Pelan Pendidikan: Apa Isunya?

0
78

Oleh: Badan Pemikir KPRU (Kajian Politik untuk Perubahan)

Sejak pembentangan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013–2025, pada 11 September 2012, perbincangan dan pertikaian terhadap pelan tersebut tidak pernah lenyap dalam kalangan masyarakat, biarpun dokumen rasmi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dimuktamadkan dan dilancarkan pada 6 September 2013, masih terdapat pihak yang tidak kelihatan letih lesu menentangnya.

Apakah sebuah pelan yang dikatakan bermatlamat mentransformasikan sistem pendidikan yang merupakan tunjang pembangunan negara ini gagal mendapat sokongan padu daripada masyarakat berbilang etnik? Apakah dakwaan Timbalan Menteri Pendidikan, P. Kamalanathan, bahawa hanya Lembaga Pengelola Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) sahaja menentang pelan ini satu dakwaan yang sahih?

Dakwaan P. Kamalanathan mungkin mudah mempengaruhi persepsi golongan masyarakat yang tidak membaca akhbar bahasa Cina. Namun begitu, jika diteliti liputan media khususnya akhbar Cina sejak pembentangan laporan awal sehingga dokumen rasmi PPPM, dakwaan P. Kamalanathan sama sekali tidak benar.

pelan.pendidikanDi antaranya, Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), iaitu sebuah gabungan yang terdiri daripada 25 organisasi bukan kerajaan (NGO, Non-Governmental Organization) pelbagai kumpulan etnik dan agama tidak berpihak kepada PPPM dan menyerahkan surat memorandum berpanjangan 10 muka kepada pihak kerajaan pada 29 November 2012. GBM mendakwa PPPM dimuktamadkan tanpa mengambil kira sepenuhnya pendapat dan saranan organisasi sivil. GBM turut menyeru pihak Kementerian Pendidikan untuk melanjutkan tarikh tamat perundingan bagi PPPM supaya organisasi sivil berkesempatan untuk mengkaji dan menyemak semula draf tersebut.

Beberapa pertubuhan pendidikan, termasuklah Dong Zong dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia (Jiao Zong), juga membantah keras cadangan dalam PPPM, khususnya berkaitan dengan penambahan waktu kelas mata pelajaran Bahasa Melayu pada peringkat kedua Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina. Dong Zong berdiri tegas pada pendiriannya bahawa waktu kelas Bahasa Melayu harus dikekalkan pada tempoh 180 minit di SJK (C) dan SJK (T), dan dengan kerasnya menolak usul dan polisi yang tidak mendorong pembangunan pendidikan bahasa ibunda dalam PPPM.

Jiao Zong pula menggesa Kementerian Pendidikan untuk meningkatkan penguasaan dan standard Bahasa Melayu melalui bahan pengajaran, kaedah pengajaran, buku teks dan latihan guru, bukannya dengan menambahkan waktu kelas kepada 270 minit. Tuntutan Jiao Zong juga termasuklah pengiktirafan perbezaan bahasa pengantar di antara SJK (Sekolah Jenis Kebangsaan) dan SK (Sekolah Kebangsaan), kurikulum, buku teks, dan tahap peperiksaan  Bahasa Melayu perlulah berbeza supaya sepadan dengan keperluan SJK. Jiao Zong berbeza pandangan dengan Dong Zong di mana Jiao Zong menyarankan supaya waktu kelas Bahasa Melayu dinaikkan kepada tempoh 210 minit, bukan 270 minit (PPPM) mahupun 180 minit (Dong Zong).

