Demo untuk Pak Cangkung

4
106

Oleh: Hishamuddin Rais

Saya telah mengajukan slogan “Sebelum ke Pilihan Raya, Kita ke Jalan Raya”. Slogan ini pasti sarat dengan pelbagai persoalan. Pasti ramai pembaca akan bertanya: kenapa dan apa yang wujud di sebalik slogan ke jalan raya? Kali ini saya akan menyambung lagi tulisan tentang teori dan praktik politik jalan raya.

Para pembaca, anak-anak muda, dan bakal demonstran jangan tersilap faham. Jangan tersalah anggap. Tunjuk perasaan atau demonstrasi di jalan raya bukan untuk menjatuhkan kerajaan. Tidak ada kerajaan yang jatuh kerana demo di jalan raya. Sama juga, tidak ada kerajaan dalam negara dunia ketiga yang akan mengundur kerana pilihan raya.

Anggapan bahawa Shah Reza Pazhlevi di Iran jatuh kerana tunjuk perasaan adalah pembacaan politik yang salah. Suharto di Indonesia jatuh kerana tunjuk perasaan juga adalah salah. Memang betul, Ahmad Reza lari lintang-pukang ke Mesir apabila beratus ribu warga Iran turun ke jalan raya pada 1979 dahulu. Memang betul Suharto mengundur setelah anak muda dan mahasiswa Indonesia turun ke jalan raya pada 1998.

Sekali baca kelihatan apa yang saya tulis di atas agak songsang. Atau dalam bahasa Inggerisnya kenyataan saya ini oxymoron. Kenyataan saya ini bercanggah. Kenyataan saya berkontradiksi antara satu sama lain. Kenyataan ini berputar belit.

Justeru, kenyatan ini juga akan menimbulkan persoalan. Jika dengan politik jalan raya, rejim zalim tidak undur. Jika dengan politik pilihan raya juga rejim zalim tidak juga akan jatuh. Maka apa yang akan menjatuhkan kerajaan yang zalim seperti kerajaan UMNO (United Malays National Organisation) di Malaysia?

Politik dan Kuasa

Untuk memahami, pembaca wajib kembali memahami teori apa itu daulah. Memahami apa itu kuasa. Sekali lagi saya nyatakan bahawa politik ialah kuasa. Berpolitik bertujuan mendapat kuasa. Semua parti politik bercita-cita untuk mendapat kuasa. Kuasa wajib dimiliki kerana sesiapa yang memiliki kuasa akan berhak ke atas harta kekayaan sesebuah negara.

Contohnya, di Selangor dan Pulau Pinang, di bawah pentabiran Pakatan Rakyat, kerajaan Pakatan akan menentukan siapa dapat projek dan siap mendapat dana. Jelas, di belakang kuasa ialah ekonomi. Ekonomi menjadi asas utama untuk politik dan kuasa. Politik, kuasa, dan ekonomi tidak dapat dipisah-pisahkan.

Tetapi awas dan wasapada! Ada satu lagi yang akan mengikat ketat politik, kuasa, dan ekonomi. Perkara ini jarang timbul. Perkara ini amat jarang digarap. Di Malaysia, ia tenggelam seolah-olah ia tidak wujud. Tetapi hakikatnya perkara ini amat penting, iaitu kelas.

Kelaslah yang mengikat dan menyimpai politik, kuasa, dan ekonomi. Jika kelas begitu penting, kenapa ia tidak sering dibincangkan? Kenapa kelas tidak menjadi agenda induk perjuangan politik? Jawabnya cukup senang. Agenda kelas dalam politik dan ekonomi sengaja dipadam kerana ini adalah salah satu taktik dan strategi untuk membodohkan orang ramai. Warga yang memiliki kesedaran kelas adalah warga yang tidak dapat dibodohkan.

Kesedaran Kelas

Sebagai ganti, agar orang ramai tidak memiliki kesedaran kelas, telah disorong dan didorong agenda bangsa, agama, bahasa, raja, dan pelbagai sampah yang tidak fundamental. Jangan tersilap faham, munculnya agenda sampah yang tidak fundamental ini adalah hasil dari perancangan licik dari kelas yang berkuasa.

Kelas yang berkuasa adalah kelas yang memiliki harta kekayaan. Kelas ini juga mendominasi politik. Kelas yang berkuasa ini sengaja menganjurkan agenda bangsa, agama, dan raja untuk mengalih dan memadamkan kesedaran kelas orang ramai. Orang ramai tidak mahu disedarkan bahawa musuh yang hakiki ialah kelas yang berkuasa. Kelas yang berkuasa ialah kelas yang memiliki harta kekayaan negara.

