Ke Jalan Raya Sebelum Pilihan Raya

6
120

Oleh: Hishamuddin Rais

Minggu lalu saya telah menjadi saksi di Mahkamah Tinggi Jalan Duta. Ini kes 6 Reformis menyaman Ketua Polis Negara (KPN), Norian Mai. Saya salah seorang dari 6 Reformis yang menyaman Norian Mai. Bekas Ketua Polis Negara ini memfitnah dan membuat onar terhadap para Reformis.

Pada 10 April 2001, ketika Norian Mai berkuasa sebagai KPN, dia menangkap 10 orang Reformis. Para Reformis ditangkap dengan tuduhan merancang untuk menggulingkan kerajaan. Keesokan hari, 11 April 2001, Norian Mai membuat sidang akhbar. Pada 12 April 2001, semua akhbar membuat laporan sidang akhbar KPN ini. Para Reformis dituduh memiliki rocket launcher, ball bearing, dan bom molotov.

Tetapi bukan ini yang ingin saya tulis. Apa yang saya lakarkan ialah politik di belakang penangkapan ini. Dan apa dia pencerahan realpolitik terhadap kes ini. Untuk pencerahan, saya ingin memberitahu pembaca, terutama anak muda, harus sedar dan faham bahawa bukan satu kesalahan untuk menggulingkan kerajaan. Jangan kita ditakut-takutkan apabila mendengar perkataan: ingin menggulingkan kerajaan.

Parti DAP (Democrary Action People) atau KEADILAN atau PAS (Parti Al-Islam se Malaysia) semua bertungkus-lumus siang malam bekerja untuk menggulingkan kerajaan Barisan Nasional. Mahfuz Omar ingin guling kerajaan. Dr. Dzulkefly ingin guling kerajaan. Tian Chua ingin guling kerajaan. Tony Pua ingin guling kerajaan. Nurul Izzah ingin guling kerajaan. Malah, setiap malam mereka ke hulu ke hilir berceramah dan “menghasut” orang ramai untuk menggulingkan kerajaan.

Nik Aziz berjaya menggulingkan kerajaan di Kelantan. Lim Guan Eng berjaya gulingkan kerajaan di Pulau Pinang. Khalid Ibrahim berjaya gulingkan kerajaan di Selangor. Nizar Jamaluddin berjaya gulingkan kerajaan di Perak, tetapi dirampas kembali. Ini bukti bahawa menggulingkan kerajaan bukan kesalahan.

Sekali lagi saya ingatkan, jangan sesekali kita ditakut-takutkan dengan perkataan “menghasut”. Ceramah yang disusun Pakatan Rakyat bertujuan memberi maklumat kepada orang ramai. Ia bertujuan menyedarkan orang ramai agar menolak kerajaan UMNO (United Malays National Organisation) dan menggantikan dengan kerajaan Pakatan Rakyat. Ini bermakna ceramah itu bertujuan menghasut orang ramai agar bangun menggulingkan kerajaan UMNO.

Menghasut Melawan Kezaliman Bukan Kesalahan

Jika kurang faham, biar saya cerahkan lagi makna “menghasut”. Utusan Malaysia, akhbar milik UMNO (United Malays National Organisation) setiap hari kerjanya ialah menghasut. TV3 juga milik gerombolan UMNO, kerjanya setiap saat menghasut. Iklan kasut baru dan iklan coli ketat Minah Cun yang terpampang di tepi jalan di belakang Mid Valley itu juga bertujuan menghasut.

Utusan Malaysia dan TV3 menghasut rakyat untuk membenci dan menolak kerajaan Pakatan Rakyat. Utusan dan Tv3 menghasut rakyat untuk menyokong kezaliman yang dijalankan UMNO. Begitu juga dengan iklan “kasut dan coli Minah Cun”. Iklan ini juga bertujuan menghasut orang ramai menjadi pembeli.

Justeru, menghasut bukan kesalahan. Malah menghasut rakyat untuk bangun menggulingkan kerajaan adalah tugas suci setiap warga Malaysia yang memiliki akal dan fikiran. Ketika saya ditangkap bawah ISA (Internal Security Act) pada 10 April 2001 dahulu, alasan tuduhan ialah: saya menghasut rakyat untuk turun ke jalan raya. Atau dalam bahasa cool: saya berceramah untuk hasut rakyat turun berdemo. Saya tidak pernah menafikan ini.

Malah, bukan sahaja dalam ceramah saya menghasut rakyat agar turun berdemo. Saya juga membuat teater untuk menghasut orang ramai untuk membenci Mahathir Mohamad dan UMNO.