Terdapat juga 16 buah persatuan Cina telah menyediakan kenyataan bersama yang bertajuk “Memperbangunkan Pendidikan Bahasa Ibunda, Mempertingkatkan Pendidikan Kebangsaan”, untuk mengemukakan pandangan pelbagai pihak dalam masyarakat Cina terhadap PPPM dan menyerahkannya kepada Kementerian Pendidikan pada 21 Ogos 2013. Antara kandungan kenyataan tersebut merangkumi pendirian bahawa sistem pendidikan pelbagai aliran sekolah adalah munasabah dan bukannya penghalang perpaduan kaum, menuntut supaya mengiktiraf dan mengukuhkan kepentingan kelas peralihan, menjamin sistem pendidikan pra-sekolah pelbagai aliran, serta menubuhkan Education Ombudsmen bagi menyelia dan memastikan kecekapan dan keadilan Kementerian Pendidikan.

Selain itu, Penasihat Tamil Foundation, K. Arumugam turut menyatakan PPPM akan mengakibatkan pendidikan pelbagai bahasa dipinggir dan dimusnahkan. Hal ini kerana objektif utama PPPM dikatakan adalah untuk menjadikan sekolah kebangsaan sebagai pilihan sekolah sebagai langkah menggalakkan interaksi antara pelajar daripada latar belakang yang berbeza, dan rasionalnya adalah untuk membina perpaduan melalui sekolah kebangsaan yang dihadiri oleh semua pelajar daripada pelbagai latar belakang etnik. Lantas, beliau menggesa kerajaan agar membawa PPPM untuk dibahas oleh orang awam dan mempertimbangkan manfaat sosial dan ekonomi yang dibawa oleh kepelbagaian bahasa serta budaya dalam negara ini.

Di sebaliknya, terdapat juga pertubuhan yang menyokong kuat usaha kerajaan merangka PPPM. Di antaranya, Kongres Perdana Pendidikan Kebangsaan (KPPK) telah mengemukan 10 resolusi bagi menyokong pelaksanaan PPPM pada 27 Ogos 2013. Dalam resolusi yang disenaraikan oleh KPPK, ia pula membidas beberapa pihak terutamanya Dong Zong yang tidak menyokong PPPM dan menuntut supaya Kementerian Pendidikan melalui Malaysia Qualification Agency (MQA) tetap tidak meluluskan Unified Examination Certificate (UEC) yang dikeluarkan oleh Malaysia Independent Chinese Secondary School (MICSS) yang dituntut oleh Dong Zong untuk menjadikannya setara dengan kelayakan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) atau Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM). Lebih-lebih lagi, KPKK turut mendesak Perdana Menteri dan Kementerian Pendidikan Malaysia agar bersikap tegas dengan mewujudkan satu sistem pendidikan yang tunggal dan tidak meluluskan penubuhan Sekolah Menengah Cina dan mengiktiraf Kolej Swasta Cina yang tidak mengikut Kurikulum Pendidikan Kebangsaan dan menggunakan Bahasa Melayu sebagai pengantar utama.

Selain pelbagai suara daripada masyarakat sivil, beberapa ahli politik turut menyatakan pandangan mereka. Ketua Biro Pendidikan Persatuan Cina Malaysia (MCA, Malaysia Chinese Association) Kebangsaan, yang juga merupakan bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Wee Ka Siong, menegaskan bahawa merujuk kepada isu waktu kelas pengajaran Bahasa Melayu di SRJK (C), pendirian MCA tidak pernah berubah, iaitu tetap mahu dikekalkan 210 minit. Beliau juga menyatakan bahawa tahap penguasaan Bahasa Melayu di SRJK (C) tidak boleh disamakan dengan Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) dan ini merupakan prinsip MCA yang tidak boleh dikompromi. Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda MCA, Chong Sin Woon, juga tidak bersetuju untuk menyeragamkan kurikulum Bahasa Malaysia sekolah vernakular dan sekolah kebangsaan kerana kaedah pengajaran bahasa adalah berbeza antara sekolah, maka cadangan tersebut dan adalah tidak praktikal.

