Krisis Tempe di Indonesia

1
82

Oleh: Wartawan Utusan Malaysia di Jakarta

Jangan sesekali ada yang terfikir tajuk artikel itu sebagai jenaka. Ia memang benar berlaku di Indonesia pada masa ini.

Sejak lebih seminggu lalu, media-media tempatan melaporkan Indonesia sedang kecoh kerana bekalan tempe dan tauhu sukar diperoleh di pasar.

Seluruh rakyat negara ini amat pelik dengan situasi yang berlaku. Tempe adalah jiwa bangsa ini. Sejak abad ke-16 lagi, tempe sudah menjadi makanan asli bangsa ini.

Gambar kiri, dari Jakarta: Krisis tempe yang menggamat seluruh Indonesia berlaku disebabkan kenaikan harga soya yang tidak terkawal.

Justeru, apabila tempe ghaib di pasaran, ia mengundang suasana yang mencemaskan. Mana mungkin orang Indonesia tidak makan tempe.

Keakraban tempe dengan negara ini juga pernah disebut oleh Presiden Sukarno dalam satu pidatonya.

“Bangsa yang kerja keras, bukan bangsa tempe, bukan bangsa kuli. Bangsa yang rela menderita demi pembelian cita-cita,” kata Presiden pertama Indonesia.

Sekalipun, mesej dalam pidato itu membawa konotasi negatif, namun, yang mahu ditegaskan Sukarno ialah bangsa Indonesia bukanlah bangsa yang lembek seperti tempe.

Ketika era revolusi, tempe sering dikaitkan sebagai hal-hal yang lemah atau negatif seperti lembik dan mudah menyerah sehingga muncul beberapa sindiran seperti mental tempe, pasukan tempe atau pemuda kelas tempe yang semuanya merujuk kepada golongan yang lemah.

Namun, dari satu sisi lain, tempe juga berada dalam senarai makanan murah untuk golongan bawahan.

Sekalipun murah, namun jasa tempe kepada bangsa Indonesia terlalu besar kerana ia pernah menyelamatkan jutaan rakyat Indonesia daripada kebuluran serta penyakit-penyakit lain pada tahun 1945 hingga akhir 1960-an.

Andai tempe tidak ada, tentu sekali jutaan anak Indonesia yang lahir di era berkenaan tidak panjang umur kerana ketika itu juga, situasi ekonomi Indonesia sangat tidak baik.

Kepada bangsa Indonesia, tempe dianggap sebagai makanan yang sangat berkhasiat dan mereka juga mempercayai tempe sangat baik untuk kesihatan kerana ia dikatakan boleh menurunkan tekanan darah, menyembuhkan cirit-birit, mencegah kanser dan lain-lain.

Tempe yang dibuat daripada kacang soya turut memiliki kelebihan membantu pergerakan usus, membantu mengawal kolestrol dan paras hormon.

Atas kepercayaan itu juga, tempe dilihat sebagai pengganti daging yang paling ideal.

Sekalipun, Sukarno dianggap menyinggung perasaan rakyatnya kerana menghina tempe, hakikatnya, beliau sendiri merupakan penggemar tempe.

Tempe goreng tidak pernah tidak ada di meja makan beliau. Itu jelas sekali menunjukkan tempe bukan hanya makanan masyarakat bawahan.

Justeru, apabila bekalan tempe terputus sejak seminggu yang lalu, seluruh Indonesia ribut dan mempersoalkan keseriusan pemerintah menangani persoalan yang cukup besar buat mereka.

Hal tempe, bukan boleh dibuat main-main. Hanya kerana tidak cukup bekalan, para peniaga melancarkan mogok.

Krisis

Krisis tempe dan tauhu yang menggamatkan seluruh Indonesia berlaku disebabkan kenaikan harga soya tidak dapat dicegah.

Apatah lagi, Indonesia merupakan antara negara pengimport terbesar kacang soya dari Amerika Syarikat untuk diproses menjadi tempe dan tauhu.

Sudahlah rakyat sering merungut bekalan makanan sentiasa tidak cukup, peniaga-peniaga tempe dan tauhu pula naik angin kerana perniagaan mereka semakin terancam dan pendapatan semakin susut kerana harga bahas asas untuk memproses tempe dan tauhu semakin mahal.

Di kota-kota besar, bekalan tempe dan tauhu sangat sulit untuk ditemui di pasar-pasar tradisional dan kalau ada sekalipun sangat terbatas selain harganya yang melambung tinggi.

Bayangkan pada masa ini harga bagi sekeping tempe dan tauhu dijual pada harga Rupiah 10,000 (RM3.35) berbanding Rupiah 5,000 (RM1.60) sebelum ini.

Menyingkap persoalan darurat tempe atau juga disebut krisis tempe ketika ini, selain daripada membicarakan masalah itu dari kaca mata rakyat yang memerlukannya sebagai mengalas perut, tempe juga wajar dilihat dari aspek nilai sentimental buat bangsa Indonesia.

Berdasarkan perbualan dengan rakan-rakan tempatan selain melalui pembacaan, apa yang dapat disimpulkan ialah tempe tidak boleh sama sekali berhadapan dengan krisis bekalan.

Dalam apa keadaan sekalipun, sebilangan besar rakyat negara ini mahu tempe menjadi keutamaan pemerintah untuk memastikan ia sentiasa mudah diperoleh di pasaran.

Bangga

Masyarakat Indonesia terlalu bangga dengan tempe dan mereka sangat bangga dikaitkan sebagai bangsa tempe kerana tempe bukan dibangunkan dalam puluhan tahun, sebaliknya sudah ribuan tahun ia menjadi asas kehidupan mereka.

Lalu, apabila pemerintah mengabaikan persoalan mengenai tempe, ia sekali gus mengundang rasa bimbang apakah hal ini juga akan turut mengheret kemungkinan untuk meremehkan tempe suatu seni kebudayaan yang sudah lama diwarisi?

Dengan membenarkan negara asing atau lebih tepat bangsa luar mendominasi pembekalan bahan mentah penghasilan tempe dan tauhu, ia seakan hanya melihat kebudayaan Indonesia akan dijajah pada masa depan.

Tentu sekali hal-hal ini yang menjadi kebimbangan masyarakat tempatan sehinggakan ada tokoh budayawan yang menyifatkan ia satu dosa budaya dengan membiarkan kekuatan kebudayaan dikendalikan bangsa asing.

Kebanggaan terhadap tempe juga dianggap sebagai satu perlambangan kepada pengenalan diri bangsa Indonesia.

Lazimnya kita sering mendengar makanan atau masakan mewakili sesebuah bangsa.

Dan Indonesia juga tidak mahu melepaskan peluang memperkenalkan kepada masyarakat antarabangsa bahawa tempe itu adalah jati diri mereka.

Krisis soya sebagai bahan asas penghasilan tempe dan tauhu turut dilihat sebagai indikator kegagalan pemerintah untuk meletakkan tugas memelihara keperluan makanan di kedudukan paling teratas.

Usaha mendaulatkan makanan merupakan satu kebijaksanaan pemerintah supaya krisis dan masalah darurat seperti tempe ini tidak berlaku lagi pada masa depan.

Ternyata tempe memiliki nilai sentimental tersendiri buat negara ini.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan oleh media arus perdana online, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tarikh 29hb Julai 2012. Ianya dapat dilayari pula di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 29 Julai 2012].

SHARE

1 COMMENT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here