Zainudin Maidin Memalukan Bangsa dan Negara

1
102

Oleh: Saifuddin Nasution Ismail

Tulisan Zainudin Maidin bertajuk “Persamaan BJ Habibie dengan Anwar Ibrahim” dalam Utusan Malaysia (UM), 10 Disember 2012, selayaknya dibakulsampahkan jika editor UM, wartawan yang berintegriti, peka dan tajam pemikirannya.

Bukan saja faktanya salah, malah tulisannya juga tidak beretika, berniat jahat, dan sarat dengan fitnah. Lebih memalukan lagi, Zainudin Maidin adalah bekas Ketua Pengarang Utusan dan mantan Menteri Penerangan.

Belum pun badai yang melanda Menteri Penerangan, Rais Yatim, dengan pembantu rumah Indonesia reda, Zainudin Maidin pula mengundang ribut taufan sehingga Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia (DPR RI) membuat bantahan rasmi dan memohon Zainudin Maidin memohon maaf.

Malang sekali, Kementerian Penerangan yang sepatutnya memancarkan sinar kebenaran telah dihitamkan oleh Menteri dan mantan Menterinya yang angkuh, sombong, dan berfikiran separuh matang. Hubungan bangsa serumpun dengan Indonesia yang sentiasa aman dan saling membantu terjejas kerana sikap biadap pemimpin kita, sepertimana yang dibuktikan oleh Zainuddin Maidin. Kemesraan yang mahu diperelokkan lagi oleh Perdana Menteri, Najib Razak, tercalar dengan tulisan Zainudin Maidin.

Zainudin Maidin tidak sepatutnya cemburu dengan Anwar Ibrahim yang mempunyai hubungan rapat dengan pemimpin di Indonesia sejak zaman Pak Mohamad Natsir lagi. Pada era pemerintahan Seoharto, hampir separuh anggota Kabinet Indonesia adalah sahabat Anwar Ibrahim.

Anwar Ibrahim menjalin hubungan rapat dengan cendikiawan dan pemimpin Indonesia, termasuk BJ Habibie, sejak beliau memimpin ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) dan aktif dalam WAMY (World Assembly of Muslim Youth). Hubungan rapat Anwar Ibrahim dengan pemimpin Indonesia ini sebenarnya membantu merapatkan lagi hubungan Malaysia – Indonesia di zaman Mahathir Mohamad.

Barangkali ramai rakyat Malaysia tidak tahu bahawa Mahathir Mohamad memecat Zainudin Maidin daripada Utusan Melayu pada tahun 1992 kerana hendak menjaga hubungan baik Malaysia-Indonesia. Seorang wartawan kanan Utusan yang membuat liputan Persidangan Pergerakan Berkecuali (NAM, Non Alignment Movement) di Jakarta pada tahun itu telah menulis sebuah rencana menuduh Mahathir Mohamad menghina media Indonesia apabila beliau bercakap bahasa Ingeris ketika ditemubual wartawan Indonesia.

Mustahil Zainudin Maidin sudah lupa peristiwa ini kerana beliau yang mengedit dan menerbitkan rencana itu. Mahathir Mohamad amat marah dan meminta Anwar Ibrahim mencari pengarang yang lebih cerdik menggantikan Zainudin Maidin. Anwar Ibrahim kemudiannya menamakan Johan Jaafar sebagai pengganti Zainudin Maidin.

BJ (Bacharuddin Jusuf) Habibie menjadi Presiden Indonesia pada bulan Mac 1998, bukannya 20 Oktober 1999 seperti yang Zainudin Maidin tulis (nampak benar Editor Utusan tidak teliti). Beliau menjadi Presiden selama satu tahun enam bulan dan mengundur diri dengan rela hati selepas membina asas reformasi dan transformasi Indonesia daripada sistem autoritarian kepada demokrasi.

Beliau tidak pernah menjadi “gunting dalam lipatan Soeharto”, sebaliknya beliaulah pendukung utama yang memacu perkembangan teknologi, khususnya Industri Pesawat Terbang Indonersia (IPTN). Kejayaan beliau ini menyebabkan negara Barat bimbang akan kemungkinan Indonesia di satu hari nanti bisa menghasilkan jet pejuang dan kelengkapan perang yang lain. Antara sayarat yang dikenakan IMF (International Monetary Fund) kepada Indonesia ialah melarang IPTN membuat pinjaman untuk Penyelidikan dan Pembangunan.

