Riwayat itu Setakat ini

0
82

Oleh: Hishammudin Rais

Mengikut tuan yang empunya ceritera, adapun riwayat Bik Mama ini amatlah panjang berjela-jela. Kalau diukur ke bumi, maka seluas bumilah ianya. Kalau diukur ke laut, maka seluas lautlah ia. Kisah Bik Mama diturunkan dari telinga ke telinga. Dari mulut ke mulut. Dari rumah ke rumah. Maka riwayat Bik Mama semakin berpanjangan.

Sang Nelayan yang memasang tajur di Laut China Selatan bercerita. Si Penoreh yang menunggu getah membeku membuka kisah Bik Mama. Anak-anak dara yang menunggu padi di jemuran senyum luas bila mendengar kisah Bik Mama. Dari sawah naik ke ladang, dari denai masuk ke kolam, dari darat belayar ke laut, dari kampung masuk ke pekan – orang ramai sambut-menyambut menyambung cerita Bik Mama.

Menurut tuan yang empunya ceritera, riwayat Bik Mama merayau berlegar hingga pada satu hari, pada satu ketika, di malam bulan penuh berbintang, ketika angin sepoi-sepoi bahasah, ketika unggas nyenyak tidur, ketika bara menjadi abu, seperti tertulis dalam kitab terdahulu, maka riwayat Bik Mama akhirnya sampai juga ke Facebook.

Riwayat dari Facebook inilah yang diulang kisah di sini. Riwayat Bik Mama melantun dan dilantun dari pejabat ke pejabat, dari opis kerajaan ke pejabat swasta. Dari PC ke laptop. Dari laptop ke ipod. Dari ipot ke ipad. Kisah Bik Mama menjadi virus pindah-berpindah. Maka, sampailah hari dan bilamana riwayat Bik Mama ini didengari budak pejabat hinggalah ke CEO. Seantero negeri alam Melayu berkisahlah mendengar riwayat Bik Mama. Kecuali seekor mahkluk bernama Najeeb, anak lelaki Abdeel Razaq, yang tidak tahu-menahu sejarah riwayat Bik Mama dari dahulu hingga sekarang.

Adapun mengikut tuan yang empunya ceritera, Najeeb anak lelaki Abdeel Razaq dilahirkan tidak cukup bulan. Maka, perangainya amatlah poyo lagi membosankan. Tidak berani membuat apa-apa keputusan. Telah juga luas disurahkan hinggakan kanak-kanak dalam buaian, tahu dan sedar tentang kisah Najeeb anak lelaki Abdeel Razaq ini yang tidak tamat belajar. Dua kali Najeeb ditangkap meniru. Kemudian Si Najeeb lari sekolah kerana mencuri papan batu. Kisah ini sedang disimpan rapi. Hanya Facebook sahaja yang maha mengetahui.

Adapun Si Najeeb anak lelaki Abdeel Razaq adalah laki kepada Bik Mama. Si Najeeb yang amat poyo tidaklah sedar, tidaklah Najeeb ini sedar bahawa bini di rumah ialah seorang betina gila glamor. Si Najeeb ini tidaklah pula tahu-menahu kisah bininya sebelum dijadikan bini, telah ke hulu ke hilir dari Kota Melaka ke Kota Bahru menabur benih membuka lukah. Bik Mama memasang perangkap untuk menjerat Tambi anak Cik dan Musa anak Anuar.

Mengikut riwayat Facebook, ada di sebuah kampong yang lain adalah seorang Anak Cina pemain guli yang maha perkasa. Dari seluruh kampong hingga ke kota, Anak Cina telah menjadi jaguh guli yang luar biasa. Perlawanan demi perlawanan dikatakan Si Anak Cina menjadi juara. Dari kampoug ke kota, dari desa ke desa, Si Anak Cina berpindah randah bermain guli sehendak rasa. Tidaklah pernah Si Anak Cina menjadi kecewa kerana setiap kali dirinya bertarung setiap kali muncul sebagai juara.

Maka tersebar luaslah kesah Anak Cina bijak berguli. Maka canang dipukul, tabuh diketuk. Orang berkerumun melihat Anak Cina bermain guli. Hebat sungguhlah Anak Cina ini hingga menjadi iklan Samsung dan Chuka. Maka, kisah Anak Cina bermain guli akhirnya sampailah ke telinga Bik Mama. Kisah Anak Cina dikerumuni orang ramai. Kisah Anak Cina mendapat laporan akhbar. Kisah Anak Cina mendapat laporan TV. Gambar Anak Cina menjadi hiasan majalah seantero benua. Dari Benua Keling hingga ke Benua China, rakyat jelata bersorak menyambut si Anak Cina. Semuanya menjadikan Bik Mama, geram terjelir lidah.

Anak Cina ini muncul di Bi Bi See. Kisah hidup Anak Cina muncul di Si Ant Ant. Filem Anak Cina akan dibuat di Hong Kong. Semua surah ini mengeramkan Bik Mama. Bila Bik Mama geram, maka lakinya si Najeeb semakin kecut. Maka Bik Mama pun mengarahkan Najeeb menyediakan tandu untuk mengusung Bik Mama berjumpa Anak Cina.