Saya juga berkali-kali menulis untuk menerangkan orang ramai tentang politik jalan raya. Tulisan saya melakar kembali persejarahan politik Filipina dan Jakarta di mana ditaktor Marcos dan ditaktor Haji Muhamad Suharto, digulingkan oleh ombak rakyat yang turun ke jalan raya.

Malah saya juga, ketika itu di Pakistan, terlibat sama berdemo untuk menjatuhkan kerajaan zalim Shah Reza Pahlavi di Tehran pada 1978. Untuk saya, semua ini bukan kesalahan. Untuk saya, ini satu tugas suci yang wajib saya lakukan sebagai manusia yang memiliki akal, fikrah, dan keintelektualan.

Turun ke Jalan Raya Hak Warganegara

Ahli falsafah Perancis bernama René Descartes (1596-1650) berkata: “Saya wujud, kerana saya berfikir”. Justeru saya pula berkata: “Saya menghasut, maka saya wujud”. Menghasut untuk gulingkan kerajaan zalim adalah wujudiah saya. Saya wujud dan amat bangga kerana saya menghasut orang ramai untuk bangun menentang gerombolan UMNO (United Malays National Organisation).

Untuk kerajaan dan rejim yang zalim, orang ramai turun ke jalan raya dilihat sebagai kesalahan. Di sini ingin saya jelaskan kepada warga Malaysia yang mungkin tidak sedar bahawa turun berkumpul ke jalan raya adalah hak sebagai warga negara. Hak ini ada tercatat dalam Artikel 10 Perlembagaan Malaysia. Justeru berkumpul dan berdemo adalah hak asasi kita.

Mari lihat sejarah tunjuk perasaan yang membawa hasil kebaikan. Pada 1998, satu gerakan ampuh ke jalan raya dimulakan Gerakan Reformasi. Gerakan ini ingin menghalau Mahathir Mohamad dari terus menjadi Perdana Menteri. Tanpa tunjuk perasaan yang menghasut orang ramai untuk mengutuk dan memburuk-burukkan Mahathir, pasti hari ini Perdana Menteri Malaysia masih lagi Mahathir Mohamad. Sahih demonstrasi yang dikatakan bukan budaya kita oleh Mahathir telah menumbangkan Mahathir sendiri.

Bukti sahih di mana demonstrasi membawa hasil positif terus terkumpul sebagai ilmu pengetahun. Ingati kembali para peguam yang turun berdemo di Putrajaya pada 27 September 2007. Ini dikuti dengan Himpunan Bersih yang pertama pada 10 November 2007. Beberapa minggu kemudian pada November 25, HINDRAF turun pula ke jalan raya.

Hasil mutlak dari semua tunjuk perasaan ini ialah kemenangan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya 8 Mac 2008. Tunjuk perasaan di jalan raya ialah tanda kemarahan rakyat. Apabila orang ramai turun ke jalan raya, para demonstran memperkasa diri mereka. Memperkasa diri ini, akhirnya diterjermah sebagai undi untuk Pakatan Rakyat.

Berdemo adalah Berbaloi

Sesiapa yang berani menolak hakikat bahawa demo jalan raya akan membawa kemenangan di peti undi, wajib diperiksa keupayaan otak mereka. Contoh terbaru di mana politik jalan raya membawa hasil positif ialah apabila 20,000 penunjuk perasaan keluar di Kuantan pada pagi 26 Febuari 2012 lalu. Para demonstran menentang kewujudan kilang nadi bumi Lynas.

Orang ramai diberi pencerahan tentang bahaya santau radioaktif yang akan dikeluarkan oleh kilang ini. Orang ramai juga dihasut oleh Himpunan Hijau untuk turun ke jalan raya. Hasilnya: pada petang sama, Najib Razak membuat kenyatan bahawa sisa-sisa santau radioaktif ini tidak akan disimpan di Gebeng. Kenyataan putar belit Najib ini bercanggah dengan kenyataan awal yang mengatakan bahawa sisa santau radioaktif ini selamat.

Justeru, terbukti, jika orang ramai tidak turun ke jalan raya, pasti Najib tidak akan bersuara. Tanpa demo penentangan, pasti warga di Gebeng akan disantau oleh radioaktif. Justeru, pencerahan yang ingin saya sebarkan ialah demonstrasi, tunjuk perasaan, dan politik jalan raya menjamin akan membawa hasil positif. Berdemo adalah berbaloi.