Bendahari Agung Kongres India Se-Malaysia (MIC, Malaysia Indian Congress), Datuk Jaspal Singh, pula menyatakan penyeragaman kurikulum Bahasa Malaysia tersebut bukan satu ancaman terhadap sekolah vernakular tetapi untuk mengukuhkan Bahasa Kebangsaan. Beliau menyatakan kurikulum Bahasa Malaysia yang berbeza telah menyebabkan pelajar dari sekolah vernakular sukar untuk mencapai kredit bagi Bahasa Malaysia dalam SPM.

Dasar pendidikan harus dibebaskan daripada kongkongan ideologi berpaksikan “negara-bangsa singular”, kepelbagaian bukan hambatan perpaduan

Pada pendapat badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU), PPPM yang kelihatan berwawasan tinggi dan komited menggerakkan transformasi sistem pendidikan yang selari dengan slogan transformasi yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, masih terkongkong dengan wacana perpaduan yang berpaksikan ideologi “negara-bangsa singular”. Menurut Pusat Rujukan Persuratan Melayu Dewan Bahasa dan Pusaka, negara-bangsa didefinisikan sebagai negara yang berdaulat yang didiami oleh satu bangsa.

Malaysia bukan satu-satunya yang bersungguh-sungguh merealisasikannya sebagai sebuah negara-bangsa; di negara-negara jiran seperti Indonesia dan Thailand, mereka turut mendukung konsep negara-bangsa dengan mengadakan satu bahasa, budaya dan nilai bagi mengintegrasikan masyarakatnya. Di Singapura juga, sekolah-sekolah beraliran Cina dan Tamil dibubarkan selepas mencapai kemerdekaan bagi mengurangkan semangat “kecinaan dan keindiaan”, kebebasan berbudaya dan beragama pula disekat pada awalnya bagi menjadikannya sebuah negara-bangsa. Dalam hal ini, sistem pendidikan tunggal yang dilihat sebagai pemangkin pembinaan negara-bangsa lazimnya dialu-alukan dan diberi penekanan bagi membolehkan semua masyarakt tegak di atas suatu identiti negara yang sama.

Namun, KPRU berpendirian bahawa sistem pendidikan tidak patut terperangkap dengan wacana perpaduan yang berpaksikan konsep “negara-bangsa singular” tersebut. Jika tidak, kepelbagaian akan sentiasa dilihat sebagai unsur yang bertentangan dengan perpaduan, dan sesungguhnya ini merupakan tanggapan yang tidak menguntungkan masa depan Malaysia – tanah air anak muda daripada pelbagai latar belakang etnik.

Sesungguhnya, tiba masa sebuah pelan pembanguann pendidikan membebaskan dirinya daripada falsafah pendidikan yang terikat dengan ideologi “negara-bangsa singular” dan memberikan nafas baru kepada dirinya di mana penghayatan konsep “negara-bangsa” adalah berlandaskan sifat dan realiti kepelbagaian. Dengan berbuat demikian, tanah air kecintaan kita dapat membebaskan pendidikan negara daripada mitos “singularisme demi perpaduan”, lantas menggembleng tenaga keseluruhan tenaga pengajar, pengetua, dan pengelola ke arah pendidikan berkualiti dan prihatin terhadap keperluan semua pelajar.

Sebagai sebuah pelan pendidikan yang dikatakan memacukan transformasi, corak pemikiran bahawa peningkatan dalam stratifikasi etnik di sekolah-sekolah kepelbagai aliran merupakan suatu hambatan kepada interaksi antara pelajar pelbagai kaum sepatutnya disingkirkan kerana ia tidak mencerminkan realiti masyarakat Malaysia. Hal ini bukan sahaja tidak dapat menambahbaikkan hubungan antara pelajar yang berasal daripada kumpulan etnik yang berbilang, bahkan menyemaikan tanggapan salah atau stereotaip yang tidak sihat dalam usaha menggalakkan interaksi antara kaum. Dalam situasi sedemikian, sudah tentu kepeluangan untuk interaksi tidak semestinya menjamin penambahbaikan hubungan etnik, malahan akan mencetuskan konflik ekoran gambaran tidak tepat yang direplikasi berulang kali.

