Mana Filem Biografi Tokoh Kita?

2
138

Oleh: Ku Seman Ku Hussain

Filem Iron Lady yang menyerlahkan lakonan Meryl Streep baru-baru ini adalah sebuah filem biografi. Istilah dalam filem disebut biopic atau biography pictures.

Filem biografi bukan dalam genre dokumentari walaupun menyingkap sejarah hidup seseorang tokoh, sama ada yang masih hidup atau telah meninggal dunia. Sebaliknya dalam sub-genre drama. Iron Lady satu contoh terbaru bagaimana riwayat hidup bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher.

Meryl Streep dalam filem arahan Phyllida Lloyd ini memperlihatkan dia bukan hanya menghafal dialog tetapi berupaya menyelongkar sisi terlindung watak Thatcher yang tidak pernah diketahui umum.

Tetapi filem ini bukanlah sejarah hidup, sebaliknya tafsiran terhadap hidup Thatcher. Banyak yang keliru apabila disebut “biografi” mulalah menganggap itu sejarah hidup tokoh.

Kita mempunyai banyak tokoh yang patut dikenang dan dijulang.

Menerusi filem biografi begini, sisi pemikirannya yang terlindung boleh dilihat oleh masyarakat selain cara pengarah memberikan tafsiran terhadap tokoh berkenaan.

Sebab itulah filem biografi tidak diletakkan bawah genre dokumentari. Filem biografi adalah sebuah drama yang menuntut tafsiran demi tafsiran.

Walaupun pada asasnya perjalanan cerita mengikut sejarah hidup tokoh berkenaan tetapi pengarah diberi kebebasan untuk membawa penonton melihat daripada sudut pandangan yang dimahukan. Sebab itulah lahirnya filem Nixon (1995) arahan Oliver Stone yang mempersenda Presiden Amerika Syarikat (AS) ke-37 itu penuh dengan skandal, termasuk Watergate. Filem Nixon adalah sisi bodoh Nixon dan Oliver Stone mempunyai lesen untuk melihat dari sudut itu.

Sebelum orang luar membuat filem biografi tokoh kita, eloklah kita sendiri yang menghasilkannya. Ini kerana sudut pandangan dan tafsiran adalah berbeza-beza, sebabnya ia bukan sejarah yang kaku.

Pengarah ada lesen kreatif kalau sememangnya mereka sengaja melihat tokoh kita dari sudut pandangan yang buruk.

Kita jangan jadi seperti orang India yang membiarkan Mahatma Gandhi dilihat daripada sudut pandangan pengarah Barat, Richard Attenborough, menerusi filem Gandhi (1982). Di mana pengarah-pengarah terhebat India? Mahatma Gandhi menjadi kecil dan serong dalam filem Gandhi.

Ironinya industri perfileman India adalah yang terbesar di dunia. Tetapi kerana tauke filem di sana materialistik dan tidak patriotik, tokoh mereka sehebat Mahatma Gandhi dibiarkan orang lain yang mengangkatnya.

Kita patut mengambil iktibar daripada perkara ini. Syarikat korporat, terutama yang berkaitan dengan kerajaan, patut memikirkan perkara ini kerana tauke filem tidak akan menggunakan duit sendiri untuk filem yang mereka labelkan sebagai “tidak laku” ini. Mereka ini lebih kurang tauke filem di India juga yang tidak patriotik.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam akhbar arus perdana online, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tarikh 16hb April 2012. Ianya dapat juga dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 17 April 2012].

Ku Seman Ku Hussain ialah penulis dan pemerhati alam perfileman di Malaysia.

SHARE

2 COMMENTS

  1. Mungkin bagus juga ya kalau dibuat film biografi antara Soekarno dengan Tengku Abdurahman Putra. Keduanya pernah bertengkar hebat pada tahun 1960-an. Soekarno bilang “ganyang Malaysia!” manakala Tengku bilang “Soekarno setakat cakap besar”. Baik juga dilatarbelakangi oleh sejarah persaingan antara Kerajaan Majapahit dengan Kesultanan Malaka, dan antara ambisi politik Nusantara dari Gajah Mada dengan kecerdikan siyasah dari Hang Tuah.

  2. Seronok pulak bila, sama ada kerajaan Malaysia mahupun kerajaan Indonesia, membuat film biografi Ibrahim Yaacob yang mahukan mewujudkan idea “Melayu Raya” atau “Indonesia Raya”. Tak kisah idea ini gagal diwujudkan, apa yang penting adalah iktibar dan mengenal pasti faktor-faktor punca daripada ketidakberjayaan. Salam 1Bangsa: Malaysia dan Indonesia adalah Bersaudara.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here