Ini bukan lagi teori. Ini bukan angan-angan. Ini adalah garis politik yang tepat. Ini pendekatan politik yang akan menghasilkan kemenangan untuk orang ramai. Pada ketika setiap hari kerajaan Pakatan Rakyat diserang, pemimpin Pakatan Rakyat diserang, hanya politik jalan raya sahaja yang akan memastikan kerajaan Pakatan Rakyat selamat. Politik jalan raya juga akan memastikan Pakatan Rakyat berjaya merangkul kemenangan baru.

Saya mengajukan politik jalan raya ini kerana saya memiliki bukti yang sahih. Ketika saya disoal siasat selama 60 hari di Bilik Sulit hingga ke Kamunting, perkara yang ditimbulkan berkali-kali oleh mukhabrat UMNO (United Malays National Organisation) ialah pandangan saya tentang demonstrasi.

Untuk saya cukup senang, jika musuh tidak suka perkara yang saya lakukan, maka ini bermakna apa yang saya lakukan itu tepat. Jika musuh saya tidak marah dan tidak menyerang saya, maka ini bermakna saya dan musuh telah sebati. Hukum politik ini tidak akan berubah-ubah hingga hari kiamat.

Demonstrasi membawa banyak hasil positif. Ini dibuktikan dengan betapa gentarnya Mahathir bila berdepan dengan rakyat yang bangun menunjuk perasaan. Najib Razak tahu dan sedar akan keupayaan politik jalan raya membawa perubahan. Justeru Najib dengan tergesa-gesa membuat akta baru sesudah tunjuk perasaan Bersih 2.0. Akta baru ini adalah percubaan Najib untuk meneruskan kuasa UMNO yang zalim.

Kalau dahulu saya menulis buku bertajuk: Pilihan Raya atau Pilihan Jalan Raya. Kali ini saya mengajukan slogan: “Ke jalan raya sebelum ke pilihan raya”.

===

Nota campur: Rencana ini pernah disiarkan dalam media online milik pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Ianya juga dapat dilayari di: www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 23 Maret 2012].

Hishamuddin Rais ialah aktivis sosial dan penulis prolifik di Malaysia. Beliau pernah dilabel oleh Sheryll Stothard selaku adventures of a trendy rebel di alam siber Malaysia. Kini beliau merupakan pendokong berat Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pakatan Rakyat, barisan pembangkang utama dalam alam politik kontemporari di Malaysia.

SHARE

6 COMMENTS

  1. Tuan, Rais yang dihormati. Anda kerap mendedahkan keburukan-keburukan politik kerajaan Malaysia kepada mana-mana negara luar. Dimana ke wujud nasionalisma dan patriotisma Anda?

    Bersubahat dengan kekuatan negara luar, sama ada pertubuhan rasmi mahupun bukan kerajaan (NGO), adalah satu kejahatan politik. Elok lah kerajaan Malaysia menggantung hak kerakyatan Anda hingga bila-bila masa.

    • Salam Telekung Malaysia: I nak tunjuk ajar kepada awak. Di mana2 negara yang melabel diri sebagai “demokrasi”, menulis dan mendedahkan sebuah rencana, sama ada berkecuali mahupun menghasut, adalah bebas tanpa kawalan oleh sesiapa pun juga. Ini tak wujud hubung-kaitnya dengan rasa nasionalisma dan patriotisma. Macam mana I nak sokong kerajaan yang rasuah, represif, dan tak telus dalam pentadbiran?

      Awak sememangnya menjadi ahli gerombolan UMNO sejak masih lagi belia. Awak kena sedar bahawa UMNO nak tewas dalam Pilihan Raya nanti, ditukar oleh PAKATAN RAKYAT. Bila kami dah berjaya menawan Putra Jaya, I nak hantar awak ke penjara dan dibui hingga awak mati.

  2. Saudari Telekung Malaysia. Kamu harus tau bahwa Hishamuddin RAIS itu masih saudaranya Amin RAIS di Indonesia. Orang-orang yang bernama RAIS memang biasa vokal dan kritis kalau bicara, termasuk pandangannya liberal dalam masalah agama. Lihat juga kasus Mad RAIS di Kuningan, Jawa Barat.

    Penjelasan ini datangnya dari Keluarga Besar MARA (Majelis Amanat RAIS) di Asia Tenggara.

  3. Melihat foto Hishamuddin Rais dari Malaysia seperti wajahnya Acil Bimbo di Bandung, atau bang Zulkabir di UPI Bandung. He3.

    • @ Kembar Siam: Setuju dengan komentar Anda. Hati2 bang Zul, jangan2 kalau pergi ke Malaysia nanti dicekal, disangkanya Hishamuddin Rais.

  4. I have no interested in with Hishamudin Rais’ opinion. He is really a provocateur and traitor for Malaysian government.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here