Bahaya Pemikiran Irshad Manji terhadap Umat Islam Malaysia

1
96

Oleh: Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir

Kontroversi buku Allah, Kebebasan, dan Cinta sejak seminggu lalu masih belum berakhir manakala Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyerahkan kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk menelitinya setelah pelbagai pihak mendesak diharamkan atas alasan boleh memesongkan akidah umat Islam.

Meskipun buku itu berjaya dilancarkan pada Sabtu lalu dan penulisnya terus mengambil penerbangan ke New York pada malamnya, kehadiran Irshad Manji, bekas pelarian dari Uganda dan kini menetap di Kanada, terus dikecam atas dua faktor, iaitu keberaniannya membuat pilihan sebagai seorang Muslim lesbian dan kejanggalan pemikirannya yang mengajar prinsip kebebasan, rasionaliti dengan keberanian merempuh sempadan moral ataupun meruntuhkan sempadan kerasulan Nabi Muhammad SAW (Salallahu ‘Alaihi Wassalam) serta sunnah baginda.

Kedatangannya di negara ini sudah pasti membawa kesan negatif terhadap masyarakat. Ia akan menyemarakkan lagi perkembangan LGBT (Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender) yang menjadi beban berat kepada pihak berkuasa bagi meleraikan penyakit sosial ini.

Irshad dikatakan memasuki Malaysia pada 13 Mei 2012 lalu, iaitu ketika UMNO (United Malays National Organization) sedang meraikan ulang tahun ke-66 penubuhan dan pada 14 Mei 2012, satu acara dijangka berlangsung di UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia), tetapi terpaksa dibatalkan.

Pada Jumaat (18 Mei 2012), satu acara dirancang ketika umat Islam menunaikan fardu Jumaat di Universiti Monash Kampus Sunway, bagi mengelak dihadiri pemprotes, dan pada petangnya Irshad hadir di Kedai Buku Borders, Mid Valley turut diarahkan batal oleh Jabatan Agama Islam Selangor dan KDN.

Bagaimanapun, pada 19 Mei 2012, buku yang diterbitkan oleh ZI Publications berjaya dilancarkan dalam majlis ringkas di Dewan Perniagaan China Selangor dan Kuala Lumpur, yang dihadiri 70 orang, termasuk pewaris syarikat penerbitan itu, Ezra Zaid. Buku itu sudah berada di pasaran beberapa hari sebelum dilancarkan.

Syarikat yang menerbitkan buku tersebut, sebelumnya pernah menerbitkan buku-buku yang mempunyai aliran pemikiran liberal dan pluralisme agama yang ditulis oleh orang Islam sendiri. Pada 2009, menterjemahkan buku tulisan Ed Hussain ke dalam Bahasa Melayu dengan tajuk Saya Seorang Pejuang, manakala tahun lalu menterjemahkan buku tulisan Reza Arsalan dan menerbitkannya dengan memakai tajuk Tiada Tuhan Melainkan Allah.

Buku Ed Hussain, seorang imigran dari Bangladesh yang kemudiannya menetap di Timur London menceritakan tentang penglibatannya sebagai aktivis Islam, termasuk Pertubuhan Hizbut Tahir. Dikutuknya organisasi itu dengan cara yang amat disukai Barat, dan pergerakan Islam dilihat sebagai zalim, melampau, dan ganas. Buku itu laris di pasaran, kerana ia berjaya melengkapkan sangkaan Barat terhadap Islam.

Zainuddin Sardar menilai buku itu tidak ubah seperti penulisan perhubungan awam untuk Parti Buruh, kerana kemudiannya, setelah meninggalkan Hizbut Tahir, Ed Hussain bekerja dengan parti pimpinan John Major dan melanjutkan pendidikan ke peringkat doktor falsafah.

Buku Reza Arsalan, yang juga merupakan buku terlaris menurut rekod New York Times pada 2009, menggunakan perspektif sejarah yang digumuli oleh masyarakat Islam sebagai menilai tahap kesyumulan Islam.

Irshad, 43 tahun, yang dilahirkan di Uganda dalam keluarga campuran – ayahnya berasal dari Gujerat, India, manakala ibu pula dari Mesir, sejak kecil lagi suka bertanya dengan soalan-soalan mencabar, termasuk mempersoalkan kepentingan Nabi-nabi dalam kehidupan masyarakat beragama.

Lantaran sikapnya, dia dibuang daripada sekolah agama. Pendidikan agama hanya diteruskan secara tidak rasmi menerusi pembacaan dan pertemuan dengan beberapa orang “tutor” yang boleh berbahasa Arab.

Bagaimanapun, dari sudut pendidikan sekular, Irshad merupakan seorang pelajar cemerlang dan dianugerahkan medal Governor-General oleh Universiti British Columbia sebagai pelajar terbaik dalam bidang kemanusiaan. Pengkhususan beliau ialah sejarah pemikiran, dan kerana itulah beliau diterima tokoh pemikir yang berpengaruh untuk hidup dalam kebebasan moral dan berintegriti, atas keyakinannya bahawa “tidak lagi perlu takut untuk mempersoalkan kelompok kita sendiri”.

