Untuk Mereka yang Masih Kurang Sedar

0
81

Oleh: Isham Rais

British telah berjaya dihambat keluar dari Tanah Melayu kerana anak semua bangsa telah bangun mengangkat senjata melawan mereka. Perjuangan angkat senjata ini adalah fakta sejarah. Fakta yang selama ini telah cuba ditenggelamkan oleh UMNO (United Malay National Organisation). Niat busuk menenggelamkan fakta ini bertujuan untuk menipu orang ramai agar percaya bahawa gerombolan UMNO ini sahaja yang berhak menjadi “raja” memerintah Tanah Melayu/Malaysia sampai hari kiamat.

Semenjak tahun 1958, UMNO telah ke hulu ke hilir menjajakan ikan busuk – Merdeka dicapai tanpa tumpah darah. Setiap bulan Ogos, UMNO jadi mamai dengan kisah-kisah dongeng tentang bagaimana mereka menentang gerila Pembebasan Rakyat Malaya yang dipimpin oleh Parti Komunis Malaya (PKM).

Sememangnya UMNO ini agak bebal kerana kisah-kisah “dongeng” ini membuktikan bahawa mereka – dalam Bahasa Inggerisnya menjadi British’s running dog atau “anjing suruhan British”. Rakyat Tanah Melayu bangun menentang British tetapi UMNO menentang orang yang menentang British. Jelas ini perbuatan dan kerja barua British.

Perjuangan mengangkat senjata melawan British bermula pada 20 Jun 1948. Sebelum angkat senjata melawan British ini dilancarkan, PKM (Parti Komunis Malaya) telah juga melancarkan gerakan gerila bersenjata menentang kuasa fascist Jepun. Ini adalah jawapan anak semua bangsa terhadap fascist Jepun yang telah menawan Tanah Melayu pada tahun 1941-1945. Ini fakta sejarah.

Babak-babak sejarah gilang-gemilang bermandi darah ini cuba dilupuskan, kerana dalam sejarah ini nama UMNO tidak pernah muncul. Bau kentut mereka pun tidak terdengar dalam babak-babak sejarah ini. Gerombolan UMNO tidak pernah wujud dalam perjuangan anti-imperialis.

Kuasa imperialis Kulit Putih (White Colonial Power)  – Portugis, Belanda, dan British – datang ke Tanah Melayu ini kerana mencari harta kekayaan. Kuasa imperial ini datang untuk mengambil hasil bumi – bijih, emas, getah, dan rempah-rampai. Buktinya: gerombolan yang datang awal untuk menjarah harta kekayaan di Kepulauan Nusantara adalah lanun seperti Raffles dari EIC (East India Company).

Semenjak kuasa imperialis ini – Portugis, Belanda, Inggeris, dan Jepun – menjejakkan kaki ke Tanah Melayu, mereka terus diserang. Nama seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman, Tok Janggut, Maharaja Lela, Haji Abdul Rahman Limbong adalah pemula gerakan anti-imperialis di Tanah Melayu. Ini fakta yang tidak mungkin luput hingga hari kiamat.

Mari saya cerahkan para pembaca dengan beberapa fakta sejarah yang juga tidak mungkin akan berubah hingga hari kiamat. Para pembaca yang budiman: Sila buka minda dan pakukan ke dalam otak kita semua bahawa parti dan pertubuhan politik Melayu yang tertua di Tanah Melayu ialah Kesatuan Melayu Muda  (KMM) yang ditubuhkan pada tahun 1938 di bawah pimpinan Ibrahim Yacoob. Ini diikuti pula dengan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada tahun 1945 dengan sayap mudanya Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).

Manakala UMNO (United Malay National Organisation) hanya ditubuhkan pada tahun 1946. Sila baca betul betul. Buka mata dan buka kepala: KMM ditubuh pada tahun 1938; PKMM, API, dan AWAS ditubuh pada tahun 1945; manakala UMNO ditubuh pada tahun 1946. Baca sekali lagi: “sembilan belas empat puluh enam UMNO ditubuhkan, dan bukan sembilan belas tiga puluh lapan”.

Tarikh 1946 ini pun untuk UMNO telah ditalkinkan. UMNO yang baru ini ditubuhkan pada tahun 1988. Ini fakta sejarah yang tidak akan berubah hingga hari kiamat.

