“Kerja Sia-sia” di Dataran Merdeka

3
604

Oleh: Zulkifli Jalil & Termizi Che Anuar

Melalui Dataran Merdeka, Jumaat lepas (20/4//2012), kami tiba-tiba tertarik melihat beberapa khemah yang didirikan di hujung dataran, berdekatan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Teringin menyelami rintihan pembantah-pembantah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ini, lantas menarik kami meletakkan kereta di bangunan Daya Bumi menuju ke sana.

Tidak ramai kalangan para pembantah ini. Cuma kira-kira 20 orang. Tambah memeranjatkan kami, pelajar cuma beberapa kerat. Yang banyaknya adalah kumpulan dewasa, termasuklah beberapa individu yang berusia sekitar 60 tahun – lebih layak digelar warga emas.

Apa yang dibuat mereka di sini? Meninjau-ninjau sebentar, ternampaklah kelibat Adam Adli Abdul Halim, “hero kampus” kononnya. Mukanya sembab, mata merah … tidak cukup tidur barangkali. Apabila ditujah soalan oleh salah seorang daripada kami tentang hasil yang mereka boleh dapat daripada pemansuhan PTPTN ini, Adam yang telah digantung pengajian dari UPSI (Universiti Pendidikan Sultan Idris) ini enggan bersuara.

Dia seakan-akan cuak dengan kami. Dia memberi alasan “banyak kerja” dengan sibuk menyusun botol-botol minuman yang sebenarnya telah pun tersusun dengan elok di tepi sebuah khemah.

Memerhatikan sekeliling, keadaannya kotor sekali. Bekas-bekas bungkusan polistren makanan berselerakan. Kata mereka, bila waktu mandi, turunlah ke tandas di bawah Dataran Merdeka.

Hampir sejam di situ, kami mula berasa tidak selesa. Cuaca pula panas terik. Kelihatan di situ, beberapa pelajar bebas bergaul antara lelaki dan perempuan. Seorang gadis pula tanpa segan silu merokok menjadikan keadaan lebih “memualkan”.

Jumlah anggota kumpulan dari kalangan kaum Cina ketika itu lebih ramai berbanding Melayu. Tidak kelihatan pun pelajar atau orang dewasa kaum India.

Tertanya-tanya kami, siapa agaknya dalang di sebalik khemah-khemah itu sehingga ada mahasiswa yang sanggup berpanas dan berhujan, sedangkan rakan-rakan sebaya mereka sedang bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran bagi menghabiskan pengajian?

Sudah tentu tidak menghairankan kebanyakan mereka di situ merupakan mahasiswa yang mendapat keputusan rendah atau corot. Sedang memerhatikan lagi gelagat mereka, salah seorang pelajar memperkenalkan diri sebagai Din dari UPSI memberitahu bahawa mereka sendiri tidak tahu sampai bila akan berada di Dataran Merdeka.

”Kita akan berada di sini sampai sudah bosan. Bila dah bosan, kita balik. Duduk lama-lama pun tak guna dan memenatkan sebab panas, lebih-lebih lagi kalau duduk di dalam khemah waktu tengah hari”, katanya.

Seorang lelaki dalam usia 60-an yang katanya dari Melaka memberitahu kami: ”Ah, hapuskan sahaja PTPTN, duit Petronas kan ada”.

Lelaki ini dalam aksinya berjubah hijau, seolah-olah menjadi pengawal di situ yang turut menimbulkan tanda tanya daripada orang ramai yang lalu lalang, kerana dia bukannya muda lagi.

Kami kemudian meninggalkan Dataran Merdeka menuju ke masjid berdekatan. Dan kelmarin, kami dikhabarkan bahawa Dataran Merdeka tidak ada lagi kelibat kumpulan terbabit.

Syabas diucapkan kepada pasukan penguat kuasa DBKL (Dewan Bandaraya Kuala Lumpur) yang begitu tegas menanggalkan khemah-khemah pelajar dan kumpulan terbabit.

Sebenarnya, kalau daripada pengamatan mata kasar, manfaat PTPTN banyak menguntungkan pelajar Melayu. Namun jika dikaji secara berfakta, faedahnya begitu mencurah-curah kepada pelajar bukan Melayu.

