Mengalihkan Agenda

0
81

Oleh: Hishamuddin Rais

Rakyat Malaysia telah menyatakan bahawa mereka tidak menerima keputusan PRU (Pilihan Raya Umum) ke-13. Orang ramai tahu bahawa penipuan telah dilakukan oleh SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) untuk memenangkan UMNO (United Malays National Organisation). Laporan media antarabangasa telah memberitahu tahu warga dunia bahawa undi majoriti – 52% – adalah milik Pakatan Rakyat. Rakyat Malaysia dan warga dunia telah juga diberitahu bahawa ketika ini ombak membantah ke jalan raya sedang berjalan dan sedang disusun.

Tunjuk perasaan di jalan raya ini adalah bukti penolakan rakyat tehadap penipuan yang telah berjalan. Beribu-ribu rakyat telah turun ke jalan raya menuntut kesemua 7 orang Pesuruhjaya SPR meletak jawatan. Demo dijalan raya ini juga menuntut agar pemilihan dilakukan semula ditempat tempat berlakunya penipuan. Secara resmi Pakatan Rakyat telah membuktikan berlaku penipuan di 24 kawasan. Rakyat yang turun ke jalan raya juga menuntut dihentikan serta projek persempadanan semula. Projek persempadanan semula ini adalah satu lagi kerja jahat dan penipuan SPR.

Pelik bin ajaib – ketika rakyat Malaysia berdemo dijalan raya menolak keputuan PRU13 – ketika inilah bersepah-sepah mucul berita remeh lagi temeh. Berita tentang “makan tanggung berak cangkung”. Berita tentang penghinaan Agong dalam laman Facebook. Tidak cukup dengan berita “menyekeh” Agong ini dilaporkan juga berita menghina Nabi Muhamad.

Berita “makan tanggung berak cangkung” ini disambut pula oleh angan-angan berahi untuk mewujudkan Akta Derhaka. Cadangan ini datangnya dari bekas Hakim. Kemudian cadangan ini disambut oleh pelbagai bentuk NGO (Non Governmental Organization) Melayu, NGO Bumiputera dan NGO Melayu Islam. Akta Derhaka ini khusus untuk kes makan tanggung berak cangkung ini, kunun, untuk memperlihatkan taat setia warga Malaysia kepada Raja dan Sultan.

Tapi paling lawak ialah apabila dikatakan ada komen-komen dan kata-kata yang kurang sopan ditulis dalam laman Facebook tentang Agong. Tidak cukup dengan kesah “makan tangung berak cangkung”, dilaporkan juga ada tulisan dalam Facebook yang dikatakan telah menghina Nabi.

Si Polan yang menulis penghinaan di Facebook ini jelas kurang pendidikan. Si Polan jenis yang menghina Nabi Muhamad, Guru Nanak, Isa dari Nazareth atau sesiapa sahaja pastilah manusia kurang hajar. Si Polan sademikian bukan hanya ditemui di Malaysia malah diserata dunia kita akan bertemu dengan manusia jenis ini. Di Mekah, di Madinah malah di Baitulmukadis pun bersepah-sepah si Polan jenis ini. Mereka merasa hanya agama mereka sahaja yang betul dan tepat. Agama yang lain dianggap agama sesat.

Sekali pandang berita-berita sademikian agar serious. Tetapi ianya telah menjadi bahan lawak. Berita ini menjadi bahan lawak kerana ada saorang Pak Menteri berkata bahawa dia akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tulisan di Facebook yang menghina Nabi. Biasanya kalau seseorang dihina akan ada saman malu. Tetapi Nabi telah lama wafat. Maka kes menghina dan saman malu tidak timbul.

Yang timbul ialah Pak Menteri telah menjadi bahan lawak. Orang ramai yang rasional mula bertanya bila Sang Menteri ini mendapat kebenaran dari Nabi untuk mengambil tindakan undang-uandang. Adakah kaum keluarga Nabi telah meminta Ahmad Shabery Cheek untuk mewakili Nabi dengan mengajukan writ saman malu. Saya tidak pula terbaca dalam akhbar yang melaporkan bahawa si Shabery ini telah menerima watikah dari Nabi untuk membuat saman malu.