Kemudian mari kita lihat garis-garis perjuangan parti-parti ini. KMM (Kesatuan Melayu Muda) dan PKMM (Parti Kebangsaan Melayu Malaya) telah memekikkan slogan – MERDEKA! Laungan ini telah menghantui kuasa imperial British. Tuntutan kemerdekaan ini telah mengampoh dan ini menakutkan kuasa kolonial British.

UMNO (United Malay National Organisation) bukan sahaja TIDAK berani melaungkan – merdeka – malah gerombolan ini telah mengeluarkan slogan lawak seram yang berbunyi: “Hidup Melayu!” Slogan lawak seram ini seolah-olah orang Melayu “kurang oksigen”. Masih tidak jelas – apakah pada tahun 1946 dahulu orang Melayu sedang nyawa-nyawa ikan atau kurang oksigen untuk bernafas sehinggakan perlu dilaungkan “hidup Melayu”. Atau kerana hakikatnya UMNO ini satu gerombolan yang bebal dan tidak dapat memikirkan slogan yang masuk akal.

Lawak seram – Hidup Melayu – masih ditakbirkan ke hulu ke hilir hingga ke hari ini. Adalah satu fakta bahawa yang masih lantang melaungkan Hidup Melayu hari ini adalah kaum Mamak Kimma dan kumpulan Awang Hitam yang semakin disangsikan teromba dan salasilah keturunan mereka. Kenapa Awang Hitam ini suka melaungkan Hidup Melayu, ini memerlukan satu kajian yang lebih rapi.

Adalah juga fakta sejarah bahawa UMNO tidak – diulangi sekali lagi dengan huruf besar – TIDAK – berjuang untuk mendapat kemerdekaan. Apabila kuasa imperial British merasa tekanan senjata dan gerakan massa politik di Tanah Melayu semakin melonjak dan mengampoh, maka kuasa imperial memerlukan budak suruhan yang setia. Justeru, diwujudkan satu gerombolan yang dipanggil UMNO. Nama Inggeris kumpulan ini masih dipakai hingga ke hari ini. Nama Inggeris ini sahaja sudah memadai sebagai bukti bahawa gerombolan ini ditelur, dieram dan dinetaskan oleh British.

Pada 20 Jun 1948, kuasa kolonial Britsih telah mengisytiharkan apa yang dipanggil “darurat”. Perkataan “darurat” ini adalah kelentong besar dari pihak British. British dengan licik telah menggunakan perkataan “darurat” agar orang Melayu tidak sedar bahawa apa yang sedang berlaku pada tahun 1948 sebenarnya ialah perjuangan bersenjata untuk menghalau British. Tidak ada warga Tanah Melayu dalam darurat; yang darurat ialah kuasa kolonial dan soldadu British yang telah diserang oleh gerila Pembebasan Rakyat Malaya.

Apabila darurat diisytiharkan, kuasa kolonial  British telah mengharamkan KMM, PKMM, PKM, API,  AWAS, Hisbul Musliman dari bergerak bebas di Tanah Melayu. Ramai pemimpin parti, kader politik, dan aktivis dalam gerakan nasionalis ini telah ditangkap oleh soldadu British. Nama-nama seperti Burhanuddin al-Helmy, Ishak Haji Muhamad, Chen Peng, Rashid Maidin, Shamsiah Fakeh, Ahmad Boestaman, Kamaruzaman Teh, dan Abdullah Sidi adalah nama-nama nasionalis yang dikehendaki oleh British.

Apabila pemimpin dan kader dari gerakan nasionalis ini ditangkap, diburu, atau dibunuh maka barulah UMNO dapat berkembang. Gerombolan UMNO dapat bernafas dengan slogan Hidup Melayunya kerana ramai pemimpin rakyat telah memulakan kerja di bawah tanah atau masuk ke hutan mengangkat senjata untuk menjadi gerila Pembebasan Rakyat Malaya.

British dengan licik telah lebih awal merancang satu strategi untuk memastikan UMNO dapat mara ke hadapan. Strategi ini cukup senang: Dua tahun sebelum darurat diisytiharkan, kuasa kolonial British telah menimbulkan konsep politik yang dinamakan Malayan Union. Ini adalah taktik Britsih untuk mematahkan gerakan nasionalis Melayu yang anti- British. Dengan mencadangkan konsep Malayan Union ini, British telah memberi nafas kepada UMNO untuk mengumpulkan orang-orang Melayu.