Zainudin Maidin sebenarnya buta fakta bila menuduh BJ Habibie dan Anwar Ibrahim sebagai “anjing imperialis”. Tuduhan ini adalah fitnah yang amat jahat. Sebagai bekas pelajar Maktab Mahmud di Alor Setar, Zainuidin Maidin sudah lupa bahawa Rasulullah melarang sama sekali umatnya menggelar sesiapa pun dengan panggilan nama binatang, sementelahan pula binatang itu seekor anjing.

Pendirian BJ Habibie mengenai isu Timur Timor amat konsisten dengan sikapnya yang anti imperialisme Barat. Di kala beliau menentang kolonialism Barat dan penindasan ke atas rakyat Palestin, Bosnia, Chechnya, dan sebagainya apakah alasannya untuk menghantar tentera dan membunuh penduduk Timur Timor? Justeru, beliau menyarankan pungutan suara bagi menentukan masa depan pulau itu, walaupun pendekatan ini tidak digemari, khususnya oleh angkatan tentera.

Zainudin Maidin mungkin terlupa, sebelum Pilihanraya Presiden Indonesia  bulan Mac 1998, Mantan PM (Perdana Menteri) Singapore, Lee Kuan Yew, membuat kenyataan sinis kononnya jika Seoharto memilih BJ Habibie sebagai Timbalan Presiden,  matawang Rupiah Indonesia akan menjunam turun.  Mungkin Zainudin Maidin buat-buat tidak tahu bahawa PM Mahathir Mohamad menggunakan Daim Zainudin untuk memperlekehkan BJ Habibie supaya beliau tidak dilantik. Reputasi Mahathir Mohamad, yang ketika itu ditantang sebagai pemimpin dunia ketiga, tentu sekali akan terjejas dengan kehadiran BJ Habibie di persada politik Indonesia.

Dalam temubual selepas menjadi Presiden, BJ Habibie ditanya mengenai komen Lee Kuan Yew. Beliau menjawab dengan menuding jari ke arah peta dunia di pejabat Presiden sambil berkata, “Singapore was just a red dot on the map”. Pada 13 Oktober 1998, Presiden BJ Habibie  mengadakan pertemuan dengan Presiden Joseph Estrada  dari Filipina di Batam. Kedua-dua mereka amat prihatin dengan pemecatan Anwar Ibrahim oleh Mahathir Mohamad. Berikutnya Kementerian Luar Indonesia dan Filipina mengeluarkan kenyataan bersama meminta kerajaan Malaysia membebaskan Anwar Ibrahim daripada tahanan.

Seluruh dunia mengakui dan menghormati jasa BJ Habibie sebagai pengasas demokrasi di Indonesia. Malah musuh politik BJ Habibie di Indonesia sendiri mengakui bahawa BJ Habibie lah peneraju utama mengubah Order Baru Seoharto kepada demokrasi.

Selain membebaskan semua tahanan politik di hari pertama bergelar Presiden, BJ Habibie turut mehapuskan segala sekatan yang mencekam kebebasan akhbar, kebebasan bersuara, dan berhimpun.

Beliaulah pengasas Trias Politica Indonesia, iaitu pembahagian kuasa di antara eksekutif, kehakiman, dan legislatif. Dalam masa yang singkat, BJ Habibie berjaya mengurangkan keterbabitan militar dalam pemerintahan dan membina imej baru untuk pegawai kerajaan dan kakitangan sivil. Zainudin Maidin juga mungkin tidak sedar bahawa BJ Habibie lah yang menandatangani Law No 22 dan 25/1999 yang membolehkan kewujudan kerajaan autonomi di wilayah Indonesia.

Dalam masa 18 bulan, BJ Habibie berjaya melaksanakan perubahan struktural yang hebat bagi masa depan Indonesia yang lebih gemilang. Beliau mengundur diri secara terhormat, tidak seperti yang ditohmahkan oleh Zainuddin Maidin. Beliau bukanlah pemimpin yang gila kuasa seperti sesetengah pemimpin di Malaysia yang mahu terus berkokok walaupun suaranya sumbang kerana sudah lama bersara.

