Kisah Jeneral Sudirman Difilemkan

0
85

Oleh: Saharudin Musthafa

Sejarah kehidupan dan perjuangan panglima tersohor Indonesia, Jeneral Sudirman akan dibawa ke layar perak pada bulan Julai depan.

Hasrat merakamkan kehidupan pejuang Indonesia itu ialah bagi mencetuskan jiwa nasionalisme, patriotisme dan kepemimpinan di kalangan generasi muda Indonesia.

Ketua Pimpinan Pusat Muhammadiyah, Majlis Lingkungan Hidup dan Lembaga Seni Budaya, Syukriyanto AR berkata, penerbitan filem biografi Sudirman sangat tepat di saat bangsa Indonesia sedang mengalami krisis teladan.

“Indonesia memerlukan pemimpin yang memiliki integriti, jujur, rela berkorban demi kemajuan bangsa sebagaimana yang ditunjukkan oleh tokoh Jeneral Sudirman,” katanya.

Jeneral Sudirman diangkat sebagai seorang pahlawan nasional Indonesia termasyhur yang pernah yang berjuang di era Revolusi Nasional Indonesia.

Dalam sejarah perjuangan Republik Indonesia, beliau mencatat rekod sebagai panglima dan jeneral yang pertama dan termuda iaitu ketika usianya mencecah 31 tahun.

Sementara itu, penulis lakon layar filem berkenaan, Koesyuliadi menegaskan, filem Jeneral Sudirman yang akan dihasilkan berpandukan pada kajian sejumlah buku biografi panglima berkenaan yang dihasilkan oleh banyak pihak.

Pada masa sama, pihaknya akan mengadakan sejumlah wawancara dengan keluarga dan sahabat Jeneral Sudirman.

Menurut beliau, filem biografi ini akan dibahagikan kepada tiga sekuel iaitu sekuel pertama akan menceritakan saat kehidupan Sudirman di Cilacap ketika terlibat dalam gerakan Hizbul Wathan dan aktif sebagai guru sekolah Muhammadiyah.

Sekuel kedua pula akan menampilkan perjuangan Sudirman ketika di Yogyakarta selain pertemuannya dan yang ketiga memuatkan perjuangan gerila Jeneral Sudirman pada saat Revolusi Kemerdekaan.

===

Nota campur: Artikel ini disiarkan dalam akhbar arus perdana online Utusan Malaysia pada tarikh 6hb Januari 2012. Ianya boleh dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 7 Januari 2012].

Saharudin Musthafa ialah wartawan daripada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, Malaysia, yang tengah berkhidmat di Jakarta, Indonesia. Alamat emel beliau adalah: saharudin.musthafa@utusan.com.my

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here