Projek Malaysia Kantoi

3
97

Oleh: Hishammudin Rais

Sempadan Bangladesh wujud semasa pemecahan British Bengal dan India pada 1947. Wilayah ini menjadi Pakistan Timur. Pakistan Timur dipisahkan dari Pakistan Barat – jarak 1,600 km atau 994 batu – oleh benua India yang wujud di tengah-tengah negara ini.

Gerakan nasionalisme Bangla dan Perang Pembebasan Bangladesh pada 1971 mewujudkan Bangladesh pada 26 Mac 1971 – wikipedia tentang Bangladesh, Paderi Sabah ingatkan Putrajaya tentang Batu Sumpah Peringatan Keningau pada 16 September – dari Malaysian Insider.

Bangsa yang tak tahu dari mana mereka datang mustahil akan tahu arah mana yang mereka tuju. Tak tahu sejarah bangsa sendiri bermakna tak tahu asal-usul diri, salasilah keluarga, dan teromba (susur galur) bangsa. Justeru, memahami sejarah bangsa adalah sepenting menyedut oksigen.

Selama lebih 50 tahun rakyat Malaysia dibohongi oleh UMNO (United Malays National Organisation). Masuk sahaja Ogos, maka dongeng dan lebong (temberang) tentang “Merdeka” akan diputar. Kita diberitahu, “Merdeka” dicapai tanpa pertumpahan darah. Kita diberitahu hanya UMNO (United Malays National Organisation) dan kuncu-kuncunya dari MCA (Malayan Chinese Association) dan MIC (Malayan Indian Conggres) yang berjuang untuk “Merdeka”. Semua ini bohong.

Selama lebih 50 tahun pembohongan ini disebar kerana UMNO (United Malays National Organsiation) gagah dan mendapat sokongan orang Melayu. Kini semuanya berubah. Parti UMNO (United Malays National Organisation) – kuasa hegemon – terbarai lemah dan sedang nazak. Orang Melayu tidak lagi menyokong buta parti ini. Ketika kuasa hegemoni lemah adalah masa terbaik untuk rakyat bangun menyerang.

Justeru, kita melihat pembohongan demi pembohongan diketahui umum. Rakyat kini sedar bahawa bendera Malaysia yang dipanggil “Jalur Gemilang” itu ditiru dari bendera EIC (East India Company) dan bendera Amerika Syarikat. Rakyat kini sedar bahawa lagu “Negaraku” – lagu Kebangsaan Malaysia – adalah lagu ciplakan dari lagu “Terang Bulan” – lagu Indonesia. Lagu “Terang Bulan” pula berasal dari “Memula Moon” sebuah lagu Perancis. Amat hina sekali nilai lagu kebangsaan Malaysia kerana asasnya adalah ciplakan atas ciplakan.

Selama 49 tahun kita diberitahu, Sabah dan Sarawak “masuk Malaysia”. Fakta bohong “masuk Malaysia” ini dijaja ke hulu kehilir. Lebong “masuk Malaysia” ini diperkukuhkan pula dengan sambutan 31 Ogos sebagai “Hari Malaysia”. Ini pembohongan kerana 31 Ogos tiada sangkut-paut dengan Malaysia. Persekutuan Malaysia ditubuh pada 16 September 1963.

Sabah dan Sarawak TIDAK pernah “masuk Malaysia”. Dua negara ini bukan “masuk Malaysia” tetapi menubuhkan Malaysia. Sabah dan Sarawak bukan sama taraf seperti Melaka atau Pahang atau Kedah. Sabah dan Sarawak adalah negara.

Dari segi ingatan bersama, dari sejarah oral, dari sejarah kuno bangsa Melayu – Sabah dan Sarawak tidak termasuk dalam ingatan manusia Melayu. Dalam Salatus Salatin, Hikayat Abdullah, Hikayat Hang Tuah – tiada tersebut nama Sabah atau Sarawak. Dalam kesusasteraan klasik Melayu tiada disebut Sabah atau Sarawak.

Ertinya, dua negara ini tidak wujud dalam ingatan bersama manusia Melayu. Tidak saperti Majapahit, Mataram, Pasai, Acheh, Singapura, Kelantan, Riau, Jambi, Terangganu, Johor, Palembang – nama-nama ini berkait rapat dengan sejarah tamadun dan ingatan bersama manusia Melayu.