Dalam negara yang mengamal sistem ekonomi kapitalis, kelas yang berkuasa ialah kuam pemodal – cukong. Kelas pemodal ini memiliki harta dan kekayaan. Dengan harta dan kekayaan ini mereka memiliki kuasa. Kaum pemodal dengan duit dan harta kekayaan dapat membeli politikus. Ini hakikat politik dalam negara kita.

Untuk menyakinkan lagi hujah ini, biar saya buktikan dengan politik Amerika Syarikat. Dari statistik Urban Institute, kita diberitahu bahawa 3.5 juta warga Amerika tidak berumah dan tidur merempat. Angka ini ialah 1 peratus dari jumlah penduduk Amerika. Di New York, ada 37,000 warga tidur merempat, termasuk 16,000 kanak-kanak. Ini statistik rasmi kerajaan.

Tetapi apa agenda Presiden Obama? Barack Obama, yang mewakili kelas berkuasa, mengajak dunia bersama melawan keganasan dengan dasar war on terror. Obama mengajukan perang ke atas Iraq dan Afghanistan. Obama berpropaganda bahawa dunia diancam oleh Iran dan Korea Utara. Dunia hari ini, mengikut propaganda Obama, sedang diancam oleh gerakan fundamentalis Islam.

Ini sama seperti agenda UMNO (United Malays National Organisation) yang berpropaganda bahawa orang Melayu akan hilang kuasa politik. Bahawa Raja-raja Melayu akan hilang kuasa. Bahawa agama orang Melayu akan hilang. Semua ini kerana wujudnya Pakatan Rakyat. Justeru, Pakatan dipropaganda sebagai musuh utama.

Kelas Berkuasa Perbodoh Rakyat

Jelas, taktik kelas yang berkuasa di Amerika Syarikat dan di Malaysia adalah sama. Untuk meneruskan kuasa, kelas berkuasa wajib menipu dan membodohkan rakyat. Proses ini berjalan serentak. Warga yang bodoh senang ditipu oleh kelas yang berkuasa. Mereka membodohkan orang ramai agar mereka akan terus berkuasa. Kenapa mereka ini gila untuk terus mengekalkan kuasa?

Ha! Ha! UMNO (United Malays National Organisation) ingin terus berkuasa hingga dunia kiamat, kerana di belakang kuasa ini ada berbilion-bilion Ringgit harta karun. Semua ini adalah harta kekayaan negara. Harta inilah yang dipertahankan oleh kelas ini.

Bagaimana semua ini berhubung kait dengan politik jalan raya dan politik pilihan raya? Memang ada hubungan rapat antara kelas dengan politik jalan raya. Kita percaya, jika pilihan raya dijalankan sekarang tanpa dibaiki, jika 8 tuntutan Bersih tidak ditunaikan, maka PRU (Pilihan Raya Umum) 13 ini adalah pilihan raya tipu. Justeru, kerana tidak mahu jadi bodoh dan ditipu, kita turun ke jalan raya.

Apabila beribu-ribu rakyat mengampoh bergerak di jalan raya, maka ombak ini akan mempengaruhi bakal pengundi yang tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sayugia diingatkan, bahawa kumpulan tengah – Pak Cangkung – lebih ramai dari penyokong tegar gerombolan UMNO (United Malays National Organisation) dan Pakatan Rakyat.

Bangkit Kesedaran Golongan “Atas Pagar”

Justeru, demo jalan raya ini dituju khusus kepada mereka yang masih mencangkung atas pagar. Apabila Pak Cangkung melihat ratusan ribu rakyat keluar di jalan raya, pasti mereka akan terpengaruh. Apabila mereka lihat imej, apabila lihat gambar, atau klip di Youtube – lautan manusia berdemo – hati kesedaran mereka akan terusik. Imej tunjuk perasaan ini dengan spontan menjadi guru yang mendidik mereka.

Pak Cangkung sebenarnya adalah kumpulan opurtunis. Mereka dikatakan tidak menyebelahi mana-mana pihak. Sifat dan watak opurtunis ialah mereka akan memaksa untuk bersama dengan kumpulan yang menang. Mereka tidak mahu dilihat dalam kumpulan kalah. Mereka tidak ingin dilihat ketinggalan. Mereka tidak ingin terkontang-kanting keseorangan. Justeru angka dan jumlah warga yang turun ke jalan raya ini amat penting. Lebih besar ombak di jalan raya, maka lebih banyak undi Pak Cangkung yang dimenangi.

