Antara PRU, Kuasa, dan Negara Bangsa

2
85

Oleh: Ahmad Zaki Ismail

Tidak ada satu hari pun yang berlalu lewat kini tidak menyentuh perkara berkaitan PRU (Pilihan Raya Umum) di Malaysia. Malah tanpa mengira peringkat usia, struktur sosial atau profesion kerja semuanya masih menghitung masa menunggu ketika bila agaknya hari keramat dan bersejarah itu akan menjelma. Hinggakan kemeriahan pesta bola European Cup 2012 juga seperti hilang bahangnya tidak seperti sebelum ini.

Mungkin pada mereka yang tidak ambil kisah, tidak mahu ambil indah, atau tidak mahu tercebur dalam keluh-kesah hanya menganggap ini semua seperti awan berlalu. Seperti peralihan yang berlaku antara siang dengan malam antara gelap dengan terang. Kerana pada mereka ia seperti fenomena alam semesta.

Nota gambar: Golongan belia Felda Gugusan Chini mengambil kesempatan mendaftar sebagai pemilih dan keahlian UMNO (United Malays National Organization) di kaunter bergerak anjuran Pemuda UMNO Chini di Dewan Orang Ramai Chini Timur, Pekan, Februari lalu. Gambar hiasan

Cuba kita congak dan kira berapa ramai agaknya yang tergolong dalam kumpulan ini. Apa yang nyata statistik menunjukkan bahawa 80 peratus daripada 4.2 juta orang rakyat Malaysia yang layak mengundi tahun ini masih belum mendaftar. Majoriti daripada mereka adalah daripada yang berbangsa Melayu.

Angka ini satu jumlah besar yang tentunya memberikan impak sekiranya tidak dilakukan sesuatu terhadapnya. Malah, mungkin juga apa yang akan berlaku kelak apabila tiba waktu untuk proses mengundi akan berlakulah peristiwa menang sorak kampung tergadai seperti kisah Pak Kaduk yang tergolong dalam cerita rakyat Melayu dahulu kala.

Bila dibuat analisis, kaji selidik, temu duga dan sebagainya jawapan yang sangat mudah diperolehi daripada kumpulan yang tidak mendaftar ini yang diperolehi amat tipikal serta sinikal dengan kewajaran jawapan lebih kepada tidak peduli, malas dan itu kerja orang politik.

Sekali lagi sudah tentu kepada orang biasa jawapan itu bukan klise, tetapi memang ada kebenaran. Kerana, mereka peduli apa sebab semua keperluan sudah tersedia. Semua kemewahan, prasarana, kebajikan, kemudahan, kemeriahan, keraian, serta hampir apa sahaja yang diperlukan terbentang di hadapan mata. Celik mata, buka mulut, keluar sahaja dari bilik semua sudah terhidang. Inilah generasi Y kita.

Di sekolah, kalau dahulunya ada subjek pelajaran tatarakyat, sivik, dan seumpamanya bagi mendidik warga muda mengenai pelbagai perkara yang tidak dinamakan sebagai ilmu akademik tetapi amat penting dalam memperkukuhkan jati diri dalam membina negara bangsa sudah tidak lagi wujud. Jadi di mana agaknya ilmu berkenaan akan diperolehi, di mana pula maklumat dan kesedaran mengenainya dapat dipungut?

Bolehkah kita mendapatnya dari media cetak, apabila media alternatif terutamanya blog-blog menafikan malah memanipulasikan pelbagai fakta menjadi auta sehingga antara yang nyata dengan dusta tidak lagi boleh dibezakan.

Malah parasit anti establishment telah lama ditanam kepada kumpulan ini sehingga apa sahaja berkaitan kerajaan, pemerintah sedia ada, bumiputera dan ketuanan menjadi pantang kepada mereka.

Apa yang sensitif bukan lagi menjadi perkiraan. Rasa hormat menghormati sudah pun semakin pupus sehingga apa sahaja akan dibalun tanpa mengira perasaan orang lain atas dasar demokrasi dan kebebasan bersuara, kebebasan hak individu dan apa sahaja cara bagi menghalalkannya. Lalu lupalah kumpulan ini apa pula hak orang ramai, hak majoriti yang dinafikan oleh kumpulan minoriti ini?

Kepada para pembuat polisi, pentadbir kanan kerajaan pula seolah-olah mengiakan tindakan mereka itu dan para penguat kuasa kelihatan seperti bacul dan dilondehkan uniform mereka dan dimudahkan mereka dengan pelbagai peraturan yang kononnya bagi meningkatkan ketelusan kita di peringkat antarabangsa.

Maka jadilah kumpulan ini sebagai badut sarkas yang dimaki hamun, ditertawakan dan dipermainkan tanpa rasa segan silu dan takut lagi. Kerana atas dasar itu, segala perlakuan dan tindakan mereka hanya akan menjerat tengkuk sendiri dan akhirnya menabur pasir dalam periuk sendiri. Lebih baik diam daripada terjun ke dalam kolam, bukankah itu yang berlaku kepada kita ketika ini? Bukankah itu juga berlaku kepada pendidik bestari kita, malah kepada ibu bapa?

Semuanya takut, takut pada hantu, takut pada bayang-bayang, takut pada teguran masyarakat antarabangsa malah takut pada diri sendiri. Kerana selimut ketakutan yang sudah dicipta penjajah melalui pelbagai strategi sebelumnya sudah pun sampai ke puncak dan kita tidak lama sahaja lagi akan lemas dibalutnya.

