Keetnikan, Identiti Bangsa dalam Sejarah

1
99

Oleh: Tan Sri Alimuddin Mohd Dom

Lambakan maklumat di alam maya boleh menimbulkan masalah apabila kita disogokkan dengan bahan yang tidak ilmiah atau yang salah fakta.

Karya asal atau tulisan tulen dalam bentuk jurnal, ensaiklopedia, majalah, dokumen atau buku teks banyak tersimpan di perpustakaan awam atau di institusi pengajian tinggi kadang kala sukar untuk diperolehi jika dibandingkan dengan penggunaan komputer.

Keadaan akan menjadi tidak terkawal apabila terdapat penulis yang tidak beretika menulis sejarah menggunakan fakta dan pendekatan yang salah.

Demikian kerisauan yang diluahkan oleh Pengerusi Persatuan Sejarah Malaysia (PSM) Tan Sri Omar Hashim dalam ucapan alu-aluannya semasa berlangsung Seminar Sejarah Malaysia yang diadakan di Wisma Sejarah, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur pada 20 Jun lalu.

Seminar yang bertemakan “Sejarah, Etnisiti dan Identiti” dihadiri lebih 200 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli PSM termasuk penggiat, peminat dan pelajar sejarah. Objektif seminar adalah untuk mengetengah dan membincangkan isu-isu kontroversi di sekitar sejarah tanah air. Ia turut meneliti permasalahan keetnikan dan cabaran pembinaan identiti bangsa dalam konteks sejarah nasional.

Ada pendapat menyatakan bahawa penulisan sejarah boleh berubah mengikut perspektif dan pendekatan yang dikehendaki oleh penulis dan persekitarannya. Sebagai contoh semasa saya belajar di sekolah menengah lewat l960-an dalam mata pelajaran Sejarah, J.W.W. Birch, Residen Perak yang pertama, dianggap sebagai wira kerana dibunuh di Pasir Salak ketika menjalankan tugas. Beliau dianggap berjasa kerana bertugas atas restu Ratu Inggeris dan sedang berusaha melakukan transformasi terhadap pentadbiran kerajaan negeri Perak, terutama menyusun kembali penguasaan kutipan cukai.

Namun demikian apabila kita melihat sejarah melalui kaca mata kita sendiri maka wira sebenarnya ialah mereka yang merancang dan membunuh petualang negara itu. Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan rakan- rakannya dianggap sebagai pejuang ulung yang menentang kemasukkan penjajah ketika itu.

Langkah lebih berkesan telah diambil oleh pihak penguasa tempatan apabila menukar semua nama jalan bernama Birch kepada Maharajalela.

Dalam konteks masyarakat majmuk, penulisan sejarah mempunyai kaitan yang rapat dengan etnik, kumpulan status, gender dan warga generasi. Prof. Dr. Kamaruddin M Said dalam kertas yang bertajuk “Kesedaran Sosial dan Pentafsiran Sejarah” menyatakan sebahagian besar penulisan sejarah Malaysia dibina oleh nasionalisme Melayu, khususnya pada pertengahan pertama abad ke- 20. Dengan kejayaan UMNO (United Malays National Organization) menjadi pendukung utama kepada kemerdekaan tanah air, maka pentafsiran sejarah dari kaca mata nasionalis Melayu telah diterima pakai dalam penulisan teks sejarah.

Namun demikian akhir-akhir ini pentafsiran sejarah telah menerima saingan daripada pihak lain secara lebih berani. Misalnya Chin Peng, tokoh utama Parti Komunis Malaya (PKM), telah menerbitkan memoirnya yang bertajuk My Side of History (Chin Peng, 2003).

Pentafsiran Chin Peng terhadap sejarah kolonialisme dan kemerdekaan Malaysia adalah antitesis kepada pentafsiran yang dibuat oleh nasionalis Melayu. Demikian juga buku-buku yang ditulis oleh tokoh-tokoh penting PKM seperti Abdullah CD, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, dan Ibrahim Chik menafsirkan sejarah “gerakan kiri” dan PKM daripada sudut pandangan peribadi masing-masing.