Kepelbagaian aliran sekolah di Malaysia merupakan aset negara yang unik sejak kemerdekaan, ia seharusnya dihayati dan diberi penghargaan, bukannya dijadikan “isu palsu pendidikan” dan menyimpangkan isu pokok pendidikan, iaitu meningkatkan kualiti pendidikan dan memenuhi keperluan pelajar.

Dalam usaha memupuk perpaduan dan hubungan yang lebih erat antara etnik pula, pihak kerajaan seharusnya merujuk kepada model yang lebih berkesan. Menurut hipotesis Intergroup Contact yang dicadangkan oleh Allport, iaitu seorang pakar psikologi yang terkenal, yang menyatakan bahawa, hubungan antara kumpulan hanya dapat dipertingkatkan dengan berkesan apabila interaksi tersebut disertai dengan empat kriteria, iaitu status yang setara, matlamat yang sama, kerjasama antara kumpulan, sokongan daripada pihak berkuasa.

Pertama sekali, status yang setara bermaksud kumpulan-kumpulan tersebut berada dalam hubungan status yang sama. Dalam hal ini, ia boleh ditafsirkan sebagai kesaksamaan di antara sekolah pelbagai aliran. Namun, sistem pendidikan negara ini telah menyaksikan pelagai jenis ketidaksaksamaan dalam hal mendahului keperluan para pelajar tanpa berpaksikan ideologi dan kepentingan politik. Misalnya, sedangkan pertumbuhan populasi Cina dan Tamil dalam negara ini telah pun berlipat ganda sejak kemerdekaan, sekolah berbahasa ibunda mereka pula semakin berkurangan. Pada tahun 1970, SJK (C) dan SJK (T) masing-masing mempunyai 1,386 buah dan 661 buah. Data terkini menunjukkan bahawa bilangan SJK (C) telah dikurangkan 93 buah dan kini  mencatat sejumlah 1,293 buah manakala bilangan SJK (T) mengalami penurunan yang lebih mendadak, iaitu hanya tinggal 522 buah buat masa ini.

Jadual berikut menyenaraikan bilangan sekolah pelbagai aliran pada tahun 70-an dengan bilangan yang terkini.

Tahun Sekolah Rendah Kebangsaan Sekolah Rendah Inggeris Sekolah Rendah Cina Sekolah Rendah Tamil
1970 2792 1519 1386 661
2013 5858 0 1293 522
1970-2013 Bertambah 3066 buah Sekolah Rendah Kebangsaan Pada tahun 1975, Sekolah Rendah Inggeris ditiadakan Berkurang 93 buah Sekolah Rendah Cina Berkurang 139 buah Sekolah Rendah Tamil

Sumber: Statistik Dong Zong

Tambahan pula, dengan mengambil kira peruntukan secara dasar dan bantuan per kapita yang diberikan kepada Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) sama ada Cina atau Tamil, perbezaannya adalah ketara dan ketidaksamaratan adalah menonjol iaitu kurang daripada 5 peratus daripada jumlah peruntukan untuk semua sekolah. Di samping itu, wakil sekolah agama juga pernah menyuarakan ketidakpuasan mereka akibat terpinggir dalam sistem pendidikan negara.

Pada 11 Oktober 2012, beberapa wakil pendidik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan Sekolah Agama Rakyat (SAR) serta kira-kira 1,000 pelajar termasuk guru-guru SAR di seluruh Malaysia telah berhimpun di depan Parlimen dan menyerahkan memorandum bantahan berhubung pengabaian peruntukan kepada sekolah agama dalam pembentangan Belanjawan Negara 2013. Selain itu, tuntutan juga dibuat agar kerajaan menambah geran bantuan per kapita yang sedia ada, bantuan modal, buku teks, bantuan guru akademik dan bantuan-bantuan lain bagi melicinkan pentadbiran SAR. Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Pusat, Datuk Abu Bakar Chik menyatakan ketiadaan peruntukan untuk SAR membuktikan kefahaman pihak kerajaan terhadap pendidikan Islam masih terbatas dengan menganggap ia sebagai mata pelajaran sahaja, bukan sebagai institusi penting dan menyeluruh.