Zainudin Maidin bertindak biadap dan memalukan bukan sahaja UMNO (United Malays National Organization) dan Najib Razak, malah seluruh warga Malaysia kerana menuduh BJ Habibie sebagai “pengkhianat bangsa Indonesia”. Suluruh bangsa Indonesia menyanjung tinggi sumbangan BJ Habibie untuk negara dan bangsanya, tiba-tiba wartawan tua yang tewas dari Malaysia (Zainuddin kalah teruk di kawasan parlimen Sungai Petani di tangan calon Parti Keadilan Rakyat, Johari Abdul, pada pilihanraya 2008) begitu celupar menuduh BJ Habibie sebagai “pengkhianat bangsa Indonesia”. Memandangkan Zainudin Maidin mantan Menteri kanan UMNO maka tentulah wajar kerajaan Indonesia menuntut Malaysia dan Zainudin Maidin memohon maaf kepada rakyat Indonesia.

Sekali lagi, Zainudin Maidin buta fakta bila menuduh Mahathir Mohamad “memungut” Anwar Ibrahim daripada ABIM, seolah-olah Anwar Ibrahim sampah yang tidak berguna. Fakta ini mesti diperbetulkan kerana generasi yang lahir dan besar di zaman Mahathir Mohamad mudah diperdayakan dengan fitnah jahat seperti ini. Sementelahan pula Zainudin Maidin kini menjadi Karyawan Tamu di Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir UUM (Universiti Utara Malaysia). Sesungguhnya, kita amat bimbang jika beginilah kualitinya karyawan tamu, alamatnya tidak lama lagi akan hancurlah institut itu.

Mahathir Mohamad menjadi PM Malaysia pada tahun 1981 ketika seluruh dunia mendapat tempias kebangkitan Islam selepas Revolusi Islam Iran 1980. Pertama kalinya seluruh dunia menyaksikan kemunculan pelabagai NGO (Non Governmental Organization) Islam. Di Amerika Syarikat dan Eropah, pelajar Islam dari Malaysia, Timur Tengah, India, Pakistan, Indonesia, dan  benua Afrika berganding bahu menubuhkan persatuan dan pertubuhan yang berorientasikan Islam.

Mahathir Mohamad, yang dibesarkan dalam keluarga bangsawan, tidak memiliki imej Islam untuk berdepan dengan gelombang kebangkitan semula Islam. Parti Islam se-Malaysia (PAS) mendapat manfaatnya apabila pelajar yang ditaja oleh kerajaan pulang menyertai PAS. Penyertaan golongan profesional  – peguam, jurutera, doktor, ahli ekonomi, dan sebagainya dalam PAS – telah melonjak naik pengaruh PAS sebagai parti yang dinamik untuk  mencabar hegemoni politik UMNO.

Mahathir Mohamad sedar kekurangan beliau, lantas memujuk Anwar Ibrahim yang ketika itu sebagai Presiden ABIM menyertai UMNO. Anwar Ibrahim pada mulanya tidak berminat menyertai UMNO kerana dirinya lebih rapat dengan PAS. Hubungan persahabatannya dengan Ustaz Fadzil Noor, Presiden PAS, amat intim sehinggalah ke akhir hayatnya. Janji Mahathir Mohamad untuk melaksanakan Islam dalam pentadbirannya berjaya memikat Anwar Ibrahim. Mahathir Mohamad sedar sekiranya Anwar Ibrahim menyertai PAS, jangka hayat UMNO mungkin tidak panjang.

Dengan kemasukan Anwar Ibrahim pelbagai projek dan program Islam dilaksanakan. Dasar penerapan nilai-nilai Islam, UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), Bank Islam, dan sebagainya berjaya menyekat golongan profesional daripada terus berhijrah ke PAS. Sejarah akan merekodkan fakta kemasukan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO berjaya menyelamatkan Mahathir Mohamad dan UMNO daripada gelombang kebangkitan semula Islam. Kalau dulu Wanita UMNO melangkah ke Perhimpunan Agung dengan sanggul bermacam jenis, kini majoriti sudah bertudung. Sudah tidak kelihatan lagi kaki dan paha wanita UMNO kerana kebanyakannya sudah bersarung dan baju kurung.

