Panas-Dingin Hubungan Malaysia – Indonesia

1
84

Oleh: Saharudin Musthafa

Mujurlah hasrat Pengarah Eksekutif Migrant Care, Anis Hidayah, untuk menganjurkan demonstrasi di hadapan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta minggu lalu dibatalkan.

Seandainya demonstrasi itu diadakan, entah bagaimana pula suasana yang akan berlaku – sama ada diadakan secara aman atau mencetuskan huru-hara seperti lazimnya yang berlaku sebelum ini.

Asalnya, menerusi laman sosial Twitter peribadi beliau, penggerak Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Migrant Care itu mengajak pengikut-pengikutnya mengadakan perhimpunan di depan Kedutaan Besar Malaysia sebagai membantah penyebaran iklan Tenaga Kerja Indonesia (TKI) untuk ‘dijual’ seperti yang ditemui di Chow Kit, Kuala Lumpur.

Namun, kebijaksanaan kerajaan Indonesia dan Malaysia menangani isu kecil itu dengan pantas meredakan bahang kemarahan segelintir rakyat Indonesia.

Panas dingin hubungan dua negara jiran akrab itu tidak pernah bernoktah sejak berdekad lalu. Terbaru, hanya kerana sekeping kertas iklan yang diedarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, ia menjentik amarah yang melampau di kalangan rakyat negara jiran itu.

Kalau soal kedaulatan tanah, pulau atau budaya, tentu sekali persoalan yang diajukan rakyat Indonesia boleh diterima akal.

Tetapi apakah hanya kerana sekeping lembaran kertas yang mungkin boleh dimanipulasikan oleh pihak yang “kurang bijak” ia boleh membuatkan kita mudah melatah?

Tidakkah ada persoalan serius lain yang mahu didebatkan? Itulah persoalan yang menjadi tanda tanda.

Keakraban hubungan dua negara berjiran diuji tanpa ada sebarang usaha daripada pihak yang mahu menangguk di air keruh untuk memahami sesuatu isu secara komprehensif.

Terus meningkatkan suhu kemarahan ialah apabila media-media Indonesia tanpa rasa bersalah berlebih-lebihan dalam mengupas itu dan ini.

Hal ini diakui oleh seorang aktivis Jamaah Shalahuddin Indonesia, Ardian Umam yang juga mahasiswa dari Universiti Gadjah Mada yang menyifatkan, reaksi kurang senang rakyat Indonesia bertitik tolak daripada peranan media tempatan.

Tegas Ardian, media-media tempatan terlalu gemar memanipulasikan sesuatu isu termasuk iklan amah yang didebatkan secara berlebihan baru-baru ini.

Isu seremeh itu katanya, diberi perhatian yang cukup besar oleh semua medium media yang ada di Indonesia.

“Akibatnya masyarakat kita cepat menjadi ikutan, heboh dan melatah dengan setiap persoalan yang diberitakan di media”, katanya seperti dilaporkan akhbar Republika, Ahad lalu.

Turut membuatkan keadaan lebih rumit ialah, kecenderungan rakyat Indoensia terpengaruh dengan isu-isu kecil seperti iklan amah itu juga akibat daripada sikap inferiority complex (rendah diri) terhadap Malaysia yang disifatkan Ardian yang memiliki prestasi ekonomi yang sangat baik jika dibandingkan dengan Indonesia.

“Persoalan ini menunjukkan rendahnya tingkat pendidikan dan wawasan warga Indonesia. Jadi, secara umumnya kita mudah diprovokasi dan kebetulan Malaysia berada di kedudukan paling dekat dengan Indonesia sehingga sering kelihatan ada konflik,” ujar Ardian mengupas belenggu yang dihadapi bangsa Indonesia.

Dari satu aspek lain, Ardian juga tidak menolak kemungkinan kontroversi satu demi satu isu antara dua negara itu tercetus disebabkan peranan “tangan-tangan ghaib” yang sengaja mahu mengadu domba keharmonian dua negara serumpun yang majoriti penduduknya beragama Islam.