Buku beliau sebelumnya, The Trouble with Islam Today (2002), dan diterjemahkan ke Bahasa Indonesia menggunakan tajuk Beriman Tanpa Rasa Takut (2008), diharamkan penjualannya di Malaysia, bagaimanapun, masih boleh dibaca menerusi Internet. Dalam edisi terjemahan itu, Irshad menyerang keputusan para ulama kerana pendekatan yang mereka ambil lebih banyak bersifat mengongkong dan tidak menyuburkan faham kebebasan serta rasionaliti.

Dalam buku pertama, Irshad menulis: ”Sebagai seorang pedagang buta huruf, Muhammad bergantung pada pencatat untuk mencatat kata-kata yang didengarnya dari Allah. Kadang-kadang Nabi sendiri mengalami penderitaan luar biasa untuk menguraikan apa yang ia dengar.

Itulah bagaimana “ayat-ayat syaitan” – ayat-ayat yang memuja berhala – dilaporkan pernah diterima oleh Muhammad dan dicatat sebagai ayat autentik untuk Al-Qur’an. Nabi kemudian mencoret ayat-ayat tersebut, menyalahkan tipu daya syaitan sebagai penyebab kesalahan catatan itu. Namun, kenyataan bahawa para filosof muslim selama berabad-abad telah mengisahkan cerita ini sungguh telah memperlihatkan keraguan yang sudah lama ada terhadap kesempurnaan Al-Qur’an” (hal.96-97).

Dalam buku kedua, Allah, Kebebasan, dan Cinta, Irshad melanjutkan pendapatnya dengan menyatakan: ”Dakwah Nabi membawa aib kepada masyarakatnya […]. Sebagai pembelot extraordinaire, Muhammad telah menghancurkan reputasi sukunya sendiri, Quraisy […]. Merasakan keresahan sebilangan kecil pengikutnya yang baru memeluk Islam dan penentangan yang semakin memuncak: baginda ‘mencairkan’ mesejnya […] sebagai permulaan, Muhammad melentur nama Tuhan, ‘Rabb’ yang dipakai pada awalnya diganti dengan Allah, iaitu yang dipakai oleh pagan Quraisy […]. Setelah terjadi peristiwa ‘ayat-ayat syaitan’. Nabi tersalah menilai beberapa ayat sebagai wahyu Tuhan dan lalu menyampaikannya kepada sahabat baginda […]. Muhammad kemudian menarik balik ayat-ayat itu, dan menyalahkan syaitan atas kesalahan yang dilakukannya” (hal.121-122).

Cebisan petikan tersebut sudah jelas membuktikan Irshad sebenarnya membawa semula doktrin Salman Rushdie pada 1988 menerusi novel kontroversinya, Satanic Verses (Ayat-ayat Syaitan). Hal yang sama ingin dilakukan oleh Irshad apabila tidak yakin dengan peribadi Nabi Muhammad sebagai pesuruh Allah dan menanggap apa yang diteladani oleh baginda dipengaruhi oleh syaitan.

Bagaimanapun, disebabkan masih “ada lagi sisa Islam dalam dirinya”, Irshad hanya boleh menerima Al-Qur’an sebagai pedoman walaupun menyangkal kepentingan hadis dan peranan ulama dalam memelihara kesyumulan Islam.

Irshad yang terkurung dalam kepompong ilmiah Barat akan terus membawa nada sinis dan mengkhianati Islam dan kerana itulah ke seluruh dinding cermin apartmennya perlu dipasangkan kaca kalis peluru. Dan ketika buku Allah, Kebebasan, dan Cinta dilancarkan di Belanda, pekikan dan ancaman bunuh ditujukan, kerana beliau sebenarnya melanjutkan neo-orientalisme dari dalam Islam sendiri.

Ia tidak lebih dari sebuah buku perhubungan awam yang bersifat peribadi, dan asas untuk membenarkan dirinya sebagai seorang daripada tiga wanita Muslim yang berpengaruh, yang bakal mencetuskan pembaharuan dalam masyarakat Islam. Tidak keterlaluan, Irshad sebenarnya sedang menempa jalan kehancuran, atas pilihannya sendiri.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam media online arus perdana, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tarikh 25hb Mei 2012. Ianya juga dapat dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 26 Mei 2012].

Datuk Dr. Aziz Jamaludin Mhd Tahir ialah Yang Dipertua YADIM (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia).

SHARE

1 COMMENT

  1. Irshad Manji dilarang bicara di Indonesia dan di Malaysia. Saya sarankan kepada beliau agar bicara saja di hadapan para syetan di Neraka. Semoga Allah mengampuni dosa-dosanya. Amin.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here