Perginya Seorang Tokoh Pendidik

1
83

Oleh: Nizam Yatim

“Orang Melayu perlu diberi peluang pendidikan seluas-luasnya jika mahu menjadi kaum yang maju dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.”

Itulah ungkapan yang sering diluahkan oleh bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Dr. Mahadzir Mohd. Khir yang sentiasa memperjuangkan nasib orang Melayu baik ketika menjadi ahli akademik atau ketika berada dalam politik dan sebagai anggota pentadbiran kerajaan.

Beliau yang meninggal dunia petang semalam sentiasa bertekad untuk menjadikan orang Melayu di Malaysia sebagai contoh masyarakat Melayu di Nusantara dan baginya jika orang Melayu di sini tercicir maka Melayu di seluruh Nusantara akan terkebelakang.

Mahadzir, 67, yang berasal dari Yan, Kedah mendapat pendidikan menengah di Sekolah Menengah St. Micheal, Alor Setar sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya (UM) dan University of West Michigan dan University of Chicago di Amerika Syarikat.

Khidmat beliau kepada masyarakat bermula sebagai guru di salah sebuah sekolah di Baling.

Beliau kemudian menyertai perkhidmatan tadbir dan diplomatik di Jabatan Perdana Menteri. Beliau juga pernah menjadi pensyarah di Jabatan Sejarah UM. Selama 22 tahun di universiti itu, Mahadzir merupakan Profesor Madya dalam bidang politik Malaysia dan sejarah. Allahyarham juga pernah menjadi Presiden Kesatuan Kakitangan Akademik Universiti Malaya (KKAUM). Sebagai tokoh akademik, beliau amat meminati karya sastera dan fiksyen dan Allahyarham mempunyai koleksi jumlah buku yang tidak pernah dihitungnya.

Beliau juga merupakan seorang pakar sejarah. Buku koleksi terpilih yang dimiliki beliau banyak berkisar kepada sejarah negara ini dan negara serantau. Kepakaran beliau itu membuat beliau diterima sebagai seorang kolumnis di beberapa majalah tempatan termasuk majalah Massa yang pernah diterbitkan Kumpulan Utusan dan turut dipilih sebagai tetamu forum di televisyen.

Sikap beliau yang mudah untuk dihubungi pihak media massa menyebabkan komennya dalam pelbagai isu termasuk berkaitan sejarah perjuangan UMNO sering disiarkan sehingga membuatkan beliau dikenali ramai.

Beliau bertanding buat kali pertama di atas tiket Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum 1999 di Parlimen Sungai Petani dan sekali lagi menang di kawasan sama pada pilihan raya umum 2004. Pada 10 Disember 1999, Mahadzir dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan dan pada 27 Mac 2004 pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dalam Kabinet baru yang dibentuk oleh Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Bagaimanapun, pada 14 Februari 2006, beliau digugurkan jawatannya sebagai Timbalan Menteri Pelajaran dalam rombakan kecil Kabinet. Beliau pernah bertanding jawatan Majlis Tertinggi UMNO pada 2000 tetapi hanya menduduki tempat ke-39 dengan 653 undi.

Pada 2003, beliau dilantik sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Sungai Petani dan pada 2004 terpilih sebagai Ketua UMNO bahagian itu setelah menewaskan Abu Bakar Ahmad dengan majoriti 40 undi.

Beliau meninggalkan isteri Datin Dr. Amla Mohd. Salleh. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham. Al-Fatihah.

===

Nota kaki: Rencana ini disiarkan dalam akhbar arus perdana online, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia: 6 September 2012. Ianya dapat pula dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 6 September 2012].

Nizam Yatim ialah Pengarang pada akhbar Utusan Malaysia di Kuala Lumpur. Bagi urusan sebarang akademik, beliau boleh dihubungi dengan alamat emel: [email protected]

SHARE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here