Benarkah perkara ini boleh berlaku? Mari kita lihat kebenarannya melalui rangkaian analisis mudah ini. Kita tanyakan apakah pelantar utama bagi memakmurkan dan memajukan negara. Bagaimana keutuhan ekonomi boleh dicipta dan bagaimana kekayaan dapat diwujudkan serta bagaimana kebahagiaan rakyat dapat dicerakinkan.

Hanya satu jawapan yang amat mudah kepada semua soalan di atas yakni kestabilan negara. Kestabilan sesebuah negara itu sebenarnya berkait rapat dengan kestabilan politik yang mampu menguruskan pentadbiran dan aset milik negara secara bijaksana hingga ia boleh di agih dan dinikmati oleh rakyatnya.

Bukti mudah bagi menyokong analisis ini boleh dilihat dengan nyata bahawa banyak negara di sekitar kita atau sehingga ke negara Balkan sekalipun yang mempunyai sumber asli dan jumlah penduduk yang lebih ramai, keluasan yang lebih besar malah sejarah yang lebih panjang tidak menikmati kemakmuran sebagaimana yang kita miliki ketika ini.

Mungkin ada yang menyangkal dan berkata, itu hanya alasan. Bagaimanapun, cuba kita tukar topi berfikir kita dengan lebih bersikap rasional dalam membuat perbandingan keadaan di Indonesia, Filipina, Thailand, atau Iran dan mana sahaja. Buka sahaja buku sejarah dan teliti semula faktanya, kenapa sesebuah negara mampu berjaya dan apa yang menyebabkan keruntuhan mereka?

Benarkah jawapannya adalah pentadbiran, politik, perebutan kuasa yang menjadi punca? Nah, kini kita kembali ke bumi nyata di negara kita. Memang benar, kita tidak merelakan berlakunya pelbagai penyelewengan, korupsi dan penyalahgunaan kuasa.

Memang benar kita perlukan pembangkang bagi mengatur neraca supaya seimbang dalam mengurus negara. Pembangkang yang kita perlu adalah umpama cermin bersih yang memantul cahaya keimanan, keikhlasan dan ketokohan. Tetapi, jika sekadar cermin buruk yang retak dan lebih hodoh dan teruk daripada wajah sedia ada apa gunanya?

Inilah yang dikatakan lari dari mulut buaya masuk mulut naga. Pada masa sama, untuk mereka yang masih tidak mahu kesah, tidak ambil pusing dan tidak mahu terlibat dan terbabit, malah ingin berkecuali atau tidak mahu mengundi; sudahkah mereka fikirkan akibatnya? Kerana pada mereka ini, hanya satu undi tidak akan memberi sebarang kesan kepada senario politik negara.

Malanglah mereka ini dan rugilah negara sekiranya kumpulan ini tidak menjalankan kewajipan mereka. Sudah lupakah mereka sebab setitik nila akan berupaya membirukan satu belanga susu. Malah tindakan mereka ini sebenarnya yang akan mewujudkan gelombang tsunami politik negara yang mungkin bakal menumbangkan kerajaan yang sedia ada atas sikap tidak kesah dan tidak apa itu.

Kerana kalau menggunakan perkiraan ilmu matematik yang amat dibanggakan penguasaannya oleh masyarakat moden kini maka kita perlu mentafsir jumlah undi ini antara 100 dengan 101 siapakah yang menang?

Tenung, renung, menung dan buat keputusan anda kerana yang membaca dan meneliti tulisan ini lihatlah apa yang tersirat dan tersurat dengan topik mudah yang dicatatkan di atas ÔÇťantara pilihan raya, pengukuhan kuasa dan kesinambungan negara bangsa”.

Terlalu signifikan dan mendalam dan saling berkaitan antara satu dengan yang lainnya. Sekiranya pilihan raya diadakan, tentu ada yang menang dan ada yang kalah. Siapa yang menang akan menentukan polisi atau kesinambungan ataupun menghancurkan yang telah sedia ada. Kata ahli bijaksana lama jangan marahkan nyamuk habis kelambu dibakar.

Kepada nyamuk yang berada di dalam kelambu berkenaan tentulah pula perlu melakukan sesuatu kerana telah lama bermastautin dan bermaharaja lela menghisap darah, keluar dan tinggalkanlah kelambu itu yang jika tidak dibakarpun akan ada yang membawa penyembur beracun mencari anda di sana.

Kita gembleng tenaga untuk membangun, memperbaiki, memperbetul, memperteguh dan seterusnya meneruskan kegemilangan, kecemerlangan dengan melaksanakan transformasi berterusan supaya mampu menjadi masyarakat yang disegani oleh penyokong dan musuh di luar sana. Umpama bidalan bersatu kita teguh, bercerai kita roboh.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam media online arus perdana, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia pada tarikh 14hb Jun 2012. Ianya dapat pula dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 15 Jun 2012].

Dr. Ahmad Zaki Ismail ialah Penasihat Pertubuhan Kebangsaan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (Pewaris).

SHARE

2 COMMENTS

  1. I nak tukar kerajaan UMNO di Malaysia. Macam jemu tengok UMNO berterusan berkuasa. Macam tak wujud parti dan tokoh lain yang punya integriti di Malaysia ni.

    Jom tewaskan UMNO dalam PRU nanti.

  2. DSAI dah tua la. Tak payah maju nak jadi PM dan menawan Putra Jaya. Macam Najib pulak dah tua. Tak payah sambung jadi PM semula.

    Elok bagi laluan kepada pemimpin belia. Anak puan daripada DSAI ok la tu: belia, lawak, berwibawa, dan wujud kharisma daripada bapaknya, DSAI (Datuk Seri Anwar Ibrahim).

    Lakar sejarah dengan pena emas bahawa perempuan boleh jadi PM di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here