Kisah Sang Kiai yang Berani dan Jujur

0
352

Oleh: Saharudin Musthafa

JANGAN sesekali ada dalam kalangan kita dengan bangga mengaku sayangkan negara dan bangsanya selagi tidak mengenali sejarah kelahiran bangsa dan negara mereka sendiri.

Mengenali dan memahami sejarah sebetulnya hanya akan menjadikan kita seorang individu yang lebih kuat untuk berhadapan dengan masa depan.

Sejarah merakamkan peristiwa benar yang terjadi pada satu-satu masa tertentu untuk dihayati oleh generasi akan datang sama ada dalam bentuk penulisan buku atau pun yang difilemkan.

Andai sakit dan perit rakaman sejarah itu, kita tiada pilihan lain selain daripada menelannya.

Begitu juga dengan dokumentasi yang manis-manis tentu sekali akan memberi motivasi yang bukan sedikit untuk kita mempertahankan hal yang baik untuk diwarisi.

Inilah kelebihan yang ada pada bangsa Indonesia yang sentiasa menjadikan sejarah silam sebagai senjata paling utama untuk memperkasakan jati diri mereka.

Berbeza dengan orang kita, bangsa Indonesia sentiasa terbuka dalam menerima apa sahaja karya sejarah yang dihidangkan kepada mereka – sama ada sejarah buruk atau baik.

Pokok pangkalnya hanya dengan mendalami dan memahami sejarah menjadikan mereka bangsa yang sentiasa ke hadapan untuk memelihara nasionalisme yang mula dipupuk sejak zaman pemerintahan Presiden pertama, Sukarno.

Tokoh yang mengasaskan negara Indonesia itu membekalkan rakyatnya legasi yang cukup tinggi nilai dan kedudukannya iaitu prinsip Pancasila.

Bertitik tolak pada roh dan semangat Pancasila, nilai kebangsaan Indonesia disuburkan pula oleh karyawan filem dari negara bekas tanah jajahan Belanda itu.

Kisah dan sejarah silam yang difilemkan dilihat sebagai dokumen paling berpengaruh untuk dijadikan teladan kepada generasi muda.

Atas dasar dan matlamat itu filem Sang Kiai ditayangkan tanpa sebarang prasangka atau dihimpit oleh rasa takut untuk bercakap mengenai kebenaran silam.

Bahkan, penghasilan Sang Kiai dirumuskan oleh sebilangan besar pemimpin negara, tokoh akademik, ahli sejarah, pemimpin masyarakat, pencinta filem dan masyarakat umum sebagai sebuah karya yang cukup untuk menjadi inspirasi seluruh bangsa Indonesia.

Menteri Badan Usaha Milik Negara, Dahlan Iskan berpendapat, Sang Kiai merupakan sebuah karya yang paling tepat untuk membangkitkan nasionalisme generasi muda.

Dahlan seorang tokoh yang disegani. Sebelum menjadi menteri Kabinet, beliau merupakan seorang tokoh korporat yang membina pengaruh berteraskan jati diri yang kukuh sebagai bangsa Indonesia.

Maka tidak hairan kenapa Dahlan sendiri mengakui, beliau menitiskan air mata pada penghujung filem Sang Kiai mengenangkan mesej yang terkandung dalam karya berkenaan.

Sang Kiai mengupas kisah seorang tokoh pergerakan nasional, Kiai Haji Hasyim Asyari iaitu salah seorang pemimpin yang turut menyumbang kepada perjuangan kemerdekaan Indonesia.

Filem arahan Rako Prijanto yang memaparkan latar tahun 1942-1947 menceritakan bagaimana Hasyim Asyari menyerahkan seluruh kebaktian beliau kepada masyarakat.

Bersama-sama teman iaitu golongan ulama, beliau mendirikan sebuah organisasi berpengaruh Jamiiyah Nahdlatul Ulama (kebangkitan ulama) pada 31 Januari 1926.

Sang Kiai yang masih ditayangkan di pawagam-pawagam tempatan menampilkan pelakon ternama Indonesia seperti Christine Hakim dan Ikranegara serta pelakon-pelakon lain seperti Agus Kuncoro, Adipati Dolken, Dimas Aditya, dan Meryza Batubara.

Apa yang paling utama juga, Sang Kiai hadir tepat pada masanya ketika krisis multi-dimensi sedang berlaku di Indonesia.

Nilai Luhur

Sang Kiai disimpulkan sebagai sebuah karya yang mampu membangun karakter seseorang individu terhadap kecintaan pada bangsa dan negara.

Jauh lebih penting, mesej dalam Sang Kiai membangkitkan nasionalisme dan mewariskan nilai luhur untuk generasi muda.

