Arab Saudi dan Zionis Israel

1
99

Oleh: Hishamuddin Rais

Sebelum arwah ibu dan abah saya bertolak ke Mekah, mereka telah diberi kefahaman tentang perangai Arab Saudi yang akan ditemui di Mekah dan Madinah. Penerangan ini diberikan oleh kaum keluarga yang telah menunaikan fardu haji lebih awal. Malah, semua bakal haji dari Malaysia telah sedia maklum serba sadikit tentang hal perangai Arab Saudi ini.

Tetapi “kesah” ini tidak pernah dihebohkan oleh media. Ia hanya menjadi “cerita-cerita rakyat”. Kita selalu mendengar : “… kerana itulah Muhamad dihantar ke Mekah … untuk mentamadunkan Arab”. Rasanya 1,500 tahun adalah satu masa yang agak lama untuk melahirkan satu tamadun. Jika lembu dididik selama 1,500 tahun pasti lembu ini telah bijak bistari.

Kelakuan lucah terhadap warga asing yang menunaikan haji sering kita dengar. Kisah-kisah keganasan yang dilakukan terhadap buruh import dari Pakistan, India, dan Bangladesh yang memburuh di Arab Saudi akan meremangkan bulu roma. Keganasan seksual – rogol dan dera – terhadap pekerja wanita yang diimport dari Indonesia dan Filipina telah menjadi buah mulut.

Tetapi kenapa agaknya Hillary Clinton tidak bersuara tentang keganasan terhadap kaum sejenisnya? Kenapa CNN tidak membuat laporan? Kenapa agaknya media antarabangsa semuanya senyap-sepi tidak bersuara tentang penindasan warga perempuan Saudi yang tidak boleh mengundi atau memandu kereta? Kenapa tidak ada tuntutan “pendemokrasian” dari Amerika terhadap Saudi Arabia? Kenapa warga Iraq sahaja yang perlu demokrasi?

“Scam” Paling Besar untuk Penganut Agama Islam

Untuk saya, negara yang bernama Arab Saudi  adalah scam yang paling besar, yang menimpa penganut agama Islam di seluruh dunia. Arab Saudi membuktikan bagaimana kesucian dan takwa penganut agama Islam telah dieksploit oleh keluarga Saud. Dari sudut sejarah, pada zaman Nabi Muhammad tidak ada raja di Arab Saudi. Dalam kitab awal Ibnu Hisham – As-Sirah an-Nabawiyyah – yang ditulis 200 tahun salepas Nabi Muhammad wafat tidak ada disebutkan nama raja, sultan, atau al-Malik. Malah agama Islam secara radikal menentang kaum feudal kerana sistem feudal ini bercanggah dengan teologi Islam. Jadi dari mana munculnya Raja Saudi ini?

Sejarah merakamkan bahawa Arab Saudi ini dilahirkan dari perancangan kuasa imperial Anglo-Saxon sesudah perang dunia pertama (1914-1918). Semenanjung Arab ini seperti Negara Telok dipimpin oleh pelbagai ketua suku dan kabilah. Perbalahan dan perperangan antara suku dan kabilah sering berlaku. Maka di sinilah munculnya T.E. Lawrence seorang ejen dari Britain yang merancang untuk menjatuhkan kuasa imperial Ottoman yang berpusat di Istanbul.

Dengan memberi sokongan kepada kabilah Abdul Aziz al-Saud, kekuatan kerajaan Ottoman di sebelah Selatan – Jordan, Palestin, Syria dan Iraq – menjadi lemah. Pada 29 Oktober 1923 Turki menjadi republik. Scara rasminya kuasa kerajaan Khalifah Ottoman dihapuskan pada 3 March 1924. Akhirnya pada tahun 1932 lahirlah apa yang hari ini dikenali sebagai Kingdom of Saudi Arabia.  T.E. Lawrence seorang ejen British yang juga seorang homoseksual telah memainkan peranan yang amat penting untuk mewujudkan Arab Saudi.