Ini kerana sehingga 29 Februari 2012 lalu, seramai 11,764 peminjam/penerima biaya PTPTN telah diluluskan pengecualian bayaran balik pinjaman / pembiayaan pendidikan kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama atau setaraf dengannya. Ia melibatkan jumlah pelupusan pembiayaan pendidikan sebanyak RM 339.07 juta.

Kalau dilihat rekod peminjam yang diluluskan pengecualian bayaran balik mengikut kaum setakat ini, sejumlah 2,347 orang adalah pelajar Melayu dengan amaun RM 47. 2 juta. Tetapi pelajar Cina, bilangannya ialah 8,818 orang dengan amaun pengecualian bayar balik PTPTN RM 274.2 juta. Inilah hakikatnya.

Rekod pelajar Cina di universiti ialah mereka fokus kepada pembelajaran. Mereka sedar harapan menggunung ibu bapa. Mereka tahu jika tak memperoleh CGPA yang baik, sukarlah untuk mencari kerja yang baik dan lumayan gajinya.

Pada awal 1990-an, pendidikan merupakan sesuatu yang “mahal” kerana pada era itu tidak ramai yang mampu untuk melanjutkan pengajian ke tahap tertinggi. Jika tidak ada biasiswa atau tajaan, harapan seseorang, khususnya orang Melayu dan bumiputera, untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi amat tipis sekali.

Kemudian apabila PTPTN ditubuhkan bagi memberikan pinjaman kepada semua kaum di negara ini, berduyun-duyunlah anak Malaysia tanpa mengira keturunan dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.

Bagi Pensyarah Perhubungan Antarabangsa, Sekolah Sains Sosial UMS (Universiti Malaysia Sabah), Prof. Madya. Dr. Mohd. Noor Yazid, Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan telah menjelaskan bagaimana Kerajaan Pusat perlu melindungi kepentingan kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia yang secara kumpulannya dirujuk sebagai bumiputera.

”Itu termasuklah kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam yang dalam hal biasiswa kepada bumiputera seperti sudah diliberalkan,” tegasnya.

Jelasnya, jika mahu memansuhkan PTPTN, ia bermakna setiap bumiputera perlu diberikan biasiswa sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan.

“Pada era Allahyarham (Perdana Menteri kedua) Tun Abdul Razak Hussein dulu, perkara itu telah dilaksanakan dan mungkin bagi memberi keadilan saksama kepada kaum-kaum lain, PTPTN diperkenalkan bagi memberi kemudahan pinjaman pengajian di peringkat universiti. Tapi malangnya, ada pihak cuba mempolitikkan isu ini”, katanya.

Meninggalkan Dataran Merdeka Jumaat lalu (20/4/2012), kami berkongsi pengalaman memikirkan apa sebenarnya matlamat segelintir pelajar terbabit menyuarakan bantahan terhadap PTPTN?

Kami pernah berada di universiti sekitar era 1990-an. Dan ketika itu kami memang “dahagakan” PTPTN – di sebalik kesedaran tinggi akan harapan menggunung ibu bapa yang hidupnya susah untuk melihat anaknya meraih segulung ijazah.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam akhbar online arus perdana, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 24hb April 2012. Ianya dapat dilayari pula di: www.utusan.com.my [diaskes di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 24 April 2012].

Zulkifli Jalil dan Termizi Che Anuar ialah wartawan daripada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur. Bagi urusan sebarang akademik, mereka boleh dihubungi dengan alamt emel: [email protected]

SHARE

3 COMMENTS

  1. Salam, pak Zulkifli dan Tarmizi. Rupanya para demonstran di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, itu terpengaruh oleh gaya para demonstran Indonesia. Tenang saja, gak usah risau, sebab para demonstran itu hanya mau cari sensasi agar bisa masuk TV dan diliput oleh surat kabar Anda. Ha3.

  2. I think the Malaysia’s mass media should aware that the process of democratization in around the world, including in Southeast Asian countries, is not going to be hindered. Let’s getting the history lesson from Indonesia when the students had conducted the demonstrations against Soeharto’s regime in 1998. Unfortunately that the reform movement in Malaysia was unsuccessfully history. Salam “Reformasi atau Mati”!!!

  3. Tak wujud yang sia-sia di alam ini. Sama ada awak mengamalkan tunjuk perasaan mahupun berdiam diri sahaja, itu pun tak sia-sia. Jom buat kerja kuat agar masa ni tak sia-sia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here