Nakba dan Malapetaka

3
107

Oleh: Isham Rais

Setiap tahun pada 15 Mei, warga Palestin akan menyambut Nakba. Tarikh ini bukan disambut dengan pesta-pestaan. Tarikh Nakba ini, 15 Mei 1948, adalah tarikh entiti yang dipanggil Israel telah dipacakkan ke atas bumi Arab. Justeru pada tarikh ini, warga Palestin di seluruh dunia akan mengingati kembali hari musibah ini.

Semenjak 15 Mei 1948, warga Palestin berhadapan dengan segala macam kesengsaraan. Tanah mereka dirampas. Rumah mereka diroboh. Mereka kehilangan harta benda. Kehilangan hak demokrasi. Kehilangan kampung halaman. Rakyat Palestin diserang, dibunuh, dan dihalau dari kampung halaman. Sesiapa yang berani melawan akan dipenjara.

Nakba 15 Mei adalah malapetaka untuk warga Palestin. Nakba 31 Ogos adalah malapetaka untuk Semenanjung Tanah Melayu. Nakba ialah Malapetaka.

Saban tahun semenjak 31 Ogos 1957, “Hari Malapetaka” telah dirayakan di Tanah Melayu ini. Malapetaka yang menimpa warga Persekutuan Tanah Melayu ini tidak jauh bezanya dari yang sedang dialami oleh Nakba di Palestin.

Untuk memahami kembali sejarah kelahiran Malapetaka ini, biar saya bawa kembali para pembaca kepada pensejarahan kelahiran hari Malapetaka ini. Hendaknya dapatlah  kita semua memahami makna Malapetaka ini yang dieja dengan M dan huruf besar ini.

Awalnya, Perjanjian Anglo-Dutch 1824 telah memisahkan kepulauan Melayu kepada dua entiti, Semenanjung Tanah Melayu di bawah British dan Batavia di bawah Belanda. Pejanjian Anglo-Thai 1909 telah memisahkan pula lima wilayah Melayu: Pattani, Jala, Setul, Singgora, dan Menara.

Wilayah ini menjadi tanah jajahan Siam hinga ke hari ini. Pada tahun 1874, melalui Perjanjian Pangkor, kuasa kolonial British telah memasuki jarumnya untuk menjajah Semenanjung Tanah Melayu. Perjanjian Pangkor ini akhirnya membolehkan British menguasai seluruh Semenanjung Tanah Melayu. Akhirnya, Tanah Melayu menjadi tanah jajahan British dibawah jagaan Raja England dan bukan lagi di bawah EIC (East India Company).

Penjajah Barat datang untuk mencari harta kekayaan. Di Tanah Melayu, British telah bertemu dengan bijih. British telah juga membuka ladang getah. Dua punca ekonomi ini menjadi begitu penting sekali untuk perkembangan ekonomi kolonial British.

Untuk terus melipat gandakan keuntungan, kaum penjajah British telah membuka bumi Melayu kepada pendatang baru dari China dan India. Mereka telah dibawa masuk sebagai tenaga buruh oleh kuasa kolonial British. Dengan kehadiran buruh China dan buruh India ini, maka lanskap Tanah Melayu berubah untuk selama-lamanya.

Dunia ini bergerak dengan hukum hakam alam. Hukum alam bergerak dan tidak berubah-ubah. Hukum ini menetapkan: di mana ada penindasan, di sana pasti akan ada penentangan. Hukum alam ini mula mencapai dan mengampuh di Tanah Melayu. Hasilnya, Kesatuan Melayu Muda (KMM) ditubuh pada 1938. Ini adalah gerakan politik paling awal yang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu dari British.

Pada ketika ini, Parti Komunis Malaya (PKM) telah wujud di Singapura. PKM pada ketika itu sedang menyusun kaum buruh China di kota-kota seperti Singapura, Kuala Lumpur, dan Pulau Pinang.

Penentangan terhadap penjajah British dan kuasa modal penjajah ini telah melahirkan setiakawan di antara KMM dengan PKM. Ikatan setiakawan ini adalah kerjasama antara kaum tani Melayu dengan kaum buruh India dan China. Inilah bibit-bibit kelahiran negara bangsa.

Kesampaian Jepun pada 8 Ogos 1941 telah meruntuhkan empayar British. Dalam masa yang sama, ikatan setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu untuk menuntut kemerdekaan telah diperkukuhkan. Perjuangan bersenjata Tentera Rakyat Malaya Menentang Jepun – Malayan People Anti Japanese Army (MPAJA) telah memperkukuhkan lagi setiakawan bangsa-bangsa di Tanah Melayu.

Apabila Jepun kalah perang pada Ogos 1945, sekali lagi BMA (British Military Administration) masuk untuk mengambil alih pentabiran Tanah Melayu. Tetapi semuanya telah berubah. Tanah Melayu kini bukan lagi Tanah Melayu sebelum perang Jepun.

