Dunia Sekarang Sudahlah Terbalik

2
104

Oleh: Wan Azizah Ismail

Di tahun 1950-an dahulu, ada sebuah lagu nyanyian R. Azmi yang sangat popular. Antara bait seni kata lagu itu berbunyi, “Dunia sekarang, sudahlah terbalik … pemudi berbaju belang, pemuda berbaju batik”. Mungkin sahaja gambaran di dalam lagu itu tidak seteruk keadaan yang berlaku hari ini. Keadaan hari ini lebih buruk apabila yang jahat dilihat baik, yang baik dipandang jahat.

Gambar kiri: Anwar ketika bertemu Khalid Mashal, Februari 2012 lalu.

Di dalam perkembangan terbaru, pihak kerajaan bercadang mendedahkan surat mantan Perdana Menteri ke-4, Tun Dr. Mahathir Mohamad, kepada mantan PM (Perdana Menteri) Israel, Ehud Barak. Hal ini disahkan oleh PM Datuk Seri Najib Razak kala mana media perdana, khususnya Utusan Malaysia, heboh menuduh Anwar Ibrahim menyokong Israel.

Semua pertuduhan itu dibuat ketika baru sahaja pertengahan Februari 2012 lalu, Anwar Ibrahim dan saya bertemu dengan pemimpin tertinggi HAMAS, Khalid Mashal, di Qatar. Pertemuan tersebut juga melibatkan Sheikh Yusof Al-Qardhawi, di samping Menteri Kebudayaan Qatar, TYT Dr. Hamad Abdul Aziz.

Kenyataan awal Anwar Ibrahim yang terbit di dalam WSJ (Wall Street Journal) dengan jelas menyebutkan sebarang usaha damai dengan Israel wajib tertaluk kepada pra-syarat dengan Palestin. Istilah yang digunakan Anwar ialah “contingent” bagi merujuk hal tersebut, yang tetap cuba ditutup. Saban hari, PM Najib tanpa segan silu menjadikan modal kempen ke sana ke mari dengan menuduh Anwar Ibrahim menyebelahi atau menyokong Israel.

Pemimpin UMNO Bertemu PM Israel?

Dalam waktu sama, pemimpin negara tak dapat menafikan bahawa mantan PM (Perdana Menteri) ke-4 pernah bertemu dengan PM Israel. Bukan beliau sahaja, malah ada pemimpin UMNO (United Malays National Organization) lainnya, yang memegang jawatan sebagai menteri juga bertemu dengan pimpinan kanan Israel. Bagi KEADILAN, kita tetap mengiktiraf kedua-dua pihak di Palestin, sama ada FATAH mahupun HAMAS. Tidak kepada kerajaan Barisan Nasiona (BN) yang hanya mengiktiraf FATAH sahaja.

Pada tahun 2006, ketika Malaysia menjadi tuan rumah Persidangan Negara-negara Berkecuali (NAM, Non Alignment Movement), kerajaan Malaysia telah dengan sengaja membelakangkan Menteri Luar Palestin, Dr. Mahmoud Al Zahar, yang dilantik oleh PM Ismail Haniyeh. Tindakan biadap ini dilakukan semata-mata kerana kerajaan Palestin ketika itu ditadbir oleh HAMAS.

Rakyat juga tergamam apabila di dalam riuh-riuh media perdana cuba memecah-belahkan Pakatan Rakyat di atas isu tersebut, terutama hubungan antara KEADILAN dengan PAS (Parti Al-Islam se Malaysia), terbongkar cerita kapal dagang Israel berlabuh dan berdagang di Pelabuhan Klang. Perairan Malaysia tercemar! Perdagangan dua negara iaitu antara Malaysia-Israel sudah berlangsung cukup lama, yang antara lain melibatkan komoditi seperti minyak sawit.

Gambar kiri: Kapal “Zim Atlantic” milik Israel yang berlabuh di Pelabuhan Klang.

Tak dapat saya bayangkan, alangkah sebaknya hati peneroka FELDA dan pekebun-pekebun kecil (teruatama yang majoritinya beragama Islam) di seluruh negara apabila mereka tahu, titik peluh mereka selama ini rupa-rupanya dijual kepada Israel. Begitu mudahkan bangsa dan umat kita diperbodohkan?

Sudah banyak kali penguasa UMNO-BN cuba menutup pekung di dada sendiri dengan menuduh kepemimpin Pakatan Rakyat. Kaedah ini adalah strategi usang yang sering dilakukan banyak rejim kuku besi di dunia. Sebelum rahsia pecah, mereka akan menuduh musuh politik mereka dengan pelakuan yang sebenarnya dilakukan oleh mereka sendiri.

Apabila diajak berdebat, pelbagai alasan pula diberikan. Ya! Berani kerana benar, takut kerana salah. Ketika media perdana terus-menerus mencipta fitnah dan tohmahan baru, berita yang sebenarnya sudah pun sampai ke telinga wakyat. Mungkin elit UMNO-BN tidak sedar, semakin cuba ditutup dusta, semakin terdedah nista. Benar sekali baitnya lagu: “dunia sekarang sudahlah terbalik”.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam media online pembangkang, Keadilan Daily, di Kuala Lumpur, Malaysia. Ianya juga dapat dilayari di: www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 7 Maret 2012].

Dr. Wan Azizah Ismail ialah Presiden Parti KEADILAN, parti pembangkang dalam alam politik kontemporari di Malaysia. Beliau juga ialah isteri daripada Anwar Ibrahim, tokoh pembangkang utama di Malaysia.

SHARE

2 COMMENTS

  1. Yth. Ibu Wan Azizah. Saya senang membaca tulisan ibu. Saya jadi sedikit faham tentang perkembangan politik Malaysia terkini.

    Terima kasih juga kepada Redaksi ASPENSI in News & Views yang telah memuat artikel-artikel dalam Bahasa Indonesia, Bahasa Melayu, dan Bahasa Inggris.

    Kalau jagat perpolitikan di Malaysia sekarang “dunia sudahlah terbalik”, maka di Indonesia lebih-lebih bu, “dunia dan akhirat sudahlah terbalik”.

    Waktu pak Anwar Ibrahim datang ke Indonesia dan ceramah di Jakarta, dia pernah bilang, “Korupsi di Indonesia dilakukan di atas meja (terang-terangan), sedangkan di Malaysia amalan rasuah itu dilakukan di bawah meja (sembunyi-sembunyi), canggih sekali”.

    Jadi dunia ini mana yang terbalik bu, Indonesia atau Malaysia?

  2. Saudara Kuku Bima. Kita ni, orang Melayu, bersaudara. Indonesia dan Malaysia macam abang dan adik la. So, kita punya budaya, bahasa, agama, dan adat-resam yang serupa la. Salah sebuah budaya yang serupa bagi bangsa Melayu, sama ada di Malaysia mahupun di Indonesia, adalah amalan rasuah alias korupsi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here