Rahsia Asian Wall Street Journal

0
72

Oleh: Hishamuddin Rais

The Asian Wall Street Journal (AWSJ) menjadi buah mulut pada minggu ini. Jarang sekali akhbar luar negara dibincang begini hebat, terutama oleh orang-orang yang tidak membaca akhbar ini.

Dari Pemuda PAS (Parti al-Islam se Malaysia) hingga ke Menteri Luar Malaysia, semua memiliki pandangan tentang AWSJ. Pandangan ini berkaitan dengan kenyataan temu-bual Anwar Ibrahim yang baru dilaporkan dalam akhbar ini.

Saya juga memiliki pandangan tentang AWSJ. Saya juga memiliki pandangan tentang Israel. Saya juga memiliki pandangan tentang peranan zionis Israel di Timur Tengah dan seluruh dunia.

Saya juga memiliki pandangan tentang perjuangan adil rakyat Palestin. Saya juga memiliki pandangan tentang homoseksual. Pandangan saya mungkin tidak selari dengan pandangan Anwar Ibrahim, atau Dewan Pemuda PAS – mustahil pandangan saya sama dengan pandangan Menteri Luar Malaysia.

Tetapi bukan pandangan tentang Zionis Israel, atau hubungan homoseksual, yang ingin saya lakar. Saya ingin menggarap tentang apa dia akhbar ASWJ?

Untuk saya, jika warga Malaysia memahami apa dia ASWJ, maka serta-merta kita akan sedar betapa bangangnya heboh-heboh kita minggu ini. Saya berharap apa yang saya lakar ini membawa pencerahan fikrah untuk membantu kita memahami realpolitik – memahami peranan media dan modal.

ASWJ ini bukan secara tetiba wujud di Asia untuk menjadi bacaan wajib kepada politikus dan kaum pemodal di Asia Tenggara. Sebelum meluasnya pengaruh ASWJ, wujud majalah Far Eastern Economic Review (FEER). Majalah mingguan terbitan Hong Kong yang dimulakan dari 1946.

Majalah ini cukup berpengaruh di kalangan kaum pemodal dan politikus di Asia Tenggara. FEER adalah suara dan lambang keagungan Empire British. FEER mewakili kepentingan kaum pemodal Anglo-Amerika.

Majalah ini menjadi suara dan nadi kaum pemodal British yang ketika itu banyak menguasai gedung perniagaan di China dan Asia Tenggara.

Pada tahap gemilangnya, FEER pernah mencecah lebih 90,000 nashkah jualan seminggu. Dan jangan terperanjat – warga paling banyak membeli dan membaca FFER ialah warga Malaysia. Ini ketika pengaruh kaum pemodal British di Tanah Melayu, kemudian Malaysia, masih mencengkam kukuh.

FEER kemudian dibeli Syarikat Dows Jones & Company pemilik ASWJ. Nampak atau tidak ertinya pembelian ini? Tauke AWSJ membeli FEER bukan hendak memastikan majalah ini laris dan terus berkembang.

Niat pembelian ialah untuk membunuh majalah ini. Apabila FEER tutup kedai pada 2009, berkembanglah akhbar AWSJ yang 100 peratus mewakili kepentingan ekonomi kaum pemodal multinasional dari Wall Street Amerika.

Kematian FEER adalah tanda pengaruh kaum pemodal British malap dan pengaruh kaum pemodal Amerika melonjak naik di Asia dan Asia Tenggara.

AWSJ – namanya sahaja menunjukkan akhbar ini tanpa segan-silu mengatakan kepada dunia bahawa ia mewakili kepentingan Wall Street. Untuk Mak Cik Felda dan Pak Cik Felda yang tidak tahu – Wall Street ialah nama jalan di New York.

Di jalan ini ialah rumah Bursa Saham Amerika, NASDAQ , New York Mercantile Exchange. Jalan ini tempat lanun dan penyangak kapitalis bertelur, mengeram, dan menetaskan karenah, masalah, dan bala bencana kepada muka bumi ini.

Wall Street tempat berjual-beli. Wall Street menjadi reban utama kaum Zionis Antarabangsa. Di Wall Street, kaum Zionis berkumpul bersama kaum kapitalis antarabangsa untuk membuat duit dan mencari laba.

Penyangak dan lanun besar di Wall Street ini akan menjual apa saja yang boleh dijual. Mereka akan membeli apa saja yang boleh dibeli dengan murah dan dijual dengan mahal.

Tepung, sawit, minyak, candu, bom, kapal terbang, China Doll, hutang, kokain, ganja, arak – malah apa sahaja yang mendatangkan keuntungan – diniagakan di Wall Street.

Warga di Wall Street ini, tuhannya bernama Dolar. Kiblat mereka ialah Federal Reserve. Nabi mereka ketika ini ialah Ben Benarke, seorang Zionis – sebelumnya Allen Greensopan juga seorang Zionis.

Kalau di zaman Nabi – Wall Street ialah jalan ke rumah Abu Jahal. Kalau di zaman Kerajaan Melayu Melaka, Wall Street ialah jalan ke rumah Kitul dan Mendeliar. Kalau di Malaysia moden, Wall Street ialah jalan ke rumah Mahathir Mohamad.

Di Wall Street ini akan dirancang siapa naik dan siapa turun. Bukan hanya siapa naik dan siapa turun di Rumah Putih saja dirancang di Wall Street, malah kuasa politik dunia pun diniagakan di Wall Street.