Justeru, apabila darurat diisytiharkan dua tahun kemudian – pada tahun 1948 – pucuk pimpinan nasionalis Melayu dari KMM, PKMM, dan PKM telah dipatahkan. Gerakan yang tidak diganggu gugat, malah mendapat sokongan British, hanyalah UMNO (United Malaya National Organisation), MIC (Malayan Indian Congress), dan MCA (Malayan Chinese Association) – semuanya menggunakan nama Inggeris. Ketika pemimpin gerakan nasionalis dalam penjara, atau kini di hutan bergerila, maka ketika inilah UMNO mencelah masuk menawarkan diri untuk menjadi barua British yang setia. Ini fakta sejarah yang sampai kiamat pun tidak akan berubah.

Onn Jaafar dan Tunku Abdul Rahman – dua benggolan ini bukan, sekali lagi BUKAN, kena dieja dengan huruf besar – bukan perjuang menentang Britsih. Mereka berebut-rebut menawarkan diri untuk menjadi barua British yang setia. Pada ketika itu, penjajah British memasang dua kuda. Justeru, kuasa kolonial British memiliki dua pilihan. British akan memilih kuda yang lebih setia dan yang boleh menipu orang Melayu dengan bijak bistari. Akhirnya Tunku menjadi kuda pilihan British.

Dengan kemunculan budaya internet, segala pembohongan UMNO telah diketahui umum. Satu demi satu tipu helah dan fakta songsang tentang perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu telah mula dibongkar. Anak-anak muda semakin sedar kenapa pada ketika ini UMNO sedang bermati-matian cuba memesongkankan fakta perjuangan bersenjata melawan British.

Hari ini – pada 5 haribulan September 2011 – UMNO sedang bernafas dalam lumpur untuk mempertahankan babak serangan gerila Pembebasan Rakyat Malaya ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong. UMNO melihat serangan ini sebagai detik sejarah perjuagan mereka.

Serangan gerila ini telah dipimpin oleh Mat Indra – seorang guru agama, seorang kader dari PKM (Parti Komunis Malaya) dan aktivis API (Angkatan Pemuda Insaf). Kemunculan Mat Indera pada tahun 2011 telah meledakkan mitos bahawa Parti Komunis hanya dianggotai oleh orang China. Roh Mat Indra juga telah meledakkan mitos bahawa kaum komunis tidak ada agama. Roh Mat Indra yang muncul tahun ini telah juga mensahehkan bahawa UMNO adalah barua setia British. Ini kerana Sarjan Ketua Rumah Pasong Bukit Kepong pada malam serangan itu ialah Ray Dancey. Sila baca namanya sekali lagi. Namanya bukan Mat Rais bin Lebai Dasi tetapi Ray Dancey – seorang Mat Salleh yang sebelum ini kerjanya ialah mengharu-birukan rakyat Palestin.

UMNO ini bukan sahaja barua yang setia malah telah menjadi barua yang amat bebal. Tidakkah mereka sedar bahawa serangan ke atas Rumah Pasong Bukit Kepong ini berlaku pada 23 Februari 1950. Tahun seribu sembilan ratus lima puluh, Tanah Melayu masih di bawah British. Bendera yang berkibar di rumah pasong Bukit Kepong ialah bendera Union Jack. Lagu yang dinyanyikan ialah lagu God Save the Quen dan bukan lagu Memula Moon.

===

Nota campur: Rencana ini pernah disiarkan dalam akhbar online pembangkang di Malaysia, Keadilan Daily, yang diterajui oleh Anwar Ibrahim. Ianya dapat dilayari juga di: www.keadilandaily.com [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 5hb Februari 2012].

Isham Rais ialah aktivis sosial dan penulis prolifik di Malaysia. Beliau pernah dilabel oleh Sheryll Stothard selaku adventures of a trendy rebel di alam siber Malaysia. Kini beliau merupakan pendokong berat Anwar Ibrahim, sebagai Ketua Pakatan Rakyat, barisan pembangkang dalam alam politik kontemporari di Malaysia.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here