Menilai Tempoh Tiga Tahun Pentadbiran Susilo

0
79

Oleh: Saharudin Musthafa

Pada 20 Oktober lalu genap tiga tahun pentadbiran Presiden Susilo Bambang Yudhyono atau lebih dikenali sebagai SBY.

Beliau dibantu oleh Naib Presiden, Boediono, memimpin Indonesia bagi penggal kedua pada tahun 2009.

Lima tahun sebelum itu (penggal pertama), Susilo mentadbir Indonesia bersama-sama dengan Jusuf Kalla.

Jika dihitung, kuasa Susilo hanya tinggal dua tahun bagi penggal kedua ini sebelum tampuk pemerintahan diberikan kepada orang lain berikutan penggal pentadbiran beliau akan berakhir.

Perlembagaan Indonesia menetapkan Presiden negara itu hanya mempunyai kuasa untuk mentadbir negara selama dua penggal sahaja.

Susilo dan Boediono terpilih menerajui Indonesia untuk penggal kedua menerusi perolehan suara majoriti rakyat menewaskan pasangan Megawati Sukarnoputri dan Prabowo Subianto.

Susilo menerima amanah daripada rakyat Indonesia untuk mentadbir negara itu mengikut kebijaksanaan beliau sendiri dengan dibantu oleh Kabinet Indonesia Bersatu II.

Dalam seribu satu persoalan dan segudang masalah yang perlu ditangani, beliau bekerja keras menonjolkan diri sebagai seorang Ketua Negara yang berupaya meletakkan Indonesia sebagai negara yang pesat membangun dalam segenap aspek.

Walau sejauh mana komited seorang pemimpin itu dan sebagus mana dasar dan polisi yang diperkenalkan, Susilo seperti juga ketua-ketua di negara lain yang tidak terlepas daripada dikritik.

Sekalipun, Presiden Indonesia keenam tersebut sudah berjaya memakmurkan ekonomi negara itu ke landasan yang betul, ia masih lagi mengundang keraguan segelintir pihak terhadap pentadbiran beliau.

Dari sudut kemajuan ekonomi, pentadbiran Susilo telah memacu sektor berkenaan ke kedudukan yang sangat cemerlang.

Pertumbuhan ekonomi Indonesia sejak tahun 2009 sehingga sekarang benar-benar boleh membantu mencapai aspirasi Susilo mahu menjadikan negara itu sebagai sebuah negara maju dalam tempoh sedekad akan datang.

Pada 2009, pertumbuhan ekonomi Indonesia hanya sekadar 4.6 peratus dan dalam masa setahun, ia melonjak menjadi 6.1 peratus pada tahun 2010.

Setahun selepas itu, ia meningkat kepada 6.5% pada 2011.

Sementara pada tahun ini pula, sekalipun dilihat ada penurunan kepada 6.3 peratus, namun ia disifatkan masih tinggi secara relatifnya.

Susilo sangat optimis bahawa Indonesia akan bangkit sebagai sebuah negara yang maju dalam tempoh sedekad akan datang.

Namun, pada masa sama, beliau cukup realistik bahawa hasrat itu sukar untuk dicapai seandainya Indonesia tidak memberi tumpuan pada tiga agenda besar.

Agenda pertama yang perlu dilakukan ialah melakukan transformasi pasca reformasi dan mematangkan demokrasi.

Agenda kedua yang perlu diberi perhatian ialah tidak mempersia-siakan kesempatan sekarang di mana iklim ekonomi Indonesia berada dalam keadaan yang baik selepas jatuh merudum ketika krisis ekonomi pada tahun 1998.

Sementara agenda ketiga yang tidak kurang penting yang perlu diberi perhatian ialah memastikan transformasi Indonesia berjalan menuju arah yang benar selain menghalang daripada dibelenggu oleh sejumlah masalah yang baru.

“Jika ini semua dilakukan dengan baik, maka dalam satu dekad ke hadapan, impian (Indonesia) untuk menjadi negara maju boleh tercapai,” kata Susilo dalam satu ucapan beliau.

Keyakinan yang disuarakan Susilo itu berkait rapat dengan kedudukan ekonomi Indonesia pada ketika ini yang berada di kedudukan ke-16 perekonomian terbesar dunia.

Bahkan pendapatan perkapita penduduk Indonesia seramai 237 juta orang itu juga sudah melepasi AS3 Dolar (RM9).

Pertumbuhan ekonomi Indonesia yang sangat baik pada ketika ini juga ada pertaliannya dengan usaha membasmi kemiskinan yang semakin memperlihatkan tanda positif.

Selama ini, negara Indonesia tidak dapat tidak dipisahkan daripada masalah kemiskinan yang hangat menjadi perdebatan.

Menyedari hal itu perlu ditangani dengan bijak, Susilo di sepanjang pentadbirannya memperkenalkan dasar-dasar dan polisi yang memenuhi kehendak semua lapisan rakyatnya.

Begitu juga pada pendekatan membasmi kemiskinan yang ditunjukkan orang nombor satu Indonesia itu membuahkan hasil yang positif.

Jumlah penduduk miskin Indonesia memperlihatkan penurunan dari setahun ke setahun.

Badan Pusat Statistik mencatat pada Februari 2004 jumlah orang miskin Indonesia berjumlah 36.1 juta orang. Jumlah berkenaan jatuh kepada 29.13 juta orang pada Mac tahun ini.

Usaha-usaha yang diambil untuk memacu ekonomi serta mengurangkan kemiskinan seharusnya dilihat sebagai pendekatan agresif Susilo bagi mengubah nasib dan masa depan Indonesia.

Tidak hanya memberi fokus pada dua aspek utama itu, populariti Susilo juga sangat dekat sekali dengan usaha membasmi gejala rasuah tanpa sebarang pilih kasih.

Pendekatan menghapuskan jenayah itu tentu sekali menjadi teras kepada peningkatan popularitinya berikutan rasuah di Indonesia seperti sudah menjadi barah yang semakin menular.

Penegakkan undang-undang Indonesia di bawah pentadbiran Susilo dinilai semakin terbaik.

Penegakkan hukum yang dilakukan (Susilo) secara serius menjadi isu yang sangat penting di Indonesia sehingga menjadi perhatian masyarakat.

“Ini membawa maksud usaha membanteras rasuah yang dilakukan oleh Presiden Susilo jauh lebih bagus,” ulas Ketua Umum Dewan Perwakilan Pemimpin Parti Demokrat, Anas Urbaningrum mengenai pentadbiran bossnya.

Sebagai pemimpin, tentu sekali Susilo yang juga pengasas Parti Demokrat mahu menjadikan agenda rakyat sebagai keutamaannya.

Namun, dalam melalui jalan-jalan yang penuh mencabar menduduki kerusi nombor satu pentadbiran itu, Susilo harus memiliki kekuatan yang tinggi untuk menjadikan segala kritikan dan keraguan sesetengah pihak sebagai cabaran, bukannya melemahkan semangat juang beliau.

Itulah harga yang perlu dibayar oleh seorang pemimpin.

===

Nota kaki: Rencana ini terdedah dalam media arus perdana online, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tarikh 25hb Oktober 2012. Rencana penuh pula dapat dilayari di: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20121025/re_03/Menilai-tempoh-tiga-tahun-pentadbiran-Susilo#ixzz2ASZYhRmE [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 27hb Oktober 2012].

Penulis ialah wartawan daripada Utusan Malaysia yang tengah berkhidmat di Jakarta, Indonesia.

 

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here