Menelanjangi Pembodohan Penguasa

1
101

Oleh: Hishamuddin Rais

Dua minggu sesudah IBU segala demo berlangsung – pelbagai bentuk pembohongan ditabur. Semua ini dilakukan secara terancang untuk mengalih dan memadam ingatan orang ramai terhadap isu yang fundamental. Berita, kisah, dan kenyataan yang remeh-temeh dipanjang-lebar dan dibesar-besarkan. Semua ini dirancang agar umum terlupa agenda fundamental.

Agenda ketika ini ialah rakyat menuntut pilihan raya secara adil dan bersih. Ini induk tuntutan. Ini ibu dari segala tuntutan. Agenda inilah yang menjemput 300,000 warga turun ke jalan raya. Jumlah 300,000 anak semua bangsa ini bukti rakyat Malaysia TIDAK lagi yakin kepada proses pilihan raya dijalankan dengan adil dan bersih.

Rakyat Malaysia – anak semua bangsa – yakin bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sedang merancang untuk menipu di PRU (Pilihan Raya Umum) 13. Seramai 300,000 yang keluar berdemo adalah tanda hilang keyakinan terhadap sistem pilihan raya di Malaysia. Mereka turun berdemo kerana tidak mahu ditipu. Inilah persoalan fundamental.

Untuk pencerahan, saya menelanjangi satu demi satu pembohongan yang ditabur. Pencerahan ini adalah persediaan untuk kita semua turun sekali lagi jika kita ditipu dalam pilihan raya tidak lama lagi.

Awal wahid – yang wajib saya telanjangi ialah konsep: hak menumbangkan kerajaan. Orang ramai, terutama orang Melayu, selalu ditakut-takutkan dengan perkataan “menumbangkan kerajaan”. Perkataan dan konsep ini dikuduskan sehingga orang ramai tidak berani bersuara. Orang Melayu ditakut-takutkan dari bergerak menyusun saf untuk menumbangkan kerajaan.

Kita tidak harus takut. Jangan gentar untuk terlibat dalam gerakan menumbangkan kerajaan. Menumbangkan kerajaan adalah perkara biasa. Kerajaan Suharto di Indonesia tumbang pada 1998. Kerajaan Marcos di Philippine tumbang pada 1986. Kerajaan Shah Reza Pahlevi di Iran tumbang pada 1980. Kerajaan Mubarak di Mesir tumbang tahun lalu (2011).

Justeru, rakyat bangun menumbangkan kerajaan dan sebuah kerajaan tumbang adalah perkara biasa. Bukan pekara pelik. Bukan satu yang ganjil atau unik.

Dari zaman berzaman, kerajaan ditumbangkan oleh rakyat. Kerajaan Melayu Melaka tumbang. Kerajaan Majapahit tumbang. Kerajaan Pasai tumbang. Kerajaan Acheh tumbang. Kerajan Turki tumbang. Kerajaan Czar Russia tumbang. Kerajaan Hitler tumbang. Justeru – kita semua tidak perlu takut – menumbangkan kerajaan ini bukan satu jenayah. Bukan satu kerja yang salah.

Mahathir Mohamad menakut-nakutkan orang ramai dari bergerak menumbangkan kerajaan Najib. Mahathir ada sebab. Kerana apabila UMNO (United Malays National Organsiation) tumbang, maka Mahathir akan didakwa dengan pelbagai kesalahan rasuah. Sebab inilah Mahathir bermati-matian mempertahankan Najib Razak.

Tiga bekas ketua polis negara a.k.a polis pencen – cuba menakut-nakut orang ramai untuk menumbangkan kerajaan. Pembaca jangan risau. Sila ketawa kerana mereka ini adalah “Three Stooges” – Tukang Karut macam watak Wok Dogol, Wok Long, dan Wok Seman dalam naratif klasik wayang kulit.

Ketiga-tiga Datuk, Tan Sri, dan Tun ini “memiliki” kes jenayah yang besar. Seorang tauke judi pasti takut kasinonya ditutup. Seorang ahli tinju – masih ada kes belum selesai. Dan seorang “tauke lender” pasti tahu apabila kerajaan UMNO (United Malays National Organisation) tumbang, bergantang-gantang lendir akan dihempap ke mukanya. Justeru, cakap-cakap “tiga ekor lanun” ini wajib didengar dengan mulut ternganga dan dua tangan menutup lubang telinga.

