Mencari Alternatif Amah Asing

3
118

Oleh: Arif Atan

Dilaporkan setakat ini terdapat kira-kira 75 peratus pembantu rumah warga Indonesia daripada jumlah lebih 200,000 amah asing yang berkerja di Malaysia. Seramai 30,000 orang pula adalah orang Kemboja dan bakinya dari negara lain.

Akibat permintaan yang terus meningkat, Malaysia dikatakan memerlukan kira-kira 100,000 amah Indonesia lagi.

Tidak hairanlah negara jiran seberang itu mengenakan pelbagai tuntutan kepada Malaysia sebelum ini lantaran kebergantungan kita kepada mereka dalam membekalkan warganya sebagai amah di sini.

Paling ketara apabila Indonesia mahukan rakyatnya yang menjadi pembantu rumah di negara kita diberi gaji bulanan minimum sebanyak RM700 selain tidak dikenakan lebih daripada satu beban tugas.

Oleh itu, syor supaya kita mengambil amah dari kalangan wanita Islam Kemboja, Vietnam, selatan Thailand dan selatan Filipina terutamanya seperti yang disuarakan oleh Bisik-Bisik Awang Selamat kelmarin adalah praktikal untuk dilaksanakan.

Namun, ikhtiar untuk membendung keegoan Indonesia itu juga harus perlu mengambil kira beberapa perkara. Pertama, kuatkuasakan peraturan supaya amah yang terdiri daripada wanita Islam dari negara rumpun Melayu itu dikhususkan untuk majikan beragama Islam di negara ini.

Kita tidak mahu lagi mendengar kes-kes penderaan majikan terhadap amah Indonesia yang beragama Islam kerana perbezaan latar agama dan budaya akan “berpindah” pula selepas ini kepada kelompok amah Muslim terbabit.

Jika tidak, dikhuatiri pada masa depan kita hanya akan mengulang kitar semula isu yang kemudiannya bagi jangka panjang menjejaskan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara lain di rantau Asia Tenggara ini.

Seterusnya, mencemar imej Malaysia sebagai negara yang sinonim dengan agama Islam walaupun kes-kes terpencil itu dilakukan mungkin oleh majikan yang sebahagian besarnya bukan beragama Islam.

Kedua, pada ketika Malaysia mempertimbangkan untuk mengimport amah beragama Islam dari wilayah jiran tetangga, ada baiknya dalam masa sama kita menawarkan kerja pembantu rumah ini kepada golongan wanita tempatan yang dari latar sosio-ekonomi rendah tetapi tinggi semangatnya untuk bekerja.

Mereka ini bertebaran di seluruh ceruk tanah air sama ada di kawasan bandar, kampung mahupun pedalaman di Semenanjung, Sabah dan Sarawak; komuniti Orang Asli serta ibu tunggal adalah antara kelompok modal insan yang boleh dimanfaatkan untuk mengisi permintaan tinggi sumber tenaga pembantu rumah.

Dengan langkah ini, mereka yang bukan beragama Islam boleh disalurkan untuk berkhidmat dengan majikan bukan beragama Islam. Tidak seperti hari ini. Ramai amah Indonesia Muslim ditempatkan bersama-sama majikan yang bukan beragama Islam yang kemudiannya mengundang konflik kerana sensitiviti agama dan budaya.

Melalui kerjasama Kementerian Sumber Manusia dengan pihak lain terutamanya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat langkah tersebut bukanlah mustahil untuk dilaksanakan segera.

Tambahan kos sara hidup yang semakin meningkat hari ini akan mendesak mereka untuk menyahut seruan menjadi pembantu rumah bagi pelan jangka panjang mengurangkan kebergantungan kita kepada amah asing.

Daripada terus membiarkan mata wang kita mengalir begitu sahaja ke luar negara ada baiknya terlebih dahulu mengalir ke kantung rakyat kita sendiri. Golongan wanita berbilang kaum di negara ini sebenarnya adalah aset penting yang rugi jika tidak dimanfaatkan untuk memenuhi keperluan sumber tenaga buruh seperti amah.

Selain itu, daripada perspektif sosio-budaya, hanya pembantu rumah tempatan yang lebih memahami bahasa, budaya termasuk kerenah majikannya. Begitu juga dengan pihak majikan. Lebih mudah untuk kita mengurus dan memahami keperluan dan gelagat pembantu rumah tempatan.

Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula interaksi sosial antara pembantu rumah tempatan dengan majikan mereka. Sekiranya berlaku juga kes-kes berkaitan perselisihan faham, hal itu hanya berlaku dan “habis” di negara ini sahaja. Tidaklah sampai kita dicemuh oleh media di negara luar yang umumnya tidak memahami variasi kaum di negara ini.

Alternatif untuk kita tidak terlalu bergantung kepada amah asing terutamanya dari Indonesia sebenarnya ada di negara ini. Syaratnya, pihak kementerian berkaitan harus segera merangka mekanisme pelaksanaan berserta skim atau insentif tertentu yang mewujudkan situasi menang-menang di pihak majikan dan pembantu rumah tempatan.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam media online arus perdana, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur,Malaysia, pada tarikh 6hb Jun 2012. Ianya dapat pula dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 8 Jun 2012].

Arif Atan ialah peneliti sosial dan budaya masyarakat.

SHARE

3 COMMENTS

  1. Saya membagi cadangan kepada kerajaan Indonesia: kena hentikan hantar amah ke Malaysia. Nanti ramai yang dirogol dan didera, sama ada oleh orang am mahupun penjawat setingkat Menteri.

    Lagi pun, menghantar amah setakat merendahkan maruah bangsa. Ramai pensyarah wanita Indonesia, bila pergi untuk bentang dalam persidangan di Malaysia, dikesan pula sebagai amah.

    Jom jaga maruah bangsa dan stop hantar amah ke Malaysia.

  2. Betul kata Soekarno, “Saya titipkan negeri ini kepada kamu”. Artinya, jangan sampai negara Indonesia ini menjadi “bangsa kuli” dan “negara jongos” yang tidak merdeka dan rendah derajatnya di mata dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here