Di sini akan dirancang siapa mendapat kuasa di negara Dunia Ketiga atau siapa yang wajib dijatuhkan dan negara mana wajib diserang.

Biar saya nyatakan di sini – Pintu Rumah Putih dan Pintu Wall Street hubung-berhubung. Masuk pintu hadapan Rumah Putih akan membuka pintu belakang Wall Stret.

Kadang-kala masuk pintu depan Wall Street akan membuka pintu belakang Rumah Putih. Ini realpolitik dunia hari ini. Ini kuasa politik, kuasa ekonomi, dan kuasa bala tentera Empire Amerika dan kuasa Wall Street.

Akhbar ASWJ ada Edisi Eropah, Edisi Khusus untuk dunia, termasuk Amerika Latin. Tuan empunya AWSJ ialah Dow Jones & Company – syarikat penerbitan gergasi berpangkalan di Amerika.

Kaum pemodal dan kaum kapitalis selain melanggan dan mengupah “tukang lobi”, mereka juga memiliki media yang bertujuan mengolah pandangan dan pendapat untuk memastikan kepentingan mereka didahulukan.

Media kapitalis ini mengolah pandangan untuk memastikan kaum pemodal mendapat keuntungan maksimum.

Peranan AWSJ tidak jauh bezanya dari Utusan Malaysia. AWSJ melakar pandangan untuk kaum pemodal antarabangsa. Utusan Malaysia melakar pandangan untuk kepentingan UMNO (United Malay National Organisation).

Yang berbeza hanyalah Utusan Malaysia ditulis oleh penulis lekeh hinggakan tiada siapa membeli dan membaca akhbar ini. AWSJ dengan dana lumayan mengupah penulis licik lagi berpengalaman hinggakan agenda jahat mereka, tidak dapat dilihat.

Ramai lupa, atau sengaja tidak mahu ingat, bahawa sebelum Anwar Ibrahim ditemu-bual, AWSJ juga menemu-bual Najib Razak. AWSJ memberi nasehat agar Najib meneruskan “dasar terbuka-dasar liberal” sehingga “terkangkang” luas agar kaum kapitalis antarabangsa dapat mengaut keuntungan maksimum.

Menurut AWSJ, Najib Razak hanya berkemungkinan menang pilihan raya jika Najib berani melupuskan kepentingan dasar pro-Bumiputera. Dasar ini menyusahkan kaum pemodal antarabanga untuk meniaga di Malaysia.

Dari bacaan saya, ini bukan nasehat. Ini tekanan. Tetapi temu-bual ini tidak jadi buah mulut kerana dalam negara kita, para pemikir Melayu yang pro-Bumiputera “kecut telor”, tak berani bersuara takut tersalah cakap.

Jika silap cakap, mungkin tidak lagi dijemput menjadi ahli panel di rancangan Forum RTM (Radio dan Televisiyen Malaysia) atau tidak dipilih untuk menjadi juri di Pertandingan Juara Lagu.

Temu-bual Anwar Ibrahim di AWSJ juga adalah tekanan untuk memastikan kepentingan kaum pemodal antrabangsa didahulukan. Perhatikan betul-betul buah butir yang dilapor.

Anwar Ibrahim berkata “lebih banyak lagi penswastaan akan dilakukan”. Ini untuk menyedapkan hati kaum pemodal antarabangsa kerana Anwar sedar dan tahu siapa di belakang AWSJ ini.

Mengenai Israel dan Zionis, saya harap jelas dari apa yang telah saya lakar. Kepentangan kaum kapitalis antarabangsa dan kaum Zionis ketika ini ikat-mengikat.

Hari ini, enam syarikat Yahudi Zionis menguasai 96 peratus saluran semua bentuk media di dunia. Sayugia cukup untuk saya tuliskan bahawa New York Times, Wall Stret Journal, dan Washington Post adalah milik Yahudi yang pro-Israel.

Melalui temu-bual pemimpin politik Malaysia, AWSJ ingin melihat apakah Najib Razak akan memberi keuntungan dan laba yang lebih berbanding dengan Anwar Ibrahim.

Ini agenda asasi AWSJ. Akhbar ini tidak akan mempedulikan tentang kezaliman ISA (Internal Security Act) atau AUKU atau Akta Cetak atau jumlah bayi mati dibuang.

AWSJ sedar, ketika ini politik di Malaysia sedang cair. Penyelidik dan pemerhati politik di AWSJ melihat tahun ini adalah tahun pilihan raya. AWSJ ingin memastikan jika Najib Razak atau Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, kepentingan kaum kapitalis terjaga rapi.

Inilah makna temu-bual dari Asia Wall Street Journal.

===

Nota campur: Tulisan ini pernah disiarkan dalam akhbar Suara Keadilan, edisi 51. Akhbar ini merupakan media pembangkang terhadap media arus perdana, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia. Ianya dapat dilayari pula di www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 23 Februari 2012].

Hishamuddin Rais ialah aktivis sosial dan penulis prolifik di Malaysia. Beliau pernah dilabel oleh Sheryll Stothard selaku adventures of a trendy rebel di alam siber Malaysia. Kini beliau merupakan pendokong berat Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pakatan Rakyat, barisan pembangkang dalam alam politik kontemporari di Malaysia.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here