Jom “Main Politik” Menjelang PRU-13

0
160

Oleh: Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian

Adakah suasana politik sudah banyak berubah sejak Mac 2008? Adakah negara sudah bersedia untuk Pilihan Raya Umum (PRU) biarpun ia diadakan pada Mac, Jun, September, atau awal tahun depan? Atau, kita hanya bersandar kepada persepsi umum yang disumbat dengan pelbagai isu, baik bersifat positif ataupun negatif untuk ke semua yang berada dalam gelanggang politik negara.

Malahan, wujud beberapa analisis dan analogi yang memberi keutamaan kepada sama ada parti ataupun personaliti sehingga lahir tendensi untuk secara berlebihan memanipulasi sama ada prinsip parti ataupun latar belakang pembesar politik sampai tahap memuja seseorang pemimpin. Apakah ada parti yang tidak mahu melihat kewibawaan parti melangkaui pemimpinnya atau mahu menjana persekitaran yang taksub dengan personaliti dari parti politik.

Dalam menggarap nilai di sebalik fahaman parti politik atau prinsip personaliti; hakikatnya ia tidak akan terlepas daripada buruan “persepsi” yang sentiasa berubah kerana dimanipulasi secara berterusan.

Sejak 2008 sehingga kini, apakah persekitaran sosiopolitik sudah berubah atau berpegang kepada amalan “jom main politik” walau dalam apa keadaan sekalipun sehingga segalanya diguna pakai untuk mempengaruhi sokongan tanpa memikirkan sejauh manakah ia akan menjejas kerangka yang sudah terbina sekian lamanya.

Apakah kita bersedia meruntuhkan apa yang sudah dirancang dengan memberi maksud dan makna tersendiri kepada persekitaran kependudukan dan alamnya; atau mampukah kita bersifat lebih objektif tanpa bermain dengan emosi tetapi mempengaruhi minda dan hati dengan harapan ia sama sekali memberi keutamaan kepada amalan rasional dan praktikal.

Sejak Mac 2008, keperluan, kemahuan dan pemikiran umum sudah jauh berubah; sama ada berubah dengan inisiatif sendiri, diubah oleh permainan politik pelbagai pihak atau oleh desakan persekitaran. Kegelisahan semasa turut melahirkan persoalan, apakah kesediaan parti dan aktor politik juga sudah berubah untuk memenuhi bukan tuntutan tetapi keperluan sedemikian rupa dalam alam baru ini.

Faktor utama yang harus menjadi tumpuan adalah siapakah yang dimahukan sebagai Perdana Menteri memandangkan kalau dipanjangkan ke bawah sekalipun, hari ini tumpuan diberikan kepada Datuk Seri Najib Tun Razak ataupun Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Penginstitusian ke atas legitimasi @ keabsahan politik mesti menjadi asas dalam PRU akan datang. Indikator populariti Najib jika diperhebatkan mampu membawa perubahan tetapi apakah sudah distrategikan sedemikian rupa kempen parti komponen sebagaimana yang sedang dilakukan oleh barisan pembangkang yang masih bertanggapan Anwar bukan liabiliti mereka.

Walaupun begitu, isu perlu dihalusi termasuk isu kepartian seperti calon dan jentera; di peringkat nasional dan lokal seperti NFC, Felda, Teoh Beng Hock, kepimpinan Najib, Anwar, SBPA 2012, Port Klang Free Trade Zone (PKFZ), rasuah, jenayah, kenaikan harga barang, konsep 1Malaysia, inflasi, pendapatan, wanita, kebebasan beragama, kos kehidupan, pendidikan, BR1M, kesemua pelan transformasi, Buku Jingga, kemiskinan, kebajikan, kemudahan prasarana tempatan dan peluang saksama yang menjamin keadilan sosial merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Beberapa personaliti juga digunakan oleh kedua-dua gabungan besar untuk meraih sokongan termasuklah karisma Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tengku Razaleigh Hamzah, Raja Petra Kamaruddin, Ibrahim Ali, Ambiga, A. Samad Said, ‘Aunty Bersih’ dan tokoh-tokoh daripada sesebuah parti dan dibawa ke parti lain tanpa mengira pangkat dan kedudukan tetapi dianggap memberi impak dalam persekitaran politik semasa.