Tidak dinafikan, ada tersebut kerajaan Kesultanan Brunai dan Kerajaan Sulu. Dalam sejarah tamadun Melayu wujud watak dan protoganis seperti Parameswara, Mansur Shah, Tun Teja, Hang Jebat, Tun Tuah, Bendahara Seri Maharaja, Taming Sari, Demang Lebar Daun.

Tetapi, saya sendiri – anak mahasiswa sejarah Asia Tenggara – tidak mengetahui siapakah watak atau protoganis yang mewakili Sabah dan Sarawak sehingga datangnya Temenggong Jugah Anak Bariang. Inipun kerana potongan rambutnya dilihat cool pada tahun 1960-an.

Saya yakin ramai generasi anak muda hari ini tidak faham apakah latar dan apa sebenarnya PROJEK MALAYSIA. Sejarah dan jalur sejarah negara-bangsa ini sengaja dipadam dari ingatan umum. Inilah kerja jahat pembohongan demi pembohongan yang dijalankan oleh UMNO (United Malays National Organisation).

Projek Malaysia berlatar belakang Perang Dingin. Projek ini berlatar gerakan nasionalisme yang sedang mengampoh Asia, Afrika, dan Latin Amerika sesudah Perang Dunia Kedua (1939-1945). Projek Malaysia juga strategi pemodal Anglo-Amerika untuk terus memiliki dan memunggah harta kekayaan di wilayah Nusantara.

Begini sejarahnya: Sesudah Perang Dunia Kedua – kuasa kolonial Inggeris mendapat dua pukulan hebat dari tanah jajahan. Di Kenya, Inggeris diserang oleh gerakan pembebasan Mau Mau. Pada 1952 darurat diisytihar. Di Tanah Melayu, darurat bermula pada 20 Jun 1948 apabila Perang Kolonial Anti British dilancarkan oleh PKM (Parti Komunis Malaya). Kuasa kolonial British akhirnya mengundur dari Kenya pada 12 Disember 1963 dan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957.

Sesudah Perang Dunia Kedua, Tanah Melayu adalah nadi dan oksigen untuk kolonial British. Hampir 60 peratus ekonomi British ketika itu bergantung pada getah dan bijih yang dipunggah dari Tanah Melayu. Perang Kolonial Anti British yang dilancar di Tanah Melayu, menggugat kuasa kolonial. Kerana kepentingan ekonomi British meninggalkan pentabiran Tanah Melayu kepada anak didiknya, UMNO (United Malays National Organisation).

Dalam masa sama, British masih memiliki Singapura, Sabah, Sarawak, dan Brunai. Tanah jajahan ini menjadi talian hayat untuk British. Tetapi ombak nasionalisme sedang membuak. Di Nusantara, ombak Bung Karno dari Indonesia dengan Konferensi Bandung 1955 dan semangat Afro-Asia sedang membakar kepulauan Melayu. Gerakan nasionalisme kiri juga sedang mengampoh.

Ingin saya menghitamputihkan, ketika Projek Malaysia dirancang pada awal tahun 1960-an oleh kolonial British, telah wujud Parti Komunis Kalimantan Utara dengan PARAKU – atau Pasukan Rakyat Kalimantan Utara sebagai sayap gerilanya. Parti Komunis Kalimantan Utara berjuang untuk menyatukan Sabah, Sarawak, dan Brunai dalam sebuah negara yang dipanggil Kalimantan Utara.

Perlu juga dihitamputihkan, gerakan nasionalisme juga mengampoh di Brunai dan Limbang. Pada 1962, Parti Rakyat Brunai memenangi 54 dari 55 kerusi yang dipertanding dalam MMD – Majlis Mesyuarat Daerah. Ini bermakna Parti Rakyat Brunai berjaya mengambil 16 kerusi dalam MMN – Majlis Mesyuarat Negeri (Parlimen Brunai). Ini tidak berlaku.

Kemenangan pilihan raya ini tidak diiktiraf oleh British. Akhirnya Parti Rakyat Brunai diharamkan dan pemimpinnya ditangkap. Brunai yang awalnya ingin bersama menubuhkan Malaysia, menarik diri.

Dari Indonesia – Bung Karno, pemimpin Revolusi Indonesia, amat sedar bahawa Projek Malaysia adalah projek British. Ini projek untuk memastikan ladang getah, lombong bijeh, bank, syarikat British yang ada di Tanah Melayu dan Singapura akan terselamat dari dimiliknegarakan. Projek ini adalah usaha kuasa imperial Anglo-Amerika untuk mengepung Indonesia yang bebas merdeka.

