Bimbang Sambut Tahun Baru

0
77

Oleh: Nizam Yatim

Ketibaan tahun baru diraikan oleh manusia dengan pelbagai cara, termasuk menganjurkan pertunjukan bunga api dan persembahan hiburan, serta ada juga menyambutnya dengan program berbentuk keagamaan.

Tahun baru yang disambut itu adalah mengikut kalendar Gregorian yang diterima pakai di seluruh dunia sejak 1582 yang menetapkan setiap tahun mempunyai 12 bulan serta 365 hari atau 366 hari bagi tahun lompat.

Bagaimanapun, terdapat tahun baru tertentu yang disambut dengan penuh kebimbangan berikutan pelbagai ramalan mengenai bencana yang akan berlaku pada tahun berkenaan.

Bencana seperti kegagalan komputer berfungsi atau hentaman komet terhadap bumi menyebabkan kerajaan dan agensi berkaitan perlu mengambil pelbagai langkah pencegahan bagi memastikan ia tidak terjadi.

Terdapat juga ahli astrologi kuno yang meramalkan akan berlaku kiamat pada tarikh tertentu. Namun bagi kita sebagai umat Islam, soal kiamat merupakan hal ghaib yang harus dipercayai namun tarikh sebenar hanya diketahui oleh Allah SWT.

Hentaman Komet Hale-Bopp, 1997

Kebimbangan bahawa bumi akan dilanggar komet yang dikatakan menjadi punca dinosaur pupus mula disebarkan dalam Internet berikutan penemuan bintang berekor Hale-Bopp pada 23 Julai 1995.

Pengiraan yang dilakukan menjangkakan ia akan melintasi dekat atau mungkin juga jatuh ke bumi pada 1997.

Ia ditemui oleh dua pemerhati bintang dari Amerika Syarikat (AS), Alan Hale and Thomas Bopp yang telah melaporkan penemuan mereka kepada pusat yang merekodkan semua penemuan baru astronomi di negara itu iaitu Biro Pusat Bagi Telegram Astronomi.

Komet sama turut dilihat oleh penduduk Mesir kuno yang ketika itu diperintah oleh Firaun Pepi I (2332–2283 Sebelum Masihi). Dalam ilustrasi yang diukir pada piramid, komet itu dikenali dengan nama “nhh” yang bermaksud rambut yang panjang.

Ia mula dapat dilihat dengan mata kasar tanpa bantuan teleskop terutama pada lewat petang bermula pada Mei 1996. Pada Januari 1997 bintang ini sangat terang sehingga boleh dilihat oleh sesiapa sahaja termasuk yang tinggal di bandar besar yang mengalami pencemaran udara teruk.

Ketika gerhana matahari pada 9 Mac 1997 di China, Mongolia dan timur Siberia, Rusia, orang ramai dapat melihat komet ini dengan jelas pada siang hari.

Seperti diramal, komet ini melintasi dekat dengan bumi pada 1 April 1997. Bagaimanapun, tidak berlaku pertembungan dengan bumi seperti yang ditakuti sesetengah pihak.

Pepijat Y2K, 2000

Pepijat tahun 2000, juga dikenali dengan pepijat alaf dan pepijat Y2K, merujuk kepada satu keadaan di mana sesuatu atur cara komputer berhenti berfungsi atau tidak berfungsi dengan betul apabila perubahan tarikh dari tahun 1999 ke tahun 2000.

Masalah itu yang diramalkan akan menjadi bencana besar bagi kehidupan manusia kerana atur cara komputer hanya menggunakan dua angka terakhir bagi merujuk kepada tahun.

Kaedah ini diamalkan sejak 1960-an, ketika komputer generasi awal dengan tujuan menjimat memori alat penyimpanan data yang ketika itu sangat mahal.

Ketika tahun 2000 tiba, komputer akan membaca perubahan tarikh dari 31 Disember 1999 menjadi 1 Januari 1900.

