Fitnah Media BN Tak Pernah Berubah

1
89

Oleh: Wira Rakyat

Tidak banyak perbezaan media massa di negara ini mengendalikan maklumat sejak merdeka pada 1957. Hanya peralatan bekerja yang berubah. Daripada zaman mesin taip dan kamera analog kepada perkakasan multimedia serba canggih.

Wartawan penyiaran era sebelum merdeka tidak mungkin mampu mengoperasikan setiap sesuatu yang dimiliki di studio stesen televisyen moden. Manakala wartawan akhbar generasi Pak Sako tidak berupaya menulis berita sekiranya masuk ke bilik berita suratkhabar masakini yang serba canggih.

Gambar PM (Perdana Menteri) Najib Razak dan media arus perdana di Malaysia.

Kelayakan wartawan juga berubah. Jika pada 1950-an, kewartawanan dianggap tidak boleh dilatih sebaliknya bakat semula jadi. Kini wartawan datang dari universiti terbaik dalam dan luar negara. Tidak menghairankan jika wartawan dan editor di Utusan Malaysia, Berita Harian, The Star, dan sebagainya pulang dari Amerika Syarikat, United Kingdom atau Australia. Negara yang terkenal dengan kebebasan media.

Berat Sebelah

Namun begitu, mengapakah wujud berita berat sebelah yang amat menyakitkan hati warganegara Malaysia? Di Kelantan berita paling kerap disiarkan stesen televisyen ialah perampasan tanah. Kononnya rampasan berlaku di banyak daerah, terutama di Gua Musang. Anak syarikat kerajaan negeri mengambil alih tanah-tanah milik rakyat yang telah ditanam kelapa sawit, getah serta pohon buah-buahan untuk dijadikan ladang komersial.

Setiap bulan rakyat Kelantan menunjuk perasaan membantah perampasan itu. Kaum wanita menangis meminta simpati. Sekiranya rakyat menekuni slot Berita Perdana TV1, sejak Kelantan diperintah PAS (Parti Al-Islam se Malaysia) pada 1990 maka telah berlaku perampasan tanah seluas ribuan hektar. Cuma yang menjadi tanda tanya, mengapakah tidak ada satu pun kes rampasan tersebut difailkan di mahkamah?

Gambar tunjuk perasaan di KL Malaysia.

Hakikatnya, hampir mustahil untuk menyaman kerajaan negeri kerana tanah-tanah yang diambil itu hanya memiliki lesen menduduki sementara (TOL) malah sesetengahnya tidak langsung memiliki apa-apa dokumen. Dalam undang-undang, tanah tanpa geran hak milik kekal adalah milik kerajaan. Rakyat boleh bercucuk tanam selagi mana kerajaan tidak menggunakannya. Justeru itu, untuk apakah stesen tv memperbesarkan isu rampasan tanah jika mereka menjunjung etika kewartawanan?

Di Selangor, berita yang paling banyak dilaporkan ialah rasuah di kalangan Exco, ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri), dan Ahli Majlis Tempatan. Setiap bulan ada sahaja berita yang dikaitkan dengan penyelewengan pentadbiran kerajaan negeri. Bahkan, bahan buangan seperti sampah pun cuba dikaitkan dengan gejala rasuah. Apatah lagi perniagaan perlombongan pasir.

Isu skandal pasir yang didedahkan oleh Raja Petra Kamarudin dimainkan berminggu-minggu lamanya. Kononnya skandal itu melibatkan pembunuhan. Mereka terlupa pembunuhan hanya berlaku sekiranya BN (Barisan Nasional) terlibat. Pemimpin PR (Pakatan Rakyat) tidak sinonim dengan kaedah penyelesaian mengambil nyawa orang lain. Skandal BMF membabitkan kroni UMNO (United Malays National Organization) menatijahkan pembunuhan pegawai penyiasat Malaysia di Hong Kong, skandal kapal selam Scopene menyebabkan Altantuya Sharibuu dibom di Shah Alam.

Faktanya, syarikat yang dituduh berniaga pasir itu menjalankan operasi perladangan kelapa sawit. Mengapakah wartawan tidak melakukan penyelidikan sebelum mendedahkan berita?

Wartawan Alternatif

Hal inilah yang menimbulkan kecemburuan di kalangan wartawan media alternatif; laman web bebas mahu pun akhbar parti pembangkang. Wartawan di sana terpaksa bekerja keras menyelidiki fakta. Editor akan memaki hamun seadainya maklumat yang disiar tidak berasas, apatah lagi direka-reka.

Sedangkan wartawan media arus perdana yang kualiti kelayakan akademik mereka jauh lebih tinggi tidak perlu berpegang kepada disiplin serupa. Editor pula dibenar mengubahsuai berita secara bebas. “Tak rela diliwat lagi” tajuk depan sebuah akhbar pro-UMNO suatu ketika dahulu. Selepas Anwar Ibrahim dibebaskan pada 9 Januari 2012 mereka membina tajuk, Anwar Ibrahim ingin menghapuskan undang-undang anti homoseksual.

Gambar Anwar Ibrahim dan pengawal peribadinya dalam sebuah tunjuk perasaan.

Wartawan dan editor media alternatif tidak dibenar menyiarkan perkataan seumpama itu. Malah ketika pengawal peribadi Anwar, Fayyad Afiq Albakqry ditembak kanister gas pemedih mata dan gambar pipinya yang remuk disiarkan oleh Suara Keadilan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memanggil jurugambar akhbar itu untuk disiasat atas tuduhan memalsukan gambar. Kononnya Fayad tidak cedera. Gambar tersebut diubahsuai.