Filem Sang Kiai, kata Ketua Bahagian Sosialisasi Suruhanjaya Perlindungan Anak Indonesia (KPAI) Asrorun Niam Sholeh, boleh menjadi inspirasi buat anak-anak Indonesia dalam membangun karakter yang kuat dan keperibadian yang mulia.

“Melalui filem ini anak-anak Indonesia boleh menyerap semangat dalam membangun jati diri dan idealisme kebangsaan.

“Di tengah kecenderungan tayangan filem yang mengeksploitasi seks, kekerasan, hantu dan semangat hedonisme, Sang Kiai hadir sebagai tontonan yang menghibur tetapi penuh dengan nilai pendidikan,” ulas beliau lagi.

Penerbitan filem Sang Kiai juga mencetus fenomena apabila banyak pihak menganjurkan sesi wacana filem berkenaan.

Senario ini dilihat sebagai satu terjemahan betapa karya yang bercerita mengenai sejarah perjuangan silam amat relevan dan subur sampai bila-bila.

Tentu sekali sebilangan besar generasi muda Indonesia tidak mengenali siapa itu Hasyim Asyari dan bagaimana semangat kebangsaan yang ada dalam diri pemimpin hebat itu.

Kerana itu, generasi muda Indonesia hari ini sangat berterima kasih kepada sejarah yang telah merakamkan kehebatan tokoh ulung itu.

Melihat bagaimana Sang Kiai dihasilkan dengan penuh kejujuran dan keberanian untuk bercerita tentu sekali akan membuatkan seluruh rakyat Indonesia terpesona untuk menggandakan semangat nasionalisme mereka.

Hakikatnya, rakyat Indonesia amat memahami bahawa sejarah adalah sejarah. Fakta dalam sejarah tidak boleh diubah sama sekali.

Inilah yang menyebabkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang menggelarkan diri sebagai Dewan Koordinasi Nasional Gerakan Pemuda Kebangkitan Bangsa (DKN GARDA BANGSA) menganjurkan siri jelajah wacana filem Sang Kiai di sejumlah kampus.

“Kami ingin membangkitkan semangat nasionalisme kaum muda,” kata Ketua DKN Garda Bangsa, Hanif Dhakiri kepada wartawan ketika ditanya rasional pihaknya menganjurkan siri jelajah filem Sang Kiai.

Bagi Hanif, Sang Kiai merupakan filem sejarah yang penting bagi generasi muda yang menceritakan perjuangan tokoh nasional menegakkan Indonesia.

Garda Bangsa juga jelas beliau, menganggap Hasyim sebagai orang yang bertanggungjawab meletakkan dasar semangat kebangsaan.

Hasyim memainkan peranan yang sangat besar dalam mendorong semangat perlawanan rakyat Indonesia pada 10 November 1945.

“Sang Kiai membangkitkan semangat juang melalui fatwa resolusi jihad mempertahankan kemerdekaan Indonesia.

“Tanpa peristiwa resolusi jihad, tidak akan pernah ada Negara Kesatuan Republik Indonesia,” ujar Hanif.

Benarlah kata Dahlan, filem seperti Sang Kiai boleh menjadi media paling efektif untuk memperkasakan nasionalisme sesebuah bangsa.

Nasionalisme juga tegas beliau tidak hanya dapat dilihat pada zahir seseorang itu, sebaliknya, dalam sanubari juga tentu sekali akan tercetus semangat kecintaan pada bangsa dan negara.

Persoalannya, apakah kita berani untuk bercerita mengenai kebenaran sejarah dan membiarkan orang ramai menonton rakaman sejarah itu tanpa sebarang prasangka seperti mana yang sudah dilakukan oleh bangsa Indonesia?

Janganlah terlalu mahu menjaga hati orang lain sehingga kita terpaksa menutup fakta sejarah yang sememangnya terbukti benar-benar berlaku.

Sekali lagi diingatkan sejarah adalah sejarah. Ia tidak boleh diubah, jauh sekali untuk dipadamkan.

Dan filem Sang Kiai harus dijadikan sebagai kayu ukur betapa hanya kejujuran dan keberanian akan menjadikan kita lebih kuat dan lebih dihormati.

===

Nota kaki: Rencana ini terdedah dalam media arus perdana online, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tarikh 16hb Jun 2013. Rencana penuh dapat dilayari pula di: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130616/re_07/Kisah-Sang-Kiai-yang-berani-dan-jujur#ixzz2WO6IZKJ5  [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 16 Juni 2013].

Saharudin Musthafa ialah Wartawan Utusan Malaysia yang tengah berkhidmat di Jakarta, Indonesia.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here