Di sini saya membawa para pembaca untuk memahami konsep yang dipanggil geo-politik. Geo-politik ialah politik kawasan, bumi, tanah atau wilayah yang dianggap strategik dan penting. Strategik kerana kedudukan wilayah ini dari segi ketenteraan. Penting kerana wujudnya sumber asli yang ditemui dalam wilayah ini.

Pada hemat saya, jika Arab Saudi mengeksport petai dan jering maka setiap hari kita akan membaca tentang kejahatan kaum kerabat Saud. Tetapi hakikatnya bukan petai dan jering tetapi bahan bakar petrol. Arab Saudi adalah negara kedua dalam dunia – sesudah Venezuela – yang memiliki simpanan minyak terbanyak. Arab Saudi adalah negara pengesksport utama – 12 juta tong sehari – minyak mentah dari Saudi memasuki pasaran dunia. Justeru Saudi adalah kunci keselamatan sistem ekonomi kapitalis yang bergantung kuat dengan bahan bakar petrol.

Sayugia dikhabarkan di sini bahawa 15 dari 19 orang pengganas yang menyerang WTC (World Trade Center) pada 9/11 datang dari Arab Saudi. Menjadi pelik – tindak balas dari George Bush bukan tehadap Saudi tetapi kepada Afghanistan dan Iraq. Ini hanya satu contoh jelas di mana kuasa imperial Anglo-Amerika akan memilihara “keledai” tunggangan mereka dalam percaturan geo-politik dunia hari ini.

Ramai warga Melayu/Islam mungkin tidak menyedari bahawa keluarga diraja Saudi ini tidak ada sangkut paut dengan Islam. Mereka tidak memiliki pertalian teologi dengan Islam. Malah, yang sahih, keluarga Saudi ini adalah tali barut dan ejen yang paling setia kepada kuasa imperial Anglo-Amerika. Keluaraga Saud ini pernah ditentang. Pada 20 November 1979 dahulu satu pemberontakan telah berlaku. Kaabah telah diambil alih selama 2 minggu oleh kumpulan anak-anak muda yang menentang pemborosan, rasuah dan kelakuan keluarga Saud. Hanya dengan bantuan Amerika pemberontakan ini telah dipatahkan.

Untuk meneruskan kuasa feudalnya, meredakan kebencian rakyat, Raja Saudi menggelarkan diri mereka – Penjaga Dua Masjid. Ini hanyalah tembok untuk mengolah persetujuan penganut Islam seluruh dunia bahawa keluarga Saud ini berhak ke atas Mekah dan Madinah.

Melalui petroldolar keluarga Saud telah menabur pengaruh ke seluruh dunia. Mengembangkan faham kolot lagi jumud. Melalui pelbagai yayasan, melalui anak-anak syarikat, kerabat Saudi ini telah mendana masjid, sekolah dan pelbagai bentuk wakaf untuk memastikan penganut agama Islam terus dibodohkan.

Rejim Saud telah memusnahkan artifak-artifak sejarah yang membina ingatan bersama budaya Arab/Islam dari zaman sebelum Nabi hingga ke zaman Nabi. Umum telah difahamkan bagaimana kota Mekah telah menjadi “vulgar/lucah” dengan Mc Donald dan Kentaki Fried Fak. Bertafakur atau berdoa di hadapan makam kaum keluaraga Nabi dianggap “syirik” tetapi menyambah Mek Donal dan Kentuki dianggap soleh.

Imperialis Anglo-Amerika

Jangan tersilap faham tujuan tulisan ini bukan hendak menghina Islam tetapi untuk menunjukkan bahawa keluarga Saud ini tidak ada sangkut paut dengan Islam. Malahan rejim Saudi ini adalah sebahagian dari punca huru-hara yang sedang berlaku di Timur Tengah.

Kaum pemodal dan kuasa imperialis Anglo-Amerika telah menggunakan Islam jenis Saudi untuk mematahkan perjuangan gerakan pembebasan warga Islam khususnya dan warga dunia amnya. Gerakan pembebasan Palestin telah dimandulkan. Gerakan demokrasi di Bahrain sedang diganyang dengan bantuan dolar Saudi.

