Usia Berapa Boleh Memimpin?

0
80

Oleh: Saharuddin Musthafa

Kepada mana-mana pemimpin politik Indonesia yang berusia 60 tahun ke atas, barangkali mereka terpaksa melupakan hasrat untuk bertanding kerusi nombor satu negara itu pada Pilihan Raya Umum 2014.

Usia lebih separuh abad itu dilihat bukan angka ideal untuk memimpin sebuah negara apa lagi bagi negara demokrasi seperti Indonesia yang menuntut aliran pemikiran tokoh yang dinamik seiring dengan tuntutan semasa.

Sejak kebelakangan ini, faktor usia seorang tokoh yang bakal menggantikan kerusi yang diduduki Susilo Bambang Yudhoyono sebagai Presiden Indonesia menjadi polemik. Perdebatan mengenai calon yang sesuai mengambil alih tampuk pemerintahan kerajaan memasuki dimensi baru.

Penelitian terhadap calon-calon yang akan bertanding kini memasuki fasa perbandingan usia dengan kemampuan daya berfikir serta kepimpinan. Sejauh mana tokoh berusia lebih 60 tahun boleh menjadi ketua sebuah negara? Apakah mereka memiliki keupayaan membangunkan bangsa Indonesia? Pada satu perspektif lain, apakah soal menguruskan sesebuah negara boleh diletakkan di bahu pemimpin muda yang tidak memiliki pengalaman? Inilah isu yang yang menjadi tumpuan masyarakat.

Memilih seorang pemimpin biarlah berteraskan segenap aspek kemampuannya, bukan bersandarkan pada populariti semata-mata. Tokoh yang sudah mencecah usia 60 tahun dilihat sebagai tidak lagi relevan untuk memimpin lebih 240 juta rakyat Indonesia. Indonesia dalam tempoh tiga tahun lagi bakal menyaksikan pelbagai cabaran besar yang mencakupi segenap aspek landskap sosio budayanya.

Justeru, personaliti yang akan menggantikan Susilo kelak biarlah memiliki sosok pemikiran yang matang dan paling utama berada dalam lingkungan usia 45 hingga 55 tahun.

Rumusan yang dibuat bekas Ketua Majlis Perwakilan Rakyat (MPR), Amien Rais itu mengundang perbincangan di kalangan politikus-politikus tempatan. Pelbagai reaksi diterima, ada yang bersetuju dengan pendapat Amien bahawa tokoh berusia lebih 60 tahun hanya akan menyulitkan proses penyuburan demokrasi di negara itu.

Tidak kurang yang menolak pandangan Amien kerana kepada mereka usia bukanlah kayu ukur untuk memimpin sesebuah negara.

Biarpun pemilihan presiden hanya akan berlangsung pada 2014, namun ketika ini, enam tokoh politik Indonesia sudah dinamakan sebagai calon yang akan menandingi kerusi tersebut.

Mendahului senarai ialah tokoh korporat ternama Aburizal Bakrie yang juga pemimpin tertinggi parti Golkar disokong oleh partinya untuk bertanding kerusi berkenaan. Aburizal kini berusia 65 tahun dan pernah berada dalam Kabinet Indonesia sebelum digugurkan pada 2005.

Hatta Rajasa yang berusia 58 tahun pemimpin Amanat Nasional (PAN) juga sudah dinamakan sebagai wakil parti berkenaan untuk mengambil alih kerusi besannya, Susilo pada 2014.

Megawati Soekarnoputri juga disebut-sebut berminat untuk bertanding tetapi parti pimpinannya, Parti Demokrasi Indonesia – Perjuangan (PDI-P) belum lagi mengumumkannya. Beliau pula pada 2014 akan berusia 68 tahun dan pernah menduduki jawatan Presiden Indonesia kelima pada pada 23 Julai 2001 ketika berusia 54 tahun

Dua nama lain yang tidak kurang popularnya ialah bekas jeneral, Prabowo Subianto yang kini berusia 60 tahun dan Mahfud MD, 54, juga memasuki senarai berkenaan. Tidak ketinggalan, bekas Menteri Kewangan Indonesia yang kini Pengarah Urusan Bank Dunia, Sri Mulyani Indrawati, 49, pula dinamakan oleh parti pimpinannya, Serikat Rakyat Independen (SRI) pada 12 November lalu sebagai calon presiden 2014.