Apa yang ingin saya nyatakan disini ialah semua berita-beria ini hanyalah sandiwara. Kita sedang melihat sandiwara sedang dipentaskan. Sandiwara bertemakan “makan tanggung berak cangkung”. Sandiwara bertemakan hina Nabi di Facebook. Biar saya terangkan kenapa semua ini saya anggap berita-beriat inhi satu sandiwara.

Nabi tidak pernah melantik sesiapa jauh sekali Shabery Chek untuk untuk mewakili dirinya. Masalah kacau dan bilau dalam dunia ini bukan kerana tuntutan atau ajaran Nabi. Kacau bilau ini dilakukan oleh mereka yang mengakui mewakili Nabi.

Manusia saperti Pak Menteri Shahbery Cheek ini sedang berselindung dibelakang Nabi. Orang-orang inilah yang meneruskan kacau bilau agar mereka terus berkuasa. Nabi dan agama telah dijadikan benteng untuk mereka terus menipu. Nama Nabi digunakan untuk memghalakan mereka merompak harta kekayan negara. Nabi dan Agama digunakan untuk menghalalkan kezaliman.

Semua berita ini saya anggap sandiwara kerana berita-berita muncul pada saat yang amat genting. Saat genting yang saya maksudkan ini ialah ketika rakyat seluruh Malaysia atau lebih tepat lagi – 52% rakyat Malaysia ini sedang berarak ke jalan raya menolak keputusan PRU13.

Saya melihat heboh-heboh tentang Agong, heboh-heboh tentang “makan tanggung berak cangkung” atau heboh-heboh tentang hina Nabi ini sengaja direka-reka. Berita-berita ini sengaja direka untuk mengalihkan pandangan orang ramai terhadap penipuan undi yang telah dilakukan oleh SPR dalam PRU13.

Sebaik sahaja keputusan PRU13 keluar – anak semua bangsa – telah menolak keputusan tersebut. Laungan – tipu tipu tipu – terdengar disana sini. Laman web dan alam maya menggelegak heboh dengan bukti-bukti penipuan. YouTube telah menyangkan berpuluh klip Mat Bangla dan Mat Indon ditangkap kerana mengundi. YouTube juga telah menayangkan episod dakwat kekal yang hilang sesudah dibasuh. Malah gambar jari Karpal Singh dan Harun Din terpampang dalam alam maya sebagai bukti dakwat kekal yang menipu.

Dari alam maya – kemarahan ini telah diterjemahkan ke Stadium Kelanja Jaya. Seramai 150,000 anak anak muda – anak semua bangsa – telah berhimpun menolak keputusan PRU13. Ombak bantahan ini telah merebak ke Pulau PInang, ke Johor Bahru, ke Melaka, ke Negeri Sembilan. Kini ombak jalan raya ini akan meranum ke Perlis, ke Sungai Petani, merebak ke Kota Bahru dan Batu Pahat. Sebelum ianya merebak kembali ke Kuala Lumpur.

Juteru, untuk memadamkan ombak kemarahan orang ramai ini maka ditimbul cerita dongeng tentang Akta Derhaka, tentang kesah hina Nabi atau tentang makan tanggung berak cangkung.

Orang ramjai tidak pernah melihat dan mengenali siapakah Minah yang dikatakan menghina Nabi. Apakah Minah ini wujud atau apakah Minah ini hanya diwujudkan untuk tujuan mengalihkan pandangan rakyat dari turun ke jalan raya. Berita-berita tentang Minah ini telah menimbulkan banyak persoalan.

Biasanya dalam alam maya – jika ada kes saperti ini maka bahan bukti – gambar dan print screen – akan muncul serta merta. Dengan sekelip mata bahan bukti ini akan menjadi viral. Tetapi dalam kes Minah hina Agong ini tidak ada satu habuk pun “print screen”. Umum hanya mengetahui melalui laporan Utusan Malaysia. Percaya kepada Utusan Malaysia samalah saperti percaya kepada “Naga Kepala Tujuh sedang menjaga Puteri Gunung Ledang”.