Kini gerakan nasionalisma telah mengampuh dan laungan kemerdekaan kedengaran di sana sini. Telah wujud Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan  Wanita Sedar (AWAS) – semua ini adalah gerakan nasionalis kiri yang bangun berjuang untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

British secara licik dan terancang telah mewujudkan apa yang dipanggil hingga ke hari ini UMNO (United Malays National Organisation). Ini adalah organisasi yang ditelur, yang dieram, dan ditetaskan oleh penjajah British. Tarikh munculnya gerombolan UMNO, 1946, agak lewat. Muncul sebagai reaksi terhadap gerakan nasionalis Melayu kiri yang mahu menghalau British. Dari segi sejarah, cukup jelas bahawa gerombolan ini diwujudkan untuk menjadi tali barut dan budak suruhan British.

Setiakawan antara bangsa-bangsa yang bangun menentang penjajah British telah melahirkan setiakawan yang baru. Perlembagaan Rakyat telah dilahirkan pada tahun 1947 oleh AMCJA-PUTERA. Ini adalah kerjasama setiakawan antara All Malayan Council Joint Action dengan organisasi massa Melayu bernama PUTERA.

Perlembagaan Rakyat 1947 ini cukup penting dalam sejarah pembentukan negara bangsa. Dalam Perlembagaan Rakyat ini, sesiapa sahaja yang lahir di Tanah Melayu akan dinobat sebagai Melayu. Ertinya anak semua bangsa yang lahir di Tanah Melayu adalah Melayu. Ini adalah garis politik kiri yang paling radikal. Garis politik ini dan setiakawan anak semua bangsa telah menggoncang kekuatan kuasa kolonial British.

Untuk menumpaskan agenda kelahiran negara bangsa Melayu ini, secara licik British melalui gerombolan UMNO telah melaungkan slogan “Hidup Melayu”. Para pembaca yang budiman, perhatikan betul-betul slogan ini. Slogan ini bukan laungan untuk menghalau British, tetapi untuk menunjukkan bahawa orang Melayu kurang oksigen.

Gerombolan UMNO dengan kerjasama British telah memulakan dan menanamkan garis politik Melayu Melayu, China China dan India India. Maka lahirlah Perikatan. Politik perkauman ini amat baik untuk British. Ini adalah dasar pecah dan perintah. Dalam pertubuhan Perikatan masih lagi Melayu, China, dan India. Berbanding dengan AMCAJA-PUTERA – badan ini adalah gabungan anak semua bangsa yang memanggil diri mereka Melayu.

Projek Perlembagaan Rakyat 1947 telah digagalkan British. Akhirnya, pada 20 Jun 1948 pecahlah perang kolonial menentang British. Perang kolonial kali ini telah disertai oleh API, AWAS, Hizbul Musliminn, Malayan Democratic Union, PKM, KMM, PKMM, dan ratusan patriot dan nasionalis anak semua bangsa. Mereka mengangkat senjata untuk menghalau British dari Tanah Melayu.

Saya harap hingga ke tahap ini, para pembaca telah dapat memahami perjalanan sejarah Tanah Melayu. Saya harap para pembaca telah dapat memahami dari mana munculnya gerombolan UMNO (United Malays National Organisation), MCA (Malayan Chinese Association), dan MIC (Malayan Indian Congress). Kesemua badan-badan ini adalah boneka British. Dari namanya kita telah tahu bahawa badan-badan ini dibentuk dan ditaja oleh penjajah British.

Mari kita lihat apakah yang telah dibuat oleh UMNO apabila rakyat Tanah Melayu pada tahun 1948 bangun mengangkat senjata melawan British. Apa agaknya yang telah dilakukan oleh UMNO? Sejarah membuktikan bahawa mereka bukan bangun menentang British, tapi bangun berjuang menentang orang yang menentang British.

Jika tidak percaya apa yang saya tulis ini – sila bersabar. Pada bulan Ogos ini nanti, media milik UMNO akan membuka kisah-kisah bodoh di mana puak-puak gerombolan tanpa segan dan malu akan membuktikan bahawa mereka dengan bangga telah menjadi barua British. Mereka akan mendabik dada mengatakan bagaimana mereka berjuang menentang komunis. Walhal, gerila Parti Konunis ketika itu sedang melawan British.

Ketika Shamsiah Fakeh, Abdullah CD, Rashid Maidin, Chin Peng bangun mengangkat senjata, apa yang dilakukan oleh UMNO? Sejarah jelas membuktikan, gerombolan UMNO telah bersubahat dengan British untuk menumpaskan gerakan bersenjata melawan British ini.

Ketika anak semua bangsa bangun melawan British untuk mencapai “Merdeka”, gerombolan UMNO bangun berjuang melawan orang yang berjuang untuk Merdeka. Untuk saya, kalau perbuatan ini bukan kerja barua British, maka Rosmah Mansor (isteri daripada Perdana Menteri Najib Razak sekarang, red.) itu masih lagi dianggap anak dara sunti.

