Angguk-angguk, Ikut Kata Nik Aziz

2
91

Oleh: Zulkiflee Bakar

Apa sudah jadi dengan Datuk Abdul Aziz Nik Mat? Itulah persoalan yang bermain di fikiran ramai orang Melayu apabila Menteri Besar Kelantan bertaraf ulama itu menyokong perhimpunan Bersih Sabtu lalu (28/4/2012).

Malahan apa yang mengejutkan Mursyidul Am PAS (Parti Al-Islam se Malaysia) itu juga mengakui memberi wang belanja kepada mereka yang ingin menyertai perhimpunan, yang berakhir dengan keganasan dan perbuatan biadab.

Sememangnya, Nik Abdul Aziz kini bukanlah seorang ahli politik bertaraf ulama yang harus dihormati pandangannya. Beliau tidak mampu lagi membuat sesuatu ulasan atau kenyataan berlandaskan kepada kebenaran dan keadilan.

Sebaliknya, apa yang Nik Abdul Aziz lakukan ialah membuat satu demi satu kenyataan politik yang berlandas kepada ketaksuban kepada politik PAS dan pakatan pembangkang.

Walaupun Nik Abdul Aziz mengetahui bahawa dalam perhimpunan berkenaan ada anggota polis yang cedera akibat diserang oleh perusuh, namun Menteri Besar Kelantan tersebut tidak mengulas mengenainya.

Sebaliknya, Nik Abdul Aziz mengucapkan tahniah kepada mereka yang menyertai demonstrasi berkenaan. Entah apa yang ada dalam fikiran Mursyidul Am PAS itu yang seolah-olah langsung tidak prihatin terhadap keganasan yang berlaku.

Malahan ketika ditanya oleh wartawan berhubung kekecohan yang berlaku, Nik Abdul Aziz mendakwa ia terjadi kerana mereka disekat oleh pihak berkuasa semasa perhimpunan itu.

Persoalannya, siapakah dahulu yang mencari fasal? Bukankah pihak berkuasa sama ada polis mahupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah berusaha mengelakkan sebarang masalah apabila mencadangkan perhimpunan diadakan di stadium. Tetapi ternyata, tawaran itu ditolak kerana matlamat penganjur termasuklah parti pembangkang yang terlibat, kalau ada kekecohan itu lebih baik kerana ia akan memburukkan imej Malaysia.

Selain itu, turut mengecewakan kita ialah apabila Nik Abdul Aziz dengan sewenang-wenangnya menganggap demonstrasi merupakan cara moden yang halal dilakukan, selain pilihan raya untuk menggulingkan sesebuah kerajaan yang mungkar.

Kata Nik Abdul Aziz, “Saya nak suruh nampak ramai demonstrasi, nak suruh ramai menentang mungkar, tolak Islam adalah perkara paling mungkar dan jahat”.

Persoalannya, apakah pemimpin-pemimpin pembangkang yang menyertai Bersih itu mahukan kepada Islam? Kenapakah Nik Abdul Aziz tidak mempersoalkan mengenai penglibatan Datuk S. Ambiga dalam menyokong kegiatan Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT)? Tidakkah perbuatan itu bukan sahaja diharamkan oleh Islam, malah boleh mengundang bala Allah SWT jika kita membiarkan ia berleluasa di negara ini?

Kemungkaran apa yang Nik Abdul Aziz maksudkan? Siapa yang menolak Islam? Apakah benar berlaku kemungkaran dalam pilihan raya yang selama ini telah membenarkan beliau menjadi Menteri Besar Kelantan sejak lebih 20 tahun lalu?

Kalau Nik Abdul Aziz mahu bercakap soal membanteras kemungkaran, beliau sepatutnya mengkaji dahulu apa yang berlaku dalam kalangan pemimpin pakatan pembangkang.

Tidakkah sebahagian mereka telah dan sedang dikaitkan dengan perbuatan-perbuatan mungkar? Kenapakah Nik Abdul Aziz tidak menyeru supaya pemimpin seumpama itu ditolak?

Apakah kerana ia melibatkan pemimpin pakatan pembangkang yang menjadi sekutu PAS bagi memburu kuasa politik maka segala-gala boleh dibenarkan? Kalau Nik Abdul Aziz bercakap soal menolak Islam, apakah DAP (Democracy Action Party), rakan sekutu rapat PAS, menerima Islam?

Malang sekali jika Malaysia terpaksa mempunyai ulama berpolitik seperti Nik Abdul Aziz, mungkin bagi penyokong-penyokong tegar PAS, mereka akan mengangguk sahaja apa juga kata Nik Abdul Aziz.

Tetapi bagi orang Melayu yang mahu berfikiran waras dan matang, mereka akan menganggap Nik Abdul Aziz semakin bercelaru fikirannya dalam memberi pandangan berhubung isu politik semasa. Mungkin juga disebabkan ada ulama seperti Nik Abdul Aziz lah yang menyebabkan pemimpin pembangkang tidak pernah berasa takut dengan kemungkaran yang mereka lakukan.