Setelah memahami semua ini saya membawa kembali para pembaca kepada keadaan yang sedang berlaku di bumi Arab. Saddam dimusnahkan kerana ingin menggantikan dolar sebagai duit pertukaran jaul beli minyak. Gaddafi dimusnahkan kerana menentang pangkalan tentera Amerika didirikan di Afrika.

Kini Bashar perlu ditewaskan kerana dari segi geo-politik wilayah Syria ini amat penting untuk tentera Amerika masuk menyerang Iran. Semenjak zaman berzaman – dari Perang Salib – kita mengetahui bahawa Damshik adalah kota stretegik. Pintu ke Amman, pintu belakang ke Baghdad, pintu ke Libanon semua bermula di Damshik. Justeru pada tahun 2008 yang lalu kota Damascus telah dinobatkan sebagai kota budaya Arab.

Semenjak dari ribuan tahun wilayah Levant inilah yang menjadi titik mula tamadun dunia. Di wilayah ini tulisan dimulai. Di wilayah ini konsep Yang Maha Esa ditemui. Sumer, Babil, Akkad adalah kota-kota kuno yang mengasaskan kemunculan kota Damascus dan Baghdad yang akhirnya membawa Percerahan. Berbanding dengan Saudi – tidak ada apa-apa yang dapat dibanggakan.

Kuasa imperialis Anglo-Amerika dalam perancangan geo-politik untuk mengepung China dan Rusia kini sedang bekerjasama dengan Saudi Arabia dan Isreal. Dua negara ini dilihat ‘berseteru’ tetapi mereka sedang berkerjasama untuk mematahkan apa sahaja bentuk gerakan demokratik yang berkemungkian muncul di bumi Arab.

Pada tahun 2007, kuasa imperialis Amerika telah memberikan 60 bilion dolar melalui apa yang dipanggil military-aid package atau bantuan ketenteran. Sebanyak 13 bilion dolar nilai senjata ini akan dihantarkan kepada Arab Saudi.  Bantuan persenjataan ini membuktikan Saudi amat penting dalam percaturan geo-politik. Senjata yang diterima dari Amerika sedang digunakan oleh gerombolan anti-Bashir. Senjata yang dibeli di pasaran gelap dibayar dengan duit petrodolar. Duit Saudi juga digunakan untuk merekrut tentera-tentera upahan yang dipanggil Free Syrian Army.

Dari segi ideologi pula, fahaman reaksionari Saudi ini sedang dijaja dari Moroko ke Maldives. Dari Bahrain kena Bukina Faso. Dari Jerico ke Jakarta. Dari Dubai ke Dungun. Ajaran kolot Islam jenis Saudi ini sedang dikembangkan. Sekali lagi saya jelaskan bahawa penentangan Arab Saudi terhadap Bashar di Syria dan Ahmadinejad bukan kerana Shiah atau kerana Sunni. Bukan juga untuk menegakakan shiar Islam. Penentangan ini lahir dari strategi geo-politik Anglo-Amerika yang kini sedang merancang untuk mengepung China dan menekan Rusia.

Justeru, China dan Rusia telah menggunakan kuasa veto dan akan terus mengunakan kuasa veto jika ketetapan PBB dilihat sebagai topeng untuk tentera NATO (North Atlantic Treaty Organization) menyerang Syria. China dan Rusia merasa “tertipu” apabila ketetapan PBB telah menghalalkan tentera Nato menyerang Libya.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam media pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Ianya dapat pula dilayari di: www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 10 Ogos 2012].

Hishamuddin Rais ialah penulis prolifik, aktivis NGO (Non-Governmental Organization atau Pertubuhan Bukan Kerajaan), dan pendokong parti pembangkang, PAKATAN RAKYAT, dalam alam politik kontemporari di Malaysia.

SHARE

1 COMMENT

  1. Ya, karena orang Arab itu bahlul, maka Nabi Muhammad SAW diturunkan di tengah-tengah masyarakat Arab agar mereka lebih bermoral dan berakhlak mulia. Tapi nyatanya hingga sekarang watak dasar orang Arab itu tidak berubah, tetap bahlul.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here