Ada juga yang bersifat bermuka-muka dalam politik dengan ”makan” di kedua-duanya, baik di BN mahupun barisan pembangkang. Di depan penyokong tertentu, tokoh ini menyokong tetapi di belakang menyalin baju dan tukar prinsip semata-mata untuk survivalitas dalam politik.

Permainan politik hari ini juga melihat kehadiran badan bukan kerajaan (NGO) dan parti serpihan yang dianggap mahu menjadi “kuasa ketiga” tetapi ketiadaan struktur yang tersusun dan guna tenaga secukupnya mungkin memerlukan lebih masa bagi mereka untuk memain peranan signifikan.

NGO yang lazimnya popular dalam kalangan kelas atasan dan menengah kini meresap perlahan-lahan ke peringkat bawahan dan ia juga masih bergantung kepada literatur politik yang lebih besar untuk merealisasikan nilai perjuangan masing-masing untuk difahami mudah oleh pelbagai lapisan masyarakat.

Media sosial yang memain peranan dominan dalam PRU lepas akan terus menjadi mainan politik PRU akan datang. Barangkali persoalan yang perlu dijawab adalah – Sudahkah membina “kepercayaan” daripada berita yang disiar dan diperdebatkan tanpa batasan moral dan secara berhemah? Berita portal masih didominasi oleh portal yang melihat dari lensa berbeza daripada media arus perdana walaupun blog kelihatan penguasaan oleh mereka yang berpihak kepada BN.

Banyak andaian dan spekulasi dilakukan oleh pelbagai pihak termasuk kedudukan di kawasan yang dimenangi dengan majoriti yang sedikit sehingga kepada “safe deposit” dan percaturan berbeza mengikut kawasan yang berlatar belakangkan etnik berbeza.

Pengundi muda dilihat mempamer indikator tidak pasti iaitu masih melihat dan memerhati sebagaimana pengundi atas pagar apatah lagi statistik undi rosak, tidak keluar mengundi dan tidak mendaftar masih besar jurangnya. Apa sebenarnya kemahuan kelompok ini?

Sudahkah parti politik kenal pasti terutama di kawasan bandar kerana rata-rata pengundi bandar dikatakan anti-establishment. Kenapa kemenangan Tan Sri Isa Samad di Bagan Pinang tidak dijadikan motivasi kerana kemampuan mendapat undi daripada pelbagai etnik dan kumpulan sasar berbeza, walaupun pernah diheret keluar daripada parti tetapi kembali dalam perjuangan politik beliau.

Pola pengundian latar etnik berbeza akan mempunyai kepentingan sendiri dan sehingga ke hari ini pengundi Cina dikatakan sudah membuat keputusan dalam pemangkahan mereka tetapi adakah ini “luar biasa”. Bagaimana dengan pengundi Melayu, India, Iban, Kadazan, Bidayuh, Murut, Melanau dan lain-lain?

Apakah pengundi luar bandar masih setia ataupun pengundi bandar setianya berbeza? Mampukah BN pertahankan sekurang-kurangnya majoriti yang dimenangi dalam PRU lepas atau PRU Mac 2008 merupakan kemuncak barisan pembangkang akan dapat diketahui tidak lama lagi.

Selagi itu, “jom main politik” akan menjadi satu rutin dalam kalangan penduduk tanah air yang tidak jemu-jemu disajikan dengan pelbagai informasi sehingga yang benar menjadi salah; yang betul menjadi keliru; dan yang dulu seronok kian muak kerana tindakan yang melangkaui batasan kemanusiaan sehingga bersedia menggunakan apa sahaja senjata untuk meraih kemenangan; walau menjadi kemenangan tidak bergaya asalkan tidak menjadi papa dalam politik.

===

Nota campur: Rencana ini pernah disiarkan dalam akhbar arus perdana, Utusan Malaysia, di Kuala Lumpur, Malaysia, pada 10hb Februari 2012. Ianya boleh dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 13 Fabruari 2012]

Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan USM (Universiti Sains Malaysia), 11800 Minden, Pulau Pinang, Malaysia.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here