Kesilapan tarikh itu dibimbangi akan menyebabkan alat-alat penting yang mengawal loji tenaga nuklear, peluru berpandu, perbankan dan pengangkutan awam berhenti berfungsi.

Bagaimanapun, kedatangan 1 Januari 2000 telah berlalu, tanpa sebarang masalah komputer yang teruk.

Antaranya berpunca daripada persediaan cukup yang telah dibuat di seluruh dunia termasuk beralih menggunakan empat digit angka bagi merujuk kepada tarikh.

Walaupun tiada masalah besar, terjadi juga beberapa masalah kecil termasuk peralatan memantau radiasi di Ishikawa, Jepun yang berhenti berfungsi menjelang tengah malam tarikh tersebut dan laman web masa rasmi AS yang memaparkan 1 Januari 19100.

Dunia Kiamat, 2012

Apabila disebut dunia akan kiamat pada 2012, tidak dapat tidak kita perlu menyentuh mengenai tamadun Maya yang pernah wujud di kawasan Chiapas, Yucatan dan Tabasco yang sekarang ini terletak di selatan negara Mexico.

Ahli falak kaum Maya, yang pernah wujud kira-kira 2,000 tahun Sebelum Masihi, telah meramalkan dengan tepat gerhana bulan dan matahari serta perjalanan bintang dan planet.

Mereka berupaya berbuat demikian kerana memiliki sistem kalendar sofistikated yang mengambil masa selama 394 tahun untuk membentuk satu kitaran dikenali sebagai baktun. Anehnya kitaran baktun itu berakhir pada pusingan ke-13 atau lebih tepat lagi, 21 Disember 2012.

Ekoran itu, pelbagai pihak termasuk golongan penulis dan pengarah mengambil kesempatan untuk menerbitkan buku dan filem dengan membuat andaian bahawa terhentinya kalendar Maya, bermakna itulah tarikh hari kiamat.

Filem 2012 terbitan Hollywood yang diarahkan oleh Roland Emmerich menggambarkan bahawa pada tarikh itu, bumi akan berada sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti buat kali pertama sejak 26,000 tahun.

Keadaan itu menyebabkan teras bumi berganjak sekali gus mencetuskan letupan gunung berapi, taufan, banjir, tsunami, gempa bumi dan pencairan ais.

Namun bagi mereka yang menyambut tahun baru 2012 esok, tidak perlu bimbang kerana penemuan terbaru batu bersurat kaum Maya mendapati terdapat rujukan sehingga tahun 4772.

Ini bermakna tarikh 21 Disember 2012 pada kalendar Maya besar kemungkinan hanya menandakan tamatnya satu era bagi tamadun manusia. Dalam erti kata lain dunia belum kiamat.

Para pengkaji turut berpendapat, fenomena bumi sebaris dengan pusat Galaksi Bima Sakti berlaku secara perlahan-lahan tanpa kesan besar untuk tempoh selama 36 tahun.

Tarikh 21 Disember tahun depan, hanya merujuk kepada titik pertengahan fenomena itu yang hanya akan berakhir pada tahun 2030.

Kesan fenomena penjajaran planet ini hanyalah akan menyebabkan pemikiran dan tahap kesedaran manusia menjadi lebih positif seperti yang disaksi sekarang apabila ramai menuntut sistem pemerintahan lebih demokratik dan penstrukturan semula sistem perbankan dan kewangan.

Sepanjang tempoh itu, Badan Penelitian Kelautan dan Cuaca Nasional (NOAA), AS juga meramalkan bumi akan dihentam badai elektromagnetik daripada matahari (solar flares) yang didakwa sesetengah pihak mampu mengubah kod genetik DNA manusia.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam akhbar arus perdana online Utusan Malaysia pada tarikh 31hb Disember 2011. Ianya dapat dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia, pada hari Sabtu, 31 Disember 2011].

Nizam Yatim ialah wartawan daripada Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, Malaysia. Alamat emel beliau adalah: nizam.yatim@utusan.com.my

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here