Justeru, jika kerajaan berhasrat untuk membina perpaduan melalui pendidikan, langkah pertama adalah dengan mengiktiraf semua aliran sekolah dalam sistem pendidikan negara secara setara dengan memberi peruntukan secara dasar kepada sekolah berdasarkan keperluan pelajar, dan bukannya keperluan politik.

Kedua, kerjasama antara kumpulan dapat menambahkan pemahaman antara etnik dan mengurangkan prejudis. Program Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memberi tumpuan kepada usaha menggalakkan interaksi antara murid pelbagai kumpulan melalui aktiviti sukan dan kokurikulum merupakan satu langkah yang baik untuk memenuhi salah satu kriteria yang disebut oleh Allport. Dukacitanya, wujudnya persekitaran sekolah yang tidak menyokong norma pengeratan dan saling menghormati antara etnik di Malaysia. Guru yang sepatutnya menjadi teladan dalam mengeratkan hubungan antara etnik sebaliknya mengeluarkan kenyataan rasis di sekolah. Justeru, bagaimanakah perpaduan dapat dicapai walaupun semua pelajar berbilang etnik berada di sekolah yang sama?

Inisiatif atau usaha yang diambil oleh pihak berkaitan dalam aspek ini amat perlu dipergiatkan. Walaupun terdapat sesetengah langkah telah diambil, contohnya kajian yang dijalankan oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia terhadap “Dialog antara Agama di Malaysia dalam mengurangkan prejudis”, namun hasil kajian menyatakan dialog tersebut tidak disertai dengan empat kriteria yang disebut oleh Allport, dan ia hanya merupakan satu forum atau syarahan umum yang tidak berkesan dalam mengurangkan prejudis.

Penutup

Pengamatan KPRU dalam perkembangan pelancaran PPPM mendapati bahawa sistem pendidikan negara masih tidak dapat melepaskan diri daripada diskusi perpaduan berpaksikan “negara-bangsa singular”, dan sesungguhnya kekangan ini merupakan permasalahan yang didepani bukan sahaja pihak kerajaan, tetapi sebahagian besar elit masyarakat dalam usaha melonjakkan pencapaian pendidikan dan lantasnya memupuk generasi muda yang berpengetahun, berkemahiran kepimpinann, berupaya berkomunikasi dan berdaya saing pada peringkat global.

Unsur kepelbagaian harus diterapkan dalam sistem pendidikan semasa sebagai pengiktirafan kepada pelbagai aliran sekolah dalam mendidik dan memupuk tonggak utama negara untuk masa depan. Walau bagaimanapun, pendekatan yang diambil oleh Dong Zong sehingga mendakwa bahawa PPPM bakal menggugat kelangsungan SRJK (C) adalah reaksi yang terlalu pesimistik, memandangkan PPPM tidak menyatakan niat untuk menutup atau menafikan kedudukan sekolah vernakular, biarpun ia dilihat berkecenderungan menuju ke haluan sistem pendidikan tunggal.

===

Nota kaki: Rencana ini terdedah dalam media online milik pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Rencana penuh dapat dilayari pula secara terus di: http://www.keadilandaily.com/pelan-pendidikan-apa-isunya/ [diakses di Vijaya Kusuma, Cipadung, Bandung, Indonesia: 12 Oktober 2013].

Badan Pemikir KPRU adalah pertubuhan bukan kerajaan di Kuala Lumpur, Malaysia.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here