Dari segi sejarah, ketika Projek Malaysia diuar-uar, ramai rakyat Sabah dan Sarawak TIDAK bersetuju. Dokumen yang kita baca hari ini membuktikan, “pungutan suara” yang dijalankan Cobbold Comission itu hanya gula-gula untuk menipu.

Akhirnya 49 tahun kemudian, seperti “Jalur Temberang”, seperti “Memula Moon”, seperti “31 Ogos” – semuanya projek yang berasaskan penipuan dan pembohongan, kantoi. Minggu ini untuk pertama kalinya 16 September diisytihar sebagai “cuti umum”. Selama 48 tahun, 16 September tidak dipeduli.

Dari awal lagi, Projek Malaysia gagal. Brunai tak mahu masuk campur. Singapura tarik diri pada 1965. Hanya dengan bantuan CIA-Amerika Syarikat, barulah Sukarno dijatuhkan pada 1965. Ini dengan pembantaian hampir 1 juta warga Indonesia. Dengan jatuhnya Bung Karno, barulah UMNO (United Malays National Organisation) dapat meneruskan agenda tuannya. Sentimen bebas “Merdeka Kalimantan Utara” berjaya dibantutkan.

Tetiba minggu ini, untuk pertama kalinya warga Malaysia diberitahu tentang wujudnya “Batu Bersurat Keningau”. Batu bersurat ini samalah tarafnya saperti “Batu Bersurat Terangganu”. Dalam “Batu Bersurat Keningau” ditulis jelas 3 persertujaun warga Sabah untuk bersama mendirikan Malaysia. Pertama, mereka bebas beragama. Kedua, tanah di Sabah dikendalikan oleh kerajaan Sabah. Ketiga, adat-istiadat Sabah dihormati.

Kegagalan Projek Malaysia sahih terserlah apabila Pakatan Rakyat terpaksa pula membuat “Deklarasi Kuching”. Deklarasi ini membuktikan bahawa nasionalisme Dayak dan Kadazan melonjak naik. Bukan “Batu Bersurat Keningau” tidak dipeduli, malah balak dan minyak mereka dirembat kering.

Untuk saya, Projek Malaysia masih dapat diselamatkan. Kalau 48 tahun dahulu warga Sabah dan Sarawak mengadakan pungutan suara, sama ada mereka hendak bersama Malaysia atau tidak. Maka, hari ini secara demokratik rakyat Sabah dan Sarawak wajib dibenarkan hak membuat pungutan suara, sama ada mereka ingin terus bersama Semenanjung atau tidak.

Saya berkata demikian bukan kerana tidak suka Sabah dan Sarawak bersama, tetapi saya mengetahui realpolitik. Saya tahu apa yang terjadi kepada Pakistan Timur. Saya tahu dalam Perlembagaan Filipina bahawa Sabah adalah sebahagian wilayah Filipina. Fakta ini wajib diberitahu kepada seluruh warga Semenanjung agar orang Semenanjung tak lagi berkata, “Sabah dan Sarawak masuk Malaysia”.

===

Nota kaki: Rencana provokatif ini disiarkan dalam media online milik pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Ianya dapat pula dilayari di: www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 26 September 2012].

Hishammudin Rais ialah aktivis Badan Bukan Kerajaan (NGO, Non-Governmental Organization) dan penulis kritis terhadap kerajaan Malaysia, serta pendokong Pakatan Rakyat selaku barisan pembangkang dalam alam politik kontemporari di Malaysia.

SHARE

3 COMMENTS

  1. Waduh, kalau Sabah dan Sarawak lepas dari Malaysia, jangan-jangan Provinsi-provinsi Indonesia di Kalimantan juga akan iku-ikutan bergabung untuk mendirikan NBR (Negara Borneo Raya).

    Walau bagaimanapun juga, pilihan rakyat harus dihargai. Suara Rakyat adalah Suara Tuhan. Hidup Rakyat Kalimantan!!!

  2. Rakyat Kalimantan harus menuntut seperti ini: “Kalau PM Malaysia terus-menerus dari Semenanjung” dan “Kalau Presiden Indonesia juga terus-menerus dari Jawa”, maka kami (rakyat Kalimantan) akan mendirikan Negara Borneo Raya agar kami bisa jadi PM atau Presiden sebuah negara-bangsa yang berdaulat.

    Mantap, bro!!!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here