Mari buka mata untuk melihat ke luar tingkap negara kita. Kerajaan Jimmy Carter ditumbangkan Ronald Reagan pada 1980. Kerajaan George Bush ditumbangkan Barack Obama pada 2005. Kerajaan Partai Buruh Gordon Brown ditumbang David Cameron pada 2010. Paling baru – tiga hari lalu – di Perancis, kerajaan Sarkozy ditumbangkan oleh Francois Hollande.

Bila saya tulis sejarah kerajaan yang tumbang ini, pasti ada pembaca akan melompat bersuara. Akan menjerit-jerit mangatakan bahawa Ronald Reagan, Barack Obama, Francois Hollande, dan David Cameron semuanya menumbangkan kerajaan melalui proses pilihan raya dan bukan berdemo di jalan raya.

Syukur! Saya senang hati apabila ada pembaca yang berhujah sedemikian. Saya bangga jika pembaca akan bertegang leher untuk melaungkan ke telinga saya bahawa pilihan rayalah yang menumbangkan kerajaan si Ani dan si Anu. Ini hujah tepat dan sahih. Saya terima hujah ini.

Tetapi, kita semua wajib menyedari pilihan raya di Amerika Syarikat, United Kingdom, dan Perancis tidak menipu. Rakyat di negara ini bebas memilih sesiapa sahaja yang mereka suka. Lembaga Suruhanjaya Pilihan Raya Perancis tidak merancang untuk menipu pengundi. SPR Perancis tidak merancang untuk memastikan Sarkozy menang dan calon Parti Sosialis Francois Hollande kalah.

Di negara-negara ini, pilihan raya ialah pesta kebebasan untuk memilih kerajaan baru atau mengundi kembali kerajaan lama. Tidak wujud penipuan. SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) di United Kingdom kerjanya ialah mengatur, penyusun pilihan raya, bukan menipu pengundi.

Penipuanlah yang membezakan antara pilihan raya United Kingdom atau Perancis dengan pilihan raya Malaysia. Penipuan adalah kunci dan besi berani yang memanggil 300,000 anak semua bangsa – tua dan muda – turun ke jalan raya 28 April 2012 lalu. Pengundi di Malaysia TIDAK mahu lagi ditipu.

Pilihan raya yang menumbangkan kerajaan di United Kingdom atau Perancis adalah pengundian sahih dari warganegara. Bukan seperti di Malaysia – SPR dengan kerjasama UMNO (United Malays National Organisation) memberi Mat Bangla dan Mat Indon, kad pengenalan. Dengan kad pengenalan segera ini, “warga asing” akan dipaksa untuk mengundi UMNO (United Malays National Organisation).

Kerajaan Sarkozy ditumbangkan bukan menggunakan pengundi hantu. Kerajaan Gordon Brown ditumbangkan bukan kerana undi pos. Ronald Regan menumbangkan Jimmy Carter bukan dengan membuat persempadanan semula atau hilangkan nama pengundi. Jelas, kerajaan yang ditumbangkan melalui proses pilihan raya yang bersih dan adil. Bukan dengan penipuan.

Mari kita melihat pula bagaimana Suharto di Indonesia, Marcos di Phillipine, dan Mubarak di Mesir menjalankan pilihan raya. Suharto juga mengadakan pilihan raya. Tetapi majoriti dari 445 ahli parlimen adalah yang dilantik. Ini samalah saperti yang sedang berlaku di Myanmar sekarang. Parti Ang Suu Ki memenangi 45 dari 46 kerusi yang dipertanding. Tetapi parlimen Myamar ada 664 Yang Berhormat. Selain dari 45 YB yang dipilih – semuanya dilantik oleh tentera.

Marcos menjadi Presiden Filipina selama 20 tahun (1966-1986). Kempen pertama Marcos pada 1965 hingga ke hari ini masih menjadi buah mulut. Ferdinand Marcos menjadi Presiden melalui penipuan, beli undi dan paksaan.

Kisah Hosni Mubarak dari Mesir lebih indah dan menarik. Mubarak menjadi Presiden selama 30 tahun, sejak 1975. Pada 1987, 1993, dan 1999 dengan licik Mubarak mengadakan pungutan suara – bukan pilihan raya – untuk memastikan terus berkuasa. Pada 2005, Mubarak dicadangkan sekali lagi oleh Parlimen Mesir untuk menjadi Presiden. Lalu dilakukan pemungutan suara. Sayangnya hanya Mubarak seorang saja calon yang ada untuk dipilih.