Ketika tandu dibuat, Bik Mama mulalah bersenam. Sekali Bik Mama mengeliat, bergegar seluruh kampung. Sekali Bik Mama berjoging, sepuluh batang pokok kelapa tercabut umbut. Sekali Bik Mama membongkok melepas angin, sepuluh batang pokok getah tercabut akar. Sekali Bik Mama sedawa, tujuh buah dulang terbang melayang. Begitulah gagah gempitanya tubuh badan Bik Mama mengikut labon Facebook.

Mengikut tuan yang empunya hikayat, gemuk Bik Mama tiada tolong bandingan. Bukan sahaja berbadan gemuk, malah Bik Mama bermuka bulat dan berkaki pendek. Mengikut kata sahibul hikayat, hentakan peha dan kaki Bik Mama boleh memecahkan Empangan Bakun. Tidak menjadi rahsia lagi bahawa berat badan Bik Mama tiada tolok bandingan. Tiada sesiapa dalam Alam Melayu yang dapat menandingi berat badan Bik Mama.

Tetapi awas! Segemuk-gemuk Bik Mama, tidak mungkin Bik Mama dapat menandingi Rosmah Mansur. Mengikut Surat Akuan bersumpah Haji Desas bin Lebai Desus, adalah seorang betina lain bernama Rosmah Mansur yang lebih hebat dan lebih besar tubuh badannya dari Bik Mama. Cukuplah diriwayat sebagai bahan bukti bahawa hingga hari ini belum ada lagi dacing yang sanggup menimbang berat badan Rosmah Mansur. Begitulah cerita setakat ini. Tidak lebih dan tidak kurang.

Dipendek cerita, setelah tujuh hari, tujuh malam, maka tandu pun siap dibina. Maka, Najeeb pun mulalah mengusung Bik Mama untuk mencari Anak Cina pemain guli yang diberitakan telah dinobatkan sebagai pemain guli terulung untuk seluruh dunia.

Pusing punya pusing, maka sampailah berita rupa-rupanya Anak Cina pemain guli akan bernikah dengan seorang gadis cun lagi langsing yang juga jaguh pemain guli. Sampailah ke pengetahuan Bik Mama bahawa pesta berguli-guli akan berlangsung dalam pesta tiga hari tiga malam. Maka Najeeb, si laki yang takutkan bini, terkesut-kesut mengusung Bik Mama dalam tandu menuju ke tapak pesta.

Mengikut kata sahibul hikayat, mengikut surah Facebook, pesta perkahwinan Anak Cina amatlah gah. Tetapi kenduri kahwin Chong Wei tidaklah dapat menandingi gahnya kenduri kahwin anak Ali Rustom. Maka, berpestalah kaum kerabat Anak Cina dengan kawan-kawan dan tetamu jemputan.

Dipendek cerita, Bik Mama pun sampai ke padang pesta ketika Anak Cina sedang bersanding. Bik Mama tidak membenarkan lakinya masuk ke padang pesta. Bik Mama tidak mahu media tahu, Bik Mama sudah berlaki. Bik Mama mahu dilihat solo bersendirian agar orang ramai akan menganggap Bik Mama masih lagi anak dara sunti bermata jeli seperti Humi Hulfidah. Bik Mama tahu kenduri kahwin Chong Wei disiarkan secara langsung oleh TV7. Maka Bik Mama tidak mahu kamera dan video diarah kepada Najib Razak. Bik Mama mahu semua glamor jatuh ke tubuh badannya saja.

Bik Mama pun mengheret badannya ke hadapan pelamin. Sesampai ke hadapan pelamin, mengikut kisah yang dikesakan, Bik Mama melaung menjerit. Kerana yang duduk bersanding dengan Datuk Lee Chong Wei bukan Wong Mew Choo bakal isterinya yang slim dan cun. Tetapi duduk membadak di sebelah Chong Wei ialah Rosmah Mansur.

Mengikut tuan empunya hikayat, apabila Bik Mama ternampak muka Rosmah Mansur sedang duduk bersanding, maka hatinya geram bukan kepalang. Maka Bik Mama pun mula menonggeng untuk melepaskan angin. Nasib punya nasib, ketika dan saat itu ada seorang anak muda yang sedang ambil gambar. Maka dirakam gambar hingga menjadi viral di Facebook. Maka gegak-gempitaka seluruh alam. Maka hebohlah masyarakat Cina.

Maka, bertambah bencilah orang China kepada Rosmah Mansur. Mengikut riwayat yang tersebar di Facebook, ramai tamu jemputan pada pesta itu terus pulang. Mereka tidak sanggup dan tidak berselera lagi untuk menjamah makanan. Ramai tamu muntah terbahak-bahak apabila melihat muka Rosmah Mansur.

Begitulah kisahnya setakat ini yang tersebar di Facebook. Apa yang terjadi seterusanya tidaklah hamba ketahui. Hamba hanya tukang pembawa cerita. Hamba akhiri riwayat ini dengan satu pepatah: “Kancil sama kancil duduk bersanding, gajah tetiba gajah duduk di tengah tengah”.

===

Nota kaki: Rencana provokatif ini terdedah dalam akhbar online milik pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Teks penuh pula dapat ditengok secara terus di: http://www.keadilandaily.com/riwayat-itu-setakat-ini-oleh-hishammudin-rais/ [dilayari di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 28hb November 2012].

Hishamudin Rais ialah penulis prolifik dan kritis kepada kerajaan Malaysia di satu sisi, dan di sisi lain pula ialah penyokong parti pembangkang dalam alam politik kontemporarsi Malaysia, Pakatan Rakyat, yang diterajui oleh DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here