiap YB (Yang Berhormat), dan setiap Menteri daripada parti Ketuanan Melayu sedar tentang hal ini.

Justeru, daripada kesedaran ini, parti Ketuanan Melayu sedang merancang untuk mematahkan setia kawan antara PAS, DAP dan KEADILAN. Penyatuan kerjasama antara tiga buah parti politik yang telah terjalin semenjak PRU-12 dahulu telah berjaya mengubah lanskap dan persepsi politik Malaysia.

Orang ramai, rakyat Malaysia, terutama anak muda, tidak segan lagi untuk memperlekeh konsep Ketuanan Melayu, malah mempertikaikan sejarah kewujudan UMNO (United Malays National Organisation) sendiri. Orang ramai, anak semua bangsa, kini secara terbuka sudah berani untuk menolak hegemoni parti Ketuanan Melayu.

Dengan menggunakan kayu ukur konsep Ketuanan Melayu, dengan menggunakan slogan “Hidup Melayu”, parti UMNO (United Malays National Organisation) menjaja apa yang mereka panggil “Perpaduan Melayu”. Daging busuk yang bernama Perpaduan Melayu ini telah dijaja ke hulu ke hilir. Hanya dengan satu harapan, hanya dengan satu mimpi, bangkai busuk ini akan memerangkap beberapa ekor buaya-buaya lapar balak dan buaya-buaya lapar projek, yang sentiasa lapar dalam Pakatan Rakyat.

Strategi parti Ketuanan Melayu ini cukup senang. Tidak perlu mengupah APCO untuk menjadi jurufikir atau meminta Idris Jala membuat “makmal”. Strategi gerombolan ketuanan Melayu ini jelas bogelnya.

Pakatan Rakyat perlu dimusnahkan. Peranan ini wajib dijalankan oleh PAS. Parti Islam ini wajib meninggalkan Pakatan Rakyat. PAS wajib kembali dengan hujah lama. Kembali dengan pendekatan lama. Bukan mengajukan “Negara Berkebajikan” tetapi “Negara Islam”. Bukan untuk membawa keadilan sosial untuk semua, tetapi membawa hudud yang menakutkan. Bukan menjadi parti politik yang berjuang untuk mewujudkan agihan ekonomi yang adil, tetapi PAS yang terus mengeluarkan fatwa-fatwi dan ayat-ayat untuk menghalal dan mengharam yang itu dan yang ini. PAS juga wajib terus menghukum si Polan dan si Polan atas nama Islam.

Hakikatnya, bekerjasama dan bersetia kawan dengan yang bukan ahli PAS adalah “haram”. Ahli PAS di sini wajib dibaca sebagai daripada Bani Melayu sahaja. Justeru, bekerjasama dengan bukan Melayu oops … dengan bukan Islam itu haram. Inilah fatwa yang terus diidam-idamkan oleh UMNO (United Malays National Organisation). Inilah garis politik yang diharapkan muncul dalam Muktamar PAS yang Ke-59 ini.

Bukan susah untuk mencari buaya lapar projek dalam KEADILAN, dalam DAP, atau dalam PAS. Dalam parti PAS, buaya-buaya lapar projek ini boleh mengolah kelaparan mereka dengan ayat-ayat suci, dengan Hadis, dan sanad. Pekara ini bukan susah untuk dilakukan. Perpaduan Melayu ini akan diganti dengan Perpaduan Ummah. Ucapan politik Perpaduan Ummah ini akan disira pula dengan beberapa ayat-ayat Arab. Penggunaan ayat-ayat dalam bahasa Arab pasti menjadi umpan yang afdal di mata kail. Inilah keindahan parti PAS.

Muktamar ke-59 PAS kali ini memperlihatkan dua imej dan dua garis. Memahami realpolitik ialah memahami tentang garis politik. Retorik yang dihamburkan hanya bertujuan untuk mengolah persetujuan untuk mendapatkan kuasa politik. Kuasa politik yang ingin dirangkul akan dapat mengaut kuasa ekonomi. Kuasa ekonomi sekali lagi akan memperkukuh kuasa politik. Berpolitik ialah bekerja mencari sokongan ramai untuk mendapat kuasa ini. Inilah realpolitik, sama ada parti politik Islam atau parti politik Hindu.

Dua garis pertembungan dalam PAS ini sedang jelas kelihatan. Garis Perpaduan Melayu opps … Perpaduan Islam atau garis Perpaduan Kerjasama Menentang Kezaliman. Muktamar ke-59 ini adalah manifestasi pertembungan dua garis ini. Satu diwakili oleh Nik Amar dan satu lagi oleh Muhamad Sabu a.k.a Mat Sabu. Pertembungan garis ini sedang berlaku dalam semua tahap pemilihan pucuk pimpinan PAS kali ini.

Peranan dan niat parti Ketuanan Melayu cukup jelas. Sebelum agenda Muktamar PAS dimulakan, 52% rakyat Malaysia penyokong Pakatan Rakyat telah melihat bagaimana saban hari media milik UMNO (United Malays National Organisation) membuat onar terhadap parti DAP.