“Di satu sisi, rendahnya pemahamam kita sebagai saudara seiman,” bidas Ardian mengenai kurang peka segelintir rakyat Indonesia terhadap jiran sebelah.

Dalam konteks menangani isu dua saudara yang sering tercetus ini, kita tentu sekali bersyukur kerana hubungan antara kepimpinan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono, sentiasa memberi keutamaan kepada kemakmuran dua bangsa itu.

Hubungan itu diperkasakan lagi dengan komitmen Menteri Luar kedua-dua negara, Datuk Seri Anifah Aman dan Marty Natalegawa, yang sentiasa melihat setiap masalah yang timbul memiliki jalan penyelesaian secara berhemah, bukannya menurut amarah dan emosi.

Namun, adalah menjadi harapan juga agar hasrat mewujudkan seorang jurucakap kerajaan Malaysia di Indonesia yang berperanan memberi penjelasan isu yang menjadi perhatian media di negara jiran itu akan direalisasikan.

Idea pelantikan seorang jurucakap Malaysia di Indonesia juga pernah disuarakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Muhyiddin berkata, cadangan itu cukup baik kerana ia dapat memberi memberi penjelasan segera kepada isu yang berbangkit kepada media massa di Indonesia dan dapat mengelak daripada laporan yang berat sebelah serta berdasarkan andaian semata-mata.

Kita tidak boleh lagi membiarkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab yang mahu melihat Malaysia dan Indonesia mengambil kesempatan meniupkan obor kebencian dan sekali gus melihat dua adik-beradik itu berselisih faham sepanjang masa.

Malaysia dan Indonesia memiliki sejarah hubungan yang panjang dan harmoni yang perlu dikekalkan untuk bukan sahaja kepentingan dua bangsa serumpun itu.

Tetapi, jauh lebih utama, kestabilan dan kemakmuran Malaysia dan Indonesia juga akan menentukan keharmonian bangsa serantau.

Janganlah isu-isu remeh seperti iklan amah untuk dijual ini menjadi punca kepada perbalahan. Ia tidak akan menguntungkan sesiapa, sebaliknya hanya akan membuatkan kita ditertawakan.

===

Nota kaki: Rencana ini terdedah dalam akhbar arus perdana online, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tarikh 6hb November 2012. Rencana penuh dapat pula dilayari di: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121106/re_06/Panas-dingin-hubungan-Malaysia—Indonesia#ixzz2BRwu7Plo [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 7hb November 2012].

Penulis ialah wartawan daripada Utusan Malaysia yang tengah berkhidmat di Jakarta, Indonesia.

SHARE

1 COMMENT

  1. Yth. para pembaca ASPENSI in News & Views.

    Kisah tragis TKI di Malaysia mungkin karena faktor komunikasi yang tidak nyambung.

    Jadi ingat kuliahnya pak Andi, dalam Bahasa Melayu. Konon Siti Nurhaliza tanya kepada Krisdayanti, apa sebabnya bercerai dengan Anang, yang dijawab oleh Kris, “Kami kurang cocok”. Mendengar jawaban Kris, Siti langsung menasehati dalam Bahasa Melayu, “Kena kerap la mencocok, agar tak bercerai”. Ha3. Ternyata “cocok” dalam Bahasa Melayu bisa bermakna ML (Making Love).

    Jadi, mengapa banyak TKI yang diperkosa oleh majikannya di Malaysia. Mungkin TKI itu sering bilang, “Saya butuh bantuan tuan”. Maka TKI itu diberi “butuh” tuannya, karena “butuh” dalam Bahasa Melayu artinya, maaf, alat kelamin laki-laki.

    Akhirnya, kalau hubungan baik Indonesia-Malaysia ingin terpelihara, maka harus di stop pengiriman TKI ke negara itu. Wassalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here