Tulisan mendakwa kanister pemedih mata yang digunakan polis dalam menyuraikan peserta Bersih 2.0 sama seperti digunakan polis Israel menyebabkan wartawan disiasat di bawah Akta Hasutan. Wartawan yang berbekalkan fakta paling tepat sewenang-wenangnya dipersalahkan. Namun hal itu tidak berlaku ke atas media arus perdana.

Tidak menjadi kesalahan sekiranya mereka menggesa orang Melayu mengangkat parang mempertahankan hak daripada dirampas etnik Cina. Paling kuat, kerajaan mengeluarkan surat amaran. Oleh itu, wartawan tidak takut dengan sebarang akta, asalkan berita tersebut menguntungkan BN (Barisan Nasional) maka ia kebal daripada tindakan undang-undang.

Tindakan lain yang boleh dilakukan ke atas mereka adalah saman malu oleh individu yang dirugikan. Namun saman sekiranya bersalah bukan dibayar oleh wartawan, sebaliknya syarikat media. Syarikat media arus perdana beberapa kali hampir gulung tikar pada hujung 1990-an dan awal 2000. Mereka diselamatkan mengunakan dana dari parti politik yang menjadi pemilik saham terbesar. Maka, rakyat sedia maklum dari sumber manakah media ini membayar saman bernilai jutaan ringgit.

Rasuah Media

Wartawan media arus perdana juga sering didampingi pemimpin politik. Sekiranya pemimpin tertentu ingin bertanding jawatan parti atau ketika menghadapi pilihanraya, waktu itulah lubuk emas bagi para wartawan politik. Mereka akan dijamu makan dan diberi hadiah sewaktu membuat liputan. Wang saku beberapa ratus ringgit adalah perkara biasa. Malah ada yang dihantar bercuti keluar negara.

Gambar masalah rasuah di Malaysia.

Sedangkan wartawan media alternatif tidak diperlakukan sedemikian. Pemimpin Pakatan Rakyat tidak digalakkan mempunyai hubungan rapat dengan wartawan. Hanya 10 peratus wartawan media alternatif dikenali oleh pemimpin parti. Bukan perkara lucu jika mereka tersalah sangka wartawan media parti adalah wartawan arus perdana. Juga perkara biasa pemimpin enggan menjawab soalan kerana tidak kenal seseorang wartawan. Dengan itu rasuah mustahil terjadi.

Akibat keterlaluan terdedah dengan gejala rasuah, maka timbul satu sindrom di kalangan para wartawan dan editor media arus perdana mengampu untuk mendapat sebanyak mungkin habuan. Pada ketikanya mereka “membunuh” musuh politik lebih kejam daripada para pemimpin BN sendiri.

Sebab itu media di Malaysia mengalami keruntuhan etika yang parah. Wartawan di negara ini mungkin setaraf rakan sejawatan di negara komunis yang terkongkong. Demokrasi media hanya dibenar dipraktikkan di dalam rancangan gosip artis. Hanya program gosip membenarkan kedua-dua belah pihak berdebat dikaca TV secara telus.

Sedarlah para wartawan, setiap perkara yang dilaporkan akan menjadi beban fikiran kepada generasi akan datang. Sekiranya remaja dibekalkan berita lucah dan fitnah maka mereka akan membesar menjadi penzina dan pendusta.

Jangan jadikan pemimpin BN (Barisan Nasional) sebagai contoh, mereka meluluskan kelab hiburan yang dijadikan sarang aktiviti gay di Bukit Bintang kemudian menuduh PR (Pakatan Rakyat) mahu merubah undang-undang seksualiti. Pihak yang meluluskan lebih mulia daripada pihak yang menegur. Kelihatannya, “nilai gila” inilah yang cuba disemai oleh para editor media arus perdana.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan oleh media online milik pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Ianya dapat dilayari juga di: www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 3 April 2012].

Wira Rakyat ialah nama alias atau nama samaran, yang dalam Bahasa Indonesia bermakna “Pahlawan Masyarakat”.

SHARE

1 COMMENT

  1. Sememangnya, sejarah akhbar di Malaysia berbeza dengan di Indonesia. Bila di Indonesia wujud akhbar-akhbar milik persendirian yang bebas sama ada akhbar “Merdeka” (Jakarta) dan “Kedaulatan Rakyat” (Yogyakarta) selepas merdeka tahun 1940-an; akhbar “Pedoman” (Jakarta) dan “Indonesia Raya” (Jakarta) pada tahun 1950/1960-an mahupun akhbar “Kompas” (Jakarta), “Suara Merdeka” (Semarang), “Jawa Pos” (Surabaya), dan “Waspada” (Medan) pada masa kerajaan Orde Baru sehingga kini.

    Justru, akhbar milik parti GOLKAR macam “Suara Karya” dan akhbar milik tentera pada masa Orde Baru macam “Angkatan Bersenjata” atau “Berita Yudha” tewas dalam bersaing dengan akhbar-akhbar yang bebas seperti disebut di atas.

    Saya tengok banyak akhbar di Malaysia yang milik dan kerananya dikawal penuh oleh kerajaan. Ini adalah satu fenomena yang kurang sihat bagi kehidupan demokrasi sesebuah negara-bangsa.

    Natijahnya, bila nak tengok akhbar yang bebas dan berdikari, jom kita banyak belajar dan ambil iktibar daripada sejarah akhbar di Indonesia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here