Penyertaan Anwar Ibrahim ke dalam UMNO dibantah oleh ramai rakannya dari ABIM. Mereka bimbang kalau-kalau Anwar Ibrahim akan ditelan oleh budaya dan sistem fikir sekular UMNO dan mengorbankan asas dan manhaj Islam yang menjadi asas perjuangan mereka. Kebimbangan rakan-rakan dalam ABIM terbukti tidak benar. Anwar Ibrahim tetap dengan prinsip perjuangannya dan tidak akan bertolak ansur dalam soal rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Ketegasan Anwar  Ibrahim mempertahankan ketelusan dan keadilan dalam menangani krisis kewangan 1997 menyebabkan beliau akhirnya merengkok di penjara selama enam tahun.

Keengganan Anwar Ibrahim menuruti telunjuk Mahathir Mohamad dalam mengurus ekonomi ketika dunia dilanda kemelesetan adalah punca sebenar mengapa beliau dipecat. Anwar Ibrahim tidak berganjak mempertahankan TWKSP (Tabung Wang Kumpulan Simpanan Pekerja) daripada digunakan untuk menyelamatkan syarikat kroni Mahathir Mohamad dan Daim Zainudin. Anwar Ibrahim tidak mahu wang PETRONAS dibelanja sewenangan untuk menyelamatkan syarikat anak Mahathir Mohamad. Anwar Ibrahim menentang hasrat Mahathir Mohamad hendak mengisytiharkan darurat  ekonomi kerana langkah ini bermakna menggantikan demokrasi berparlimen dengan pentadbiran ala diktator.

Untuk membunuh karier politik seorang tokoh seperti Anwar Ibrahim bukanlah mudah. Menyedari betapa sukarnya Mahathir Mohamad menangani krisis UMNO 1987 sehingga UMNO diharamkan, maka Mahathir Mohamad perlu mengatur strategi yang lebih detail untuk membunuh karier politik Anwar Ibrahim. Apakah kekuatan Anwar Ibrahim? Kekuatan Anwar Ibrahim terletak kepada imej dan maruah Islamnya. Beliau dilihat sebagai jambatan yang menghubungkan pemimpin dan tokoh Islam sedunia dengan Barat. Latar belakang Islamnya yang mantap diadun dengan pemikiran dan falsafah Barat yang dikuasainya, menjadikan Anwar Ibrahim seorang pemimpin Islam yang hebat. Justeru itu tidak hairanlah seluruh dunia Islam prihatin bila beliau dipenjarakan oleh Mahathir Mohamad.

Kita akui Mahathir Mohamad pemimpin yang cerdik dan bijak. Pemimpin cerdik tanpa iman yang jernih sanggup melakukan apa saja, termasuk berbohong, menipu, dan memfitnah. Untuk membunuh karier politik Anwar Ibrahim, Mahathir Mohamad mesti merobek imej Islam beliau bagi menimbulkan kebencian orang Melayu terhadapnya. Peringkat awalnya, Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA (Internal Security Act). Menyedari tekanan antarabangsa, Anwar Ibrahim kemudiannya didakwa atas salah laku seks dan penyalahgunaan kuasa. Seluruh tenaga polis, kehakiman, dan media masa dikerah habis-habisan untuk menghalalkan tindakan Mahathir Mohamad menyingkir dan memenjarakan Anwar Ibrahim. Fitnah ini dirancang rapi seawal-awalnya pada tahun 1993 ketika Anwar Ibrahim dicalonkan untuk jawatan Timbalan Presiden.

Dari tahun 1998 hingga kini media arus perdana milik Barisan Nasional tidak pernah berasa letih menggodam, mencemar, dan mengaibkan Anwar Ibrahim dan keluarganya. Untuk mendapat projek, jawatan ataupun upah lumayan kutuk dan caci Anwar Ibrahim. Alhamdulillah, semakin Anwar Ibrahim digodam dan dicaci, beliau semakin popular dan diminati.

Kita memahami mengapa Zainudin Maidin marah dan berdendam dengan Anwar Ibrahim? Selepas Anwar Ibrahim dipenjarakan, Zainudin Maidin kembali mendekati Mahathir Mohamad dengan mengampu dan membodeknya melalui penulisan buku sehinggalah akhirnya beliau dilantik sebagai Menteri Penerangan. Malangnya, dalam pilihanraya 2008, Zainudin  adalah satu-satunya Menteri UMNO yang dikalahkan oleh Parti Keadilan Rakyat. PM Abdullah Badawi terus mengenepikan Zainudin Maidin dan beliau menjadi mantan menteri yang semakin dilupai.