Justeru, sebagai balasan menjadi barua yang setia, pada 31 Ogos 1957, penjajah British telah mengagihkan pentabiran Tanah Melayu kepada UMNO. Tarikh 31 Ogos inilah yang menjadi  “Hari Malapetaka” untuk Tanah Melayu. Tarikh ini adalah “Nakba” untuk anak semua bangsa di Tanah Melayu. Semenjak dari tarikh ini, kita telah melihat satu demi satu musibah telah menimpa Tanah Melayu.

Untuk saya, menobatkan 31 Ogos sebagai “Hari Malapetaka” untuk menilai kembali pensejarahan Tanah Melayu. Kita tidak perlu berselindung. Nakba di Palestin membolehkan tanah-tanah Palestin dirampas oleh kaum Zionis. Malapetaka di Tanah Melayu memperlihatkan ribuan hektar tanah rizab Melayu hilang dirampas oleh Zionis tempatan.

Kampung Plentong, Chubadak, Tasek Utara, Berembang, Kerpan hanyalah beberapa nama tanah asal Melayu yang dilupus. Paling akhir, tanah Keretapi Api Tanah Melayu di Singapura lupus. Dan yang akan datang ialah tanah Kampung Baru dan Kampung Bandar Dalam.

Malapetaka ini tidak berkesudahan. Lihat pula berapa ratus ribu anak semua bangsa menjadi mangsa ditahan tanpa bicara semenjak British mewujudkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA, Internal Security Act) pada tahun 1948. Paling akhir  kita melihat enam warga penyokong BERSIH sedang ditahan tanpa bicara.

Berapa ribu pula warga yang telah gugur dan mati dibunuh dalam tahanan? Pernah saya terdengar suara dari Parlimen menyatakan lebih dari seribu orang telah gugur semenjak sepuluh tahun dahulu. Nama seperti Altantuya, Beng Hock, Kugan, Francis, Aminulrashid, dan Sarbaini akan terus bertokok tambah. Malapetaka ini masih berterusan.

Bulan Ogos kelihatan amat ironi untuk Tanah Melayu kerana 500 tahun – pada 10 Ogos 1511 – Portugis telah mendarat di Melaka. Pendaratan Portugis 500 tahun dahulu hanya akan dilihat sebagai satu titik hitam dalam sejarah Tanah Melayu berbanding dengan Malapetaka 31 Ogos.

Untuk pembaca yang muda, biar saya tunjukkan di sini bahawa Nakba di Palestin pada 14 Mei adalah hasil dari perancangan British. Manakala Malapetaka di Tanah Melayu pada 31 Ogos adalah juga hasil perancangan British. Nakba di Palestin berterusan hingga ke hari ini.

Malapetaka di Tanah Melayu ini juga tidak akan reda-reda selagi gerombolan UMNO tidak dihumbankan ke dalam tong sampah sejarah.

===

Nota campur: Rencana ini pernah disiarkan dalam media online pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Ianya juga dapat dilayari di: www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 10 Maret 2102].

Isham Rais ialah aktivis sosial dan penulis prolifik di Malaysia. Beliau pernah dilabel oleh Sheryll Stothard selaku adventures of a trendy rebel di alam siber Malaysia. Kini beliau merupakan pendokong berat Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pakatan Rakyat, barisan pembangkang utama dalam alam politik kontemporari di Malaysia.

SHARE

3 COMMENTS

  1. Walah3. Aku pikir hanya di Indonesia aja yang ada sejarah kontroversial, atau sejarah alternatif-kritis. Eh, di Malaysia juga ada yah?

    Aku emang pernah denger dari guru-guru sejarah di Serawak dan Sabah bahwa hari Kemerdekaan Malaysia yang benar adalah tanggal 16 September 1963, bukan tanggal 31 Agustus 1957.

    Bener kate artikel opini di web ASPENSI ini sebelumnya, “Dunia Sekarang Sudahlah Terbalik”. Hancur Minah!!!

  2. Salam 1Malaysia.

    Saudara Isham Rais dah bersubahat dengan mana-mana kuasa di Indonesia, termasuk dengan ASPENSI, untuk meruntuhkan dan menggadaikan kerajaan Malaysia yang diterajui oleh BN-UMNO. Orang macam ni tak punya nasionalisma dan patriotisma, serta tidak sayangkan negara Malaysia.

    Memperlekeh hari kemerdekaan serupa dengan menghina wujudnya negara. Saya nak membagi cadangan kepada kerajaan Malaysia agar menggantung hak kerakyatan Ishan Rais dan dihantar sahaja kepada kerajaan Indonesia agar menjadi warga negara Republik di sana.

    • @ wira bangsa: Kami sudah kenyang dan kebal dengan tuduhan2 seperti itu. Kehidupan politik di Malaysia kini seperti pada masa Orde Baru di Indonesia dulu (1966-1998). Kami kini sudah melalui jalan terjal dan berliku untuk mencapai kehidupan yang bebas dan demokratis.

      Demokrasi, transparasi, dan reformasi adalah jalan terbaik untuk kemajuan sebuah negara-bangsa. Kami sudah dan sedang melaluinya. Kini giliran Anda untuk mengharunginya. Salam 1Bangsa: Reformasi untuk Kita Semua!!!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here