Lalu siapakah dari kaca mata Amien yang layak diangkat sebagai calon Presiden Indonesia pada 2014?

Menurut Amien, sebolehnya biarlah calon itu terdiri daripada orang muda yang memiliki daya pemikiran yang tajam serta mempunyai nilai kepimpinan yang tinggi.

“Ini bermakna generasi saya seperti Wiranto, Megawati sudah berat (sukar) bahkan hampir mustahil,” komen beliau mengenai rakan seangkatannya.

Pada masa masa, Amien tidak bersetuju tokoh muda yang berusia kurang daripada 45 tahun diangkat sebagai calon presiden kerana dinilai terlalu muda untuk memimpin negara kerana golongan ini disifatkannya sebagai kurang matang. Indonesia dari kaca mata politikus ternama ini memerlukan seorang pemimpin yang tidak terlalu tua dan tidak juga muda.

“Katakanlah umur antara 45 hingga 55 tahun dan terdiri daripada golongan intelek pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya,” jelasnya mengenai latar belakang calon yang wajar diberi peluang memimpin negara.

Namun begitu, daripada penelitian beliau, beberapa tokoh Indonesia yang dinilai Amien (tentunya yang berusia lebih 60 tahun) sebagai berpotensi memimpin negara pada masa depan ialah Hatta Rajasa, Prabowo dan Sri Mulyani serta seorang tokoh kanan dari PDI-P, Pramono Anung.

Cadangan Amien, kepada mana-mana calon yang berhajat menjadi Presiden Indonesia kelak harus memiliki pelan induk pembangunan sektor ekonomi negara itu.

“Seandainya Hatta mahu jadi presiden beliau harus memiliki pelan induk Hattanomics, begitu juga Prabowono dengan Prabowonomics. Seperti di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dengan pelan induk Clintonomics dan Obamonomics,” kata Amien menyuarakan cadangannya.

Pelan induk ekonomi seseorang pemimpin amat penting dan harus memiliki dadasar pelan pembangunan ekonomi yang berteraskan kepentingan rakyat.

Ketika Amien menyuarakan mengenai keperluan Indonesia memiliki pemimpin yang tidak terlalu tua dan tidak terlalu muda, Ketua Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Indonesia, Marzuki Alie pula menegaskan, usia bukanlah kayu ukur untuk melahirkan pemimpin yang baik.

“Di China misalnya seorang pemimpin nasional berusia 60 tahun ke atas tetapi semuanya berhasil. Apa yang penting seseorang calon presiden harus memiliki integriti, keupayaan dan profesionalisme serta kesetiaan pada rakyat yang dipimpinnya,” tegas Marzuki.

Pandangan Marzuki juga ada kebenarannya kerana Indonesia pernah dipimpin oleh presiden pertamanya, Soekarno ketika beliau berusia 44 tahun. Indonesia juga turut melakar kegemilangan di era Suharto yang pernah menjadi Presiden Indonesia sehingga usianya menjangkau 70 tahun.

Lantas, di usia berapa sebetulnya yang boleh ditakrifkan sebagai kayu ukur untuk menjadi pemimpin nombor satu Indonesia?

Di sinilah memerlukan kebijaksanaan rakyat negara itu membuat pilihan yang tepat untuk kemajuan bangsa mereka pada masa depan.

===

Nota campur: Rencana ini disiarkan dalam akhbar online Utusan Malaysia, pada haribulan Jumaat, 23 Disember 2011. Ianya boleh dilayari di: www.utusan.com.my [diakses di Bandung, Jawa Barat, Indonesia: 23 Disember 2011].

Saharuddin Musthafa ialah wartawan kanan daripada akhbar arus perdana Utusan Malaysia di Kuala Lumpur, Malaysia.

SHARE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here