Mungkin dengan membelasah BJ Habibie dan Anwar Ibrahim sedemikian rupa, nama Zainudin Maidin kembali menjadi sebutan. Sebagai penyokong totok Mahathir Mohamad, Zainudin Maidin berharap penulisannya itu akan membantu UMNO mengekalkan kuasa dalam PRU (Pilihan Raya Umum) ke-13 nanti. Zainudin lupa jutaan pengundi asal keturunan Indonesia terguris hati dan marah.

Penjelasan Zainudin Maidin dalam blognya menyerlahkan lagi sikap bodoh sombongnya. Beliau berbangga kerana namanya kembali menjadi sebutan jutaan rakyat Indonesia. Beliau menuduh rakyat Indonesia sedang mengalami euporia demokrasi, sedangkan Malaysia sudah  lama mengamalkan “Manchester democracy”. Ini bukan kesilapan ejaan. Mungkin kerana panik, bimbang, atau sememangnya beliau tidak tahu asal-usul istilah “Westminster democracy”.

Begitu naifnya Zainuddin Maidin sehinggakan beliau tidak sedar tulisan jahatnya menjadikan suatu beban buat UMNO. Justru, UMNO tidak boleh berlepas tangan dalam isu ini. Pertamanya, Zainuddin Maidin adalah bekas Ketua Pengarang kumpulan Utusan yang semua orang tahu isu kandungan akhbar itu dikawal sepenuhnya oleh kepimpinan UMNO, khususnya Najib Razak sebagai Presiden UMNO. Pada sisi lain, episod “kebodohan” Zainuddin Maidin ini menyerlahkan kelemahan Najib Razak sehingga tidak bermaya sama sekali menegur Zainuddin Maidin ketika terserlah kemarahan rakyat Indonesia akibat penghinaan Zainuddin Maidin secara terang-terang dan berterusan terhadap pemimpin dan rakyat Indonesia.

Saya percaya rakan-rakan yang masih rasional dalam UMNO turut kesal dengan tulisan Zainudin Maidin. Walaupun itu pendapat peribadi, sebagai mantan Menteri UMNO dan disiar pula oleh media milik UMNO, maka bantahan dan kemarahan Indonesia ada asasnya. Rakan-rakan dalam UMNO juga tertanya-tanya: apakah Zainudin Maidin sebodoh itu dengan sengaja mencari musuh baru ketika pucuk pimpinan UMNO berhempas pulas mempersiapkan diri menghadapi PRU13? Atau adakah Zainudin Maidin kini diperalatkan oleh Mahathir Mohamad untuk sabotaj PM Najib Razak? Di kalangan ahli politik Pakatan Rakyat dan BN (Barisan Nasional) bukanlah menjadi rahsia lagi bahawa Mahathir Mohamad memperalatkan Muhyidin Yasin untuk memaksa Abdullah Badawi bersara.

Kini Mahathir Mohamad bekerja keras untuk menggantikan Najib Razak dengan Muhyidin Yasin. Ahli UMNO tidak boleh marahkan Mahathir Mohamad kerana UMNO yang ada hari ini ialah UMNO Baru milik Mahathir Mohamad. Sementara reputasi Anwar Ibrahim sekelumit pun tidak terjejas dengan tulisan Zainuddin Maidin, isu ini lebih menyerlahkan politicking dalaman UMNO sendiri. Anwar Ibrahim kekal sebagai pemimpin tahan uji. Bak kata pepatah arab “emas yang terbaik ialah emas yang terhasil apabila dibakar berulangkali”. Manakala UMNO pula menhitung hari menanti rebah.

===

Nota kaki: Rencana ini terdedah dalam media online milik pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Artikel penuh pula dapat dilayari di: http://www.keadilandaily.com/zainudin-maidin-memalukan-bangsa-dan-negara/

Saifuddin Nasution Ismail ialah Setiausaha Agung KEADILAN di Kuala Lumpur, Malaysia.

SHARE

1 COMMENT

  1. Wah marga Nasution ada di Malaysia juga yah. Selamat pak.

    Tunjukkan pada bangsa Malaysia bahwa keluarga besar NASUTION memang hebat. Di Indonesia ada Jenderal Abdul Haris Nasution, penulis buku “Pokok-pokok Gerilya” dan “Sekitar Perang Kemerdekaan Indonesia”.

    Tolong sampaikan ke pak Zainuddin Maidin, kalau ingin perang dengan Indonesia harus banyak belajar dulu kepada keluarga NASUTION. Terima kasih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here