Ia termasuklah juga dengan secara terbuka pemimpin-pemimpin DAP menentang perjuangan negara Islam oleh PAS sehingga memaksa PAS “kecut perut” dan terpaksa mengubah haluan kepada negara berkebajikan.

Selain itu, disebabkan ada Nik Abdul Aziz juga, Unit Amal PAS yang sepatutnya menjaga keselamatan membuat tindakan di luar dugaan apabila merempuh sekatan polis. Mereka tidak akan berasa bersalah kerana Nik Abdul Aziz sudah berhujah:

Kecoh itu kerana disekat. Air turun dari bukit, jangan sekat dia turun ke laut; kalau sekat dia masuk kampunglah. Demonstrasi hak rakyat, hatta komunis beri peluang rakyatnya berdemonstrasi. Orang PAS kita jamin dididik dengan baik, tapi baik sampai orang titik kepala tak boleh. Orang PAS tidak akan buat macam itu (melakukan rusuhan), tapi kalau disekat masalah lah”.

Oleh itu, berbahagialah pemimpin pembangkang dan ahli serta penyokong yang mencetus kekacauan pada perhimpunan Bersih tersebut kerana mereka sudah dibela oleh seorang yang bertaraf mursyidul am!

Sepatutnya, Nik Abdul Aziz sebagai seorang ulama perlu objektif dalam membuat sesuatu ulasan. Tidak ada dalam mana-mana ayat Al-Qur’an atau Hadis yang menyatakan bahawa seseorang Islam, apatah lagi bertaraf pemimpin dan ulama, dibenarkan membuat kenyataan atau menyokong kepada perkara yang boleh mencetuskan kemungkaran dan kemusnahan.

Bukannya Nik Abdul Aziz sebagai ulama tidak memahami bahawa Allah akan membela dan menolong pendokong perubahan kerana Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan dan menegakkan kebaikan dan membenci kerosakan dan pendokong kerosakan. Allah SWT telah memberi peringatan ini melalui firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 251 yang bermaksud:

Seandainya Allah tidak menolak (keganasan) sebahagian umat manusia dengan sebahagian yang lain, pasti rosaklah bumi ini. Tetapi Allah mempunyai kurnia (yang dicurahkan) atas semesta alam”.

Apa pun, kita memahami kenapa Nik Abdul Aziz begitu menyokong perhimpunan Bersih biar pun ia jelas-jelas membawa kerosakan dan mencetuskan keganasan, segalanya kerana politik.

Atas sebab kepentingan politiklah maka Nik Abdul Aziz bersedia membuat kenyataan-kenyataan kontroversi biar pun ia hakikat merimas dan memualkan kita.

Tetapi apa hendak buat, Nik Abdul Aziz samalah juga seperti pemimpin PAS yang lain sudah dibuai dengan keghairahan untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dan menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

Oleh itu, biar pun kita berasa kesal dengan kenyataan-kenyataan beliau, namun kita tidak mampu berbuat apa-apa kerana di dalam PAS tiada siapa yang akan menegur beliau biar pun di dalam parti itu ada Dewan Ulama.

Apa pun kita percaya, kenyataan Nik Abdul Aziz tidak akan membawa apa-apa keuntungan kepada parti itu, sebaliknya hanya menampakkan Menteri Besar Kelantan semakin tidak relevan untuk menjadi ulama yang harus dihormati oleh kawan dan lawan.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam media arus perdana online, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tarikh 4hb May 2012. Ianya dapat juga dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 6 Mei 2012].

Zulkiflee Bakar ialah wartawan daripada akhbar Utusan Malaysia di Kuala Lumpur. Bagi urusan sebarang akademik, beliau boleh dihubungi dengan alamat emel: pengarang@utusan.com.my

SHARE

2 COMMENTS

  1. Betul pendapatnya Clifford Geertz bahwa seorang ulama atau kyai itu memainkan peran sebagai “broker budaya” antara masyarakat yang dipimpinnya dengan dunia luar, termasuk dengan pemerintah. Ulama atau kyai sekelas Abdul Aziz Nik Mat dari Kelantan, Malaysia, telah memainkan peran yang signifikan. Betapapun beliau sebagai seorang Menteri Besar, atau setingkat Gubernur di Indonesia, sikap beliau tetap kritis dan oposisional kepada pemerintah pusat di Malaysia yang dipimpin oleh PM Datuk Seri Najib Razaq. Di Indonesia, saya kira, belum ada ulama atau kyai yang jadi Gubernur seperti Abdul Aziz Nik Mat. Selamat pak Kyai, semoga Negeri Kelantan benar-benar menjadi Darul Makmur.

  2. Di Malaysia, seorang Kyai bisa menjadi Menteri Besar atau Gubernur ti tingkat Negeri atau Provinsi. Di Indonesia lebih hebat lagi, seorang Kyai bisa menjadi Presiden, yaitu Kyai Haji Abdurahman Wahid, almarhum, alias GUS DUR.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here