Harus disedari bahawa kita juga diperhatikan oleh satu lagi kumpulan. Kumpulan ini amat penting tetapi mereka tidak muncul di khalayak umum. Mereka inilah kaum pemodal besar dan cukong. Vincent Tan, Ananda Krishnan, Syed Mokhtar, Daim Zainuddin, Lim Kok Thay, Yeoh Tiong Lay, ketika ini adalah kuasa di belakang UMNO (United Malays National Organisation). Duit dan harta kekayaan mereka yang menaja politikus.

Ketika ini, para cukong melihat bahawa gerombolan yang mereka sokong masih boleh diyakini. Tetapi apabila ribuan rakyat mula turun ke jalan raya – sama seperti Pak Cangkung – cukong ini juga berwatak opurtunis. Mereka juga tidak ingin dilihat dalam tim yang kalah. Jika cukong ini mengalihkan sokongan kerana takut melihat ombak rakyat di jalan raya, maka inilah tanda hari-hari akhir UMNO (United Malays National Ornagisation).

Di belakang semua ini, ada satu lagi kumpulan yang memerhatikan politik jalan raya. Mereka ini halimunan tetapi paling berkuasa. Mereka ini mewakili kepentingan ekonomi dan politik kuasa imperial Anglo-Amerika. Sama seperti cukong tempatan, kaum pemodal antarabangsa ini mahu perniagaan dan pelaburan mereka mendapat keuntungan maksimum.

Mereka memiliki kuasa untuk menurun dan menaikkan politikus di seluruh dunia. Politikus yang mereka naikkan akan memberi laba kepada pelaburan mereka. Politikus yang menghalang keuntungan mereka akan dijatuh dan diketepikan. Kuasa imperial Anglo-Amerika sedang memerhati berapa ratus ribu warga Malaysia yang akan keluar demo Bersih 3.0 nanti. Jumlah yang keluar berdemo amat penting untuk mempengaruhi mereka membuat keputusan siapa yang sebenarnya layak berkuasa di Malaysia.

Shah Iran dan Suharto jatuh bukan kerana penunjuk perasaan. Mereka jatuh kerana kuasa imperial Anglo-Amerika membuat keputusan untuk tidak lagi menyokong mereka. Keputusan ini dibuat setelah melihat ribuan rakyat turun ke jalan raya. Jumlah yang berdemo ini menyakinkan Rumah Putih bahawa anak luar nikah CIA ini patut dihumbankan sebelum rakyat memiliki kesedaran kelas.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam media pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Ianya dapat dilayari di: www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 11 April 2012].

Hishamuddin Rais ialah aktivis sosial dan penulis prolifik di Malaysia. Beliau adalah pendokong parti pembangkang, Pakatan Rakyat, yang diterajui oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau pula sangat anti kerajaan yang dalam politik kontemporari Malaysia diterajui oleh Datuk Seri Najib Razak selaku PM (Perdana Menteri) Malaysia dan Presiden UMNO (United Malays National Organization).

SHARE

4 COMMENTS

    • Hallo Khairi Jamaluddin. Saya kira ASPENSI itu sikapnya netral dan objektif. ASPENSI sering juga memuat berita dan opini yang sumbernya dari “Utusan Malaysia” di: http://www.utusan.com.my sebagai media milik pemerintah Malaysia.

      Jadi, pengurus ASPENSI tidak ada hubungan apa-apa dengan Anwar Ibrahim. Tapi memang ada hubungan sedikit, yaitu kakeknya Anwar Ibrahim dengan kakeknya Pengurus ASPENSI adalah kakek-kakek. He he he. Salam 1Bangsa: Indonesia Raya dan Melayu Raya!!!

  1. Pak Hisham, apa bedanya antara “Pak Cangkung” dengan “Profesor Kangkung” di Malaysia? Saya gak mengerti. Salam hormat.

    • Yth Sule Tea: Prof. Kangkung di Malaysia itu sama dengan GBHN di Indonesia. GBHN itu artinya Guru Besar Hanya Nama, karena selama jadi Profesor tidak ada karya ilmiahnya, sementara tunjangan Profesor terus dapat. Prikitiw, jadol sugan mah!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here