Sebelum dan sesudah Kongres DAP, kita melihat bagaimana hampir setiap hari akhbar Melayu yang kesesakan iklan ini menabur fitnah, menabur tohmah, dan mewujudkan kesangsian orang Melayu terhadap peranan DAP dalam Pakatan Rakyat. Kempen anti DAP ini ditujukan untuk Bani Melayu dan Bani Kerajaan Perpaduan dalam PAS.

Kita lihat bagaimana bertahun-tahun, sebelum PRU-13 lagi, ejen-ejen UMNO (United Malays National Organisation) di dalam PAS telah membuat onar. Hari ini rakyat Malaysia telah diberitahu bagaimana pada malam kekalahan UMNO (United Malays National Organisation) di Selangor dalam PRU-12, si Haji Datuk Dr Hasan Ali telah mula membuat rundingan untuk mendirikan “kerajaan campuran” antara PAS dengan UMNO (United Malays National Organisation).

Hari ini umum juga mengetahui bagaimana ejen gerombolan Ketuanan Melayu ini telah menjalar dan membelit untuk terus menjual daging busuk yang bernama “Kerajaan Perpaduan”. Kempen Kerajaan Perpaduan ini bertali arus. Hampir setiap Menteri UMNO (United Malays National Organisation) telah menyuarakan pandangan tentang betapa pentingnya Perpaduan Ummah opps … Perpaduan Melayu untuk kesejahteraan Islam.

Mengikut logik Ketuanan Melayu, jika orang Melayu tidak bersatu maka Islam akan hancur-lebur, punah-ranah. Justeru, kita melihat pinangan dan jemputan datang secara terang-terang dan juga pinangan datang secara gelap-gelap. Pinangan secara gelap-gelap ini yang menjadikan air liur Hasan Ali dan Nasaruddin Mat Isa terburai meleleh hingga boleh menenggelamkan sebuah madrasah.

Kita juga telah melihat bagaimana tiga tahun dahulu, Utusan Malaysia secara terang-terangan telah menjadi jurubicara kepada Nasaruddin Mat Isa. Ini berlaku ketika adanya perlawanan perebutan tiga penjuru untuk menobatkan Timbalan Presiden parti PAS.

Apakah kali ini ianya berbeza? Jawabnya tidak. Malah kali ini taktik dan kempen gerombolan untuk memecahkan saf PAS dilakukan secara terancang. Berbulan-bulan, sebelum Muktamar, telah dimunculkan agenda Syiah. Amat jelas agenda Syiah ini bertujuan untuk memastikan Mat Sabu yang kini Timbalan Presiden PAS akan dapat dikalahkan.

Mazhab Syiah ini digunakan oleh mazhab Sunni Wal Rasuah, kerana diuar-uarkan Mat Sabu ini ialah seorang pengikut mazhab Syiah. Mengikut ajaran Sunni Wal Rasuah, kerana Mat Sabu tidak makan sotong maka Mat Sabu tidak berhak untuk menjadi pemimpin PAS.

Sebenarnya bukan makan sotong yang menjadi latar kempen anti Syiah yang telah dilancarkan oleh Ketuanan Melayu yang bermazhabkan Sunni Wal Rasuah. Kempen anti Syiah yang dijalankan oleh Ketuanan Melayu ini adalah kempen garis politik. Syiah atau Sunni ini hanyalah bertujuan untuk mengolah persetujuan ahli PAS untuk menolak atau menerima garis politik Mat Sabu atau garis politik Nik Amar.

Ahad baru-baru ini “salvo pertama” telah dilancarkan oleh Mingguan Malaysia untuk meraih simpati 1,300 perwakilan PAS agar mengundi Nik Amar untuk mengalahkan Mat Sabu. Dalam masa dua minggu sebelum Muktamar ini rakyat Malaysia, anak semua bangsa akan membaca, mendengar, dan melihat banyak lagi bentuk-bentuk kempen yang akan dijalankan untuk memastikan Mat Sabu kalah. Kenapa agaknya penting sekali Mat Sabu ini dikalahkan? Tunggu minggu hadapan.

===

Nota kaki: Rencana provokatif ini terdedah dalam media online milik pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Rencana penuh dan asal dapat dilayari pula secara terus di: http://www.keadilandaily.com/dua-imej-dua-garis-oleh-hisham-rais/ [diakses di kaki bukit Gunung Manglayang, Komp Vijaya Kusuma, Cipadung, Bandung, Indonesia: 22 November 2013].

Hisham Rais ialah penulis prolifik dan aktivis pertubuhan bukan kerajaan yang menyokong parti pembangkang, Pakatan Rakyat, dalam alam politik kontemporari di Malaysia.

SHARE

1 COMMENT

  1. Fortunately for Indonesian people that the Javanese as well as the Sundanese, as dominant ethnics in Indonesia, are not like the Malay ethnic in Malaysia. Lifelong the Great Indonesia!!!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here