Rakyat Mesir semakin marah. Tuntutan pilihan raya bersih dan adil mula kedengaran. Maka pada September 2005 diadakan pilihan raya dengan pelbagai parti bertanding. Sebelum pilihan raya dijalankan, Parlimen meluluskan undang-uandang dan akta untuk memastikan semua kuasa mutlak masih di tangan Presiden Mubarak.

Kes Suharto, Marcos, dan Mubarak ini adalah kes klasik dalam Dunia Ketiga. Kita tidak perlu lagi melihat kes Mobutu Seseko dari Congo atau Mugabe dari Zimbabwe. Semua mereka ini adalah contoh pemimpin negara Dunia Ketiga yang menang dalam pilihan raya.

Biar saya tuliskan apakah ciri-ciri negara Dunia Ketiga agar pencerahan ini membantu kita semua untuk memahami apa yang sedang berlaku sekarang. Ciri utama ialah ruang demokrasi amat sempit dalam negara Dunia Ketiga. Sistem kapitalis yang diguna-pakai ialah kapitalisme kroni. Elit politik dan elit ekonomi hidup dengan kaya-raya. Rasuah menjadi budaya. Media dikongkong. Polis, sistem kehakiman, badan agama, dan tentera digunakan untuk mengancam orang ramai.

Semua ciri dan watak ini terdapat di Malaysia. Hakikatnya, Malaysia walaupun memiliki bangunan tinggi Petronas tetapi masih lagi berwatakkan negara Dunia Ketiga.

Parti UMNO (United Malays National Organisation) berkuasa selama 54 tahun. Ini jangka panjang. Perlembagaan telah diubah berkali-kali. Pelbagai akta ditambah.  Pelbagai lembaga ditubuh. Ini untuk memastikan UMNO (United Malays National Organisation) terus berkuasa.

Suharto, Marcos, dan Mubarak menipu dalam pilihan raya untuk terus berkuasa. Rejim Najib Razak dan UMNO (United Malays National Organisation) juga merancang untuk menipu dalam PRU (Pilihan Raya Umum) 13 di Malaysia. Suharto, Marcos, dan Mubarak menang pilihan raya tetapi dihambat keluar oleh rakyat.

Jangan silap faham – saya tidak menolak pilihan raya. Yang ditolak ialah penipuan dalam pilihan raya. Justeru, jika kali ini UMNO (United Malays National Organsiation) melalui SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya) menjalankan penipuan dalam PRU 13 – maka rakyat tidak ada pilihan, melainkan turun ke jalan raya.

Sama seperti di Indonesia, Filipina dan Mesir – sesudah rejim lama dihumban, maka SPR baru ditubuhkan. SPR yang baru inilah akan mengendalikan pilihan raya yang adil dan bersih. Ini bukan angan-angan. Ini satu janji.

===

Nota campur: Rencana yang bersifat provokatif ini disiarkan dalam media online milik pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Ianya juga dapat dilayari secara terus di: www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 15 Mei 2012].

Hishamuddin Rais ialah penulis prolifik, aktivis NGO (Non-Governmental Organization atau Pertubuhan Bukan Kerajaan), dan pendokong parti pembangkang, PAKATAN RAKYAT, dalam alam politik kontemporari di Malaysia.

SHARE

1 COMMENT

  1. Kalau saja di Malaysia ada 1,000 orang seperti Hishamuddin Rais ini, seperti di Indonesia dimana cendekiawan yang kritis kepada pemerintah sangat banyak jumlahnya, pastinya Malaysia akan maju dan modern, serta menjadi negara demokrasi yang disegani di Asia Tenggara. Masalahnya, menurut Prof Ahmat Adam dari Istitut ATMA (Alam dan Tamadun Melayu), pada umumnya orang Melayu itu seperti kayu basah, yang sukar panas dan terbakar walaupun diprovokasi dan disulut oleh pihak lain untuk mentang pemerintah.

    Orang Melayu itu umumnya menjadi “pak turut” alias mengekor saja apa-apa yang dimaui oleh pemerintah. Jadi, jangan harap akan terjadi revolusi dan perubahan yang radikal dalam bidang sosial dan politik di Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here