Tidak cukup dengan laporan berita “Naga Kepala Tujuh” – dalam berita yang sama dilaporkan juga puluhan NGO Melayu meminta tindakan dijalankan terhadap si Minah ini. Yang peliknya dikatakan ada 20 atau ada 40 NGO yang membuat laporan. Tetapi TIDAK ada nama-nama NGO yang disebutkan. Apakah ini NGO halimunan atau NGO pengamal ilmu gharaib. Langsung tidak wujud gambar-gambar untuk memperkuatkan berita bohong ini.

Hal yang sama juga dalam terjadi dalam kes hina Nabi. Dari laman mana, dari Facebook mana – hina nabi – ini muncul. Tidak pula ada penjelasan. Tidak ada bukti “print screen”. Yang menghebohkan berita hina Nabi ini hanya Utusan Malaysia. Nampaknya , akhbar ini telah menjadikan dirinya Ahlul-Bait untuk mempertahankan nama Nabi.

Saya berharap pembaca akan dapat mencantumkan berita ini satu persatu. Berita-berita ini wajib disusun dan dipetakan. Bila kesemua berita-berita ini dipetakan maka akan jelas dapat dilihat bahawa semua berita ini adalah rekaan. Berita rekaan ini bertujuan untuk mengalikan pandangan orang ramai yang sedang marah. Berita berita ini sengaja dirancang untuk memandulkan perasaan marah orang ramai yang ingin turun ke jalan raya. Berita ini juga bertujuan untuk menakut-nakutkan dan memperbodoh-bodohkan Orang Melayu.

UMNO (United Malays National Organisation) kini dalam kekalutan. Najib telah gagal untuk mendapatkan kembali 2/3 kerusi dalam Parlimen. Najib telah gagal untuk mengambil alih Selangor. Manjoriti rakyat Malaysia sedar bahawa Pakatan Rakyat telah menang. Kemenangan Pakatan Rakyat telah dirampas.

Kuasa yang didapati oleh parti Ketuanan Melayu melalui undi tipu. Penipuan ini dirancang dengan licik bukan sahaja oleh SPR malah dengan kerjasama lembaga-lembaga daulah dan ajensi-ajensi kerajaan. Hari ini majoriti rakyat Malaysia bersama rakyat dunia tidak akan mengikitiraf kemenangan United Malays National Organisation.

Jelas kerajaan UMNO (United Malays National Organisation) bukan sahaja kerajaan haram malah dari segi jumlah undi, parti Ketuanan Melayu dan kuncu-kuncunya adalah parti yang mendapat sokongan minoriti. Di Semenanjung undi mereka undi minoriti dan di Sabah dan Sarawak juga mereka mendapat undi monoriti. Jelas Parti Ketuanan Melayu ini telah ditolak oleh rakyat.

Kerana semua ini maka cerita dongeng tentang hina Nabi dan hina Agong direka. Walau apa pun cerita reka – termasuk berita Rosmah terberakkan emas – orang ramai tetap menolak keputusan PRU13. Percubaan untuk mengalihkan pandangan oarang ramai dengan kesah-kesah dongeng terbukti gagal.

Rakyat tetap akan marah. Tipu tetap tipu. Cerita-cerita Nabi atau cerita-cerita Agong tidak akan memandulkan semangat anak-anak muda untuk turun ke jalan raya. Kemarahan ini akan dibuktikan pada petang Sabtu 22 Jun di Dataran Padang Merbok. Perhimpuanan kali ini amat stratejik. Dataran Padang Merbok betul-betul dipinggir Parlimmen. Semau dijemput untuk membuat sejarah.

===

Nota kaki: Rencana provokatif ini terdedah dalam media online milik pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Rencana asali dan penuh pula dapat dilayari secara terus di: http://www.keadilandaily.com/mengalihkan-agenda-oleh-hishamuddin-rais/ [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 23 Juni 2013].

Hishamuddin Rais ialah aktivis sosial dan penyokong parti pembangkang, Pakatan Rakyat yang diterajui oleh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim), dalam alam politik kontemporari di Malaysia.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here