Demikian juga buku yang berkisar peristiwa hitam 13 Mei 1969 selain buku yang dihasilkan oleh Tunku Abdul Rahman bertajuk 13 Mei: Sebelum dan Selepas (Tunku, 1969) dan buku Tragedi 13 Mei: Suatu Laporan Majlis Gerakan Negara (Mageran, 1969) yang merupakan laporan rasmi kerajaan, terdapat juga buku lain yang melihat peristiwa itu daripada perspektif yang berbeza. Antaranya buku yang ditulis oleh Kua Kia Soong bertajuk May 13: Declassified Documents on the Malaysian Riots of 1969 yang merujuk banyak dokumen Pejabat Rekod Awam, London. Sementara itu buku yang bertajuk Patriots and Pretenders: The Malaysan People‘s Independence Struggle (Kua Kia Soong, 2011) mengetengahkan peranan yang dimainkan oleh ‘golongan kiri’ dalam sejarah perjuangan kemerdekaan.

Sementara itu bagi Abd Ghapa Harun yang membentangkan kertas bertajuk “Memahami Permasalahan Etnisiti dan Identiti dan Pengaruhnya ke atas Historiografi Negara Berbagai Kaum, Malaysia” menyatakan dalam mengidentifikasi permasalahan negara maka peranan historiografi dan pendidikan sejarah adalah penting. Menurutnya diagnosis ke atas historiografi akan dapat meneliti pengaruh dan kesannya ke atas isu etnik dan identiti.

Dalam abad ke-21, akibat proses globalisasi di kebanyakan negara, isu kepelbagaian etnik dan perbezaan identiti semakin ketara. Akibatnya isu keetnikan dan identiti semakin mendominasi arena politik. Ia menyemarak apabila pelbagai kelompok masyarakat khususnya etnik minoriti semakin kerap menuntut proses demokrasi dilaksanakan secara terbuka dan memperjuangkan politik multikulturalisme.

Memuncaknya isu tersebut mendorong para peneliti sains sosial dan sains politik memberi perhatian mendalam terhadap implikasi kepelbagaian tersebut ke atas proses pembinaan negara. Pelbagai saranan telah dimajukan bagi menangani isu tersebut melalui penulisan, perbincangan dan seminar.

Bagi negara kita dengan pelaksanaan Sistem Pendidikan Kebangsaan telah dapat mengurangkan isu keetnikan dan identiti tersebut. Pendidikan menekankan konsep perpaduan di kalangan pelbagai etnik dan membina jati diri serta mengumpulkan kanak-kanak belajar di bawah satu bumbung. Malah mata pelajaran Sejarah digunakan untuk membentuk pemikiran pelajar dan menjadi alat penting bagi pembinaan negara bangsa.

Atas kesedaran tersebut Menteri Pelajaran menjadikan mata pelajaran itu wajib dipelajari oleh semua pelajar. Sejarah bukan sahaja untuk mengenal asal usul tetapi dapat dijadikan alat mengukuhkan jati diri bagi mengukuhkan perpaduan pelbagai etnik yang menghuni negara ini.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam media arus perdana online, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tarikh 2hb Julai 2012. Ianya dapat dilayari pula di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung: 3 Julai 2012].

Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ialah Pengerusi YGMB (Yayasan Guru Malaysia Berhad) di Kuala Lumpur, Malaysia.

SHARE

1 COMMENT

  1. Salam, Tan Sri. Bila di Malaysia wujud pertubuhan PSM (Persatuan Sejarah Malaysia) yang beribu pejabat di Kuala Lumpur, di Indonesia pula wujud MSI (Masyarakat Sejarawan Indonesia) yang beribu pejabat di Jakarta.

    Sebagai makluman, kena kenal pasti pula ASPENSI (Asosiasi Sarjana Pendidikan Sejarah Indonesia) yang ditubuhkan di Bandung pada tarikh 20hb Mei 2006, sempena meraikan Hari Kebangkitan Nasional di Indonesia. Pertubuhan ni aktif sangat: mentadbir jurnal akademik, menganjur persidangan, mengadakan penyelidikan, bengkel, dan seumpamanya.

    Jom kita kongsi antara PSM, MSI, dan ASPENSI agar wujud persefahaman dalam sejarah dan budaya, sama ada di Indonesia mahupun di Malaysia. Setakat ahli-ahli sejarah sahaja yang boleh membagi tafsir secara objektif, akademik, dan komprehensif bersabit isu sejarah di Indonesia dan di Malaysia.

    Salam 1Bangsa: